Pengenalan dan sejarah
Etnik Idahan, yang juga dikenali sebagai Idaan, Ida'an, Eraan (mengikut sebutan Bajau), Iraqan (mengikut sebutan Suluk) atau Begahak (mengikut sebutan Dusun), merupakan salah satu etnik pribumi minoriti di Sabah, Malaysia. Mereka kebanyakannya menetap di kawasan sekitar Lahad Datu meliputi kawasan Madai, Segama sehingga ke daerah Sandakan dan Kinabatangan. Majoriti masyarakat Idahan menganut agama Islam dan dipercayai menjadi salah satu etnik paling awal memeluk Islam di Borneo iaitu seawal tahun 1408 masihi.
Sebagai kumpulan minoriti, etnik Idahan telah berfungsi sebagai sebuah komuniti korporat yang erat dengan aktiviti utama mereka, iaitu menuai sarang burung layang-layang. Sejak berabad-abad lamanya, mereka mempunyai hak eksklusif untuk mengumpul sarang burung layang-layang di “Gua Warisan” iaittu gua-gua batu kapur sekitar Pantai Timur Sabah meliputi Gua Madai, Gua Baturong, Gua Pidtong, Gua Segarong, Gua Tepadong, Gua Sepod Batu dan gua-gua lain yang terdapat di Teluk Darvel.

Foto 1: Menuai Sarang Burung
Sumber: Tawaukini.com
Mereka telah membangunkan mekanisme sosial berdasarkan hubungan kekeluargaan untuk mengawal akses bermusim ke kawasan gua yang mengandungi sarang burung layang-layang. Mekanisme ini turut melibatkan sistem penggiliran hak menuai dalam kalangan anggota masyarakat mereka. Sistem pengagihan hasil tuaian ini memainkan peranan penting dalam mengekalkan hubungan harmoni dalam kalangan masyarakat Idahan. Kejayaan mereka dalam memelihara keuntungan tradisional ini hanya dapat diteruskan melalui kerjasama sebagai sebuah unit ekonomi dan sosial yang bersatu.
Dalam mekanisme ekologi sistem sosial tersebut, terdapat adat dan pantang larang ketika menuai sarang burung yang dikenali sebagai “Adat Mengalap”. Adat ini sesuai dengan amalan warisan turun temurun yang perlu dipatuhi dan tidak boleh diingkari. Sistem adat ini dilukan sebagai salah satu cara untuk memastikan semua masyarakat etnik Idahan dapat menikmati hasil secara bersama. Selain itu, ia juga sebagai satu sistem panduan yang menjadi asas perpaduan hak ekslusif ke atas etnik ini.
Fungsi dan Peranan
-
Busana/ Aksesori
-
Peralatan/ Bahan-Bahan
-
Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan
ADAT DAN PANTANG LARANG MENUAI SARANG BURUNG
Adat Mengalap atau menuai sarang burung hanya boleh dilakukan tiga (3) musim dalam setahun di mana-mana gua warisan milik etnik Idahan iaitu;
1. Musim Papas
Biasanya dalam bulan April hingga Mei setiap tahun iaitu saraang burung dipungut selepas Kerok Kelempisau (burung layang-layang) mengawan
2. Musim Penanggoh
Biasanya dalam bulan Ogos hingga September iaitu sarang burung dipungut selepas anak Kerok Kelempisau menetas dan boleh terbang.
3. Musim khusus
Mana-mana musim selain yang disebutkan dalam sub-adat (a) dan (b) adalah berlandaskan budi bicara yang dipersetujui oleh semua pewaris tetapi tidak boleh melebihi tiga (3) kali setahun.

Foto 2: Sarang Burung
Sumber: Risip Suhaimi
Setiap kali musim mengalap dilakukan, hendaklah ada seorang ketua yang dilantik untuk menjadi “Ketua Madai” oleh masyarakat komuniti pewaris-pewaris sarang burung atau boleh dipilih melalui proses pemilihan oleh Pertubuhan Kebajikan Idahan Pewaris Madai (PEWARIS) dan dipersetujui oleh Majlis Adat Istiadat Sarang Burung Etnik Idahan. Setelah itu, pelantikan yang dibuat perlu disokong dan disahkan oleh Mahkamah Anak Negeri. Tempoh pelantikan dan penamatan adalah tertakluk kepada tiga badan yang dinyatakan agar memastikan ketelusan dan kewibawaan Ketua Madai adalah dihormati.
Semua pewaris yang mempunyai syer atau disebut Tak Batu di dalam gua-gua warisan adalah tertakluk sepenuhnya kepada adat memungut sarang burung. Sebarang pelanggaran adat yang membabitkan pertikaian mengenai hak-hak pewarisan sarang burung hendaklah terlebih dahulu dirujuk kepada Ketua Madai, Orang-Orang Tua Idahan yang menjadi pakar rujuk, Ketua Majlis Adat Istiadat dan Mahkamah Anak Negeri sebelum dikenakan sebarang tindakan. Lazimnya hak pertikaian tersebut adalah merujuk kepada adat dan pantang larang ketika berada dalam Gua Warisan. Beberapa pantang larang berkaitan tingkah laku dikenakan sewaktu berada di dalam gua bagi membantu memastikan keadaan yang tertib dan teratur sewaktu menuai. Kerja-kerja menuai dilakukan dalam keadaan senyap dan percakapan dihadkan kepada perkara yang perlu sahaja.
Masyarakat ini percaya kepada kuasa supernatural dan semangat roh nenek moyang mereka. Seperti di gua sarang burung Madai dahulunya digunakan sebagai tempat pengkebumian dan masih terdapat beberapa buah keranda di situ. Kini gua tidak lagi digunakan untuk maksud tersebut namun kawasan berkenaan tetap dianggap kudus dan perlu diberi penghormatan. Justeru, segala pantang larang berkaitan merupakan penghormatan kepada roh nenek moyang mereka yang dianggap sebagai penunggu gua. Sebelum memeluk agama Islam mereka memberi sajian nasi kunyit, ayam putih, pasu tembikar dan kambing kepada roh nenek moyang mereka.
Ketika memasuki gua, Tukong atau ketua penuai meminta izin terlebih dahulu daripada roh nenek moyang dengan menyatakan bahawa penuai-penuai adalah pewaris anak cucu mereka dan meminta agar tidak diganggu ketika membuat penuaian. Sewaktu memasuki gua hendaklah tidak memakai Tegawih atau Serawang (penutup kepala berupa terendak besar dibuat daripada daun pandan).
Andai terdapat tanda-tanda atau kejadian ganjil kerja-kerja memanjat dihentikan seketika agar tiada bahaya yang menyusul. Bersin sewaktu memasuki gua dianggap petanda buruk dan orang itu mesti berpatah balik serta tidak boleh menuai pada hari tersebut. Percakapan di dalam gua juga menggunakan makna berlapis atau istilah khusus. Contoh, perkataan esok diganti dengan lusa, frasa mahu pulang ke rumah diganti dengan “mahu naik ke bubun derain”.
Tempoh berkabung daripada menuai sarang burung untuk kematian ialah dua hari. Jika berlaku kemalangan di dalam gua, seperti orang terjatuh dari bumbung gua, maka kerja-kerja menuai di seluruh kawasan gua dihentikan selama tiga hari. Sementara itu, setiap penuai di dalam gua hanya dibenarkan membawa hasil iaitu sarang burung sahaja. Benda selain daripada sarang burung dilarang sama sekali termasuklah “Tai Kelempisau” iaitu najis burung, walaupun harga pasarannya agak mahal, juga tidak boleh diusik atau dibawa keluar. Mereka di kawasan Gua Madai juga tidak membela kucing, kerana binatang ini adalah musuh utama burung yang sedang membiak terutama pada musim menetas.
Dalam memasatikan keharmonian penuai dan kuasa supernatural yang ada di dalam gua, pantang larang sekatan adalah menjadi perihal terpenting di mana, orang-orang bukan Pewaris dan orang-orang yang tidak berkepentingan dilarang memasuki gua-gua warisan tanpa kebenaran daripada Ketua Madai dan kuasa eksekutif yang telah dilantik. Walaubagaimanapun, sekiranya orang itu yang asalnya bukan pewaris dan berkahwin dengan lelaki atau perempuan pewaris yang disebut “Perikit Gunai Ulun Kito”, maka ia dibenarkan memasuki kawasan gua tetapi masih terteakluk kepada setiap undang-undang adat dan pantang larang.
Justeru, amalan adat dan pantang larang yang diwarisi ini terus diamalkan sehingga kini sebagai langkah penting dalam menjaga kesejahteraan masyarakat Idahan. Sistem warisan ini bukan sahaja mencerminkan kearifan lokal yang unik, tetapi juga menjadi simbol identiti dan keistimewaan budaya eksklusif masyarakat Idahan. Melalui pemeliharaan adat ini, mereka bukan sahaja memastikan kelestarian sumber semula jadi yang menjadi asas ekonomi dan sosial mereka, tetapi juga memperkukuhkan hubungan dalam komuniti serta memelihara tradisi untuk diwariskan kepada generasi akan datang.
Tokoh dan Pencapaian
-
Sumber Rujukan
Abdul Karim Hj. Dakog & Jusman Aman Setia. (2003). Adat-Adat Pemungutan Sa-Rang Bijrung Warisan Suku Kaum Idahan (Ida’an.). Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.
Editor KR. (2022, September 6). Misteri Jelmaan Wanita di Gua Madai Sabah - TawauKini. TawauKini. Diambil daripada
https://www.tawaukini.com.my/2022/01/misteri-jelmaan-wanita-di-gua-madai-sabah.html
Jusman Aman Setia (2012). Ida’an. Dalam Kntayya Mariappan. (Ed). Siri etnik Sabah ITBM-UMS: MURUT dan pelbagai etnik lain di sabah. Institut Terjemahan Buku Malaysia, Kuala Lumpur.
Onga, R. (2024). Sejarah Pemilikan dan Pewarisan Sarang Burung di Sabah:: Tradisi dan Tribulasi. Jurnal Kepulauan, 1(04), 23-23.
Rahman, S. B. A. Sistem Pentadbiran Tradisional Yang Terdapat Di Sabah. Journal of the Straits Branch of the Royal Asiatic Society, 20, 13-74.