TARIAN SUMIRID MEDTEMU

Seni Persembahan >Tarian

Gambar

5

Video

tiada

Pelawat Hari ini

28

Jumlah Pelawat

279

Pengenalan dan sejarah

Sumirid Medtemu merupakan salah satu tarian tradisional masyarakat etnik Dusun Liwan yang menetap di daerah Ranau dan Kundasang Sabah. Tarian ini memiliki sejarah unik yang sangat erat dengan kehidupan agraria masyarakat Dusun Liwan yang berorientasikan pertanian khususnya penanaman padi. Inspirasi utama gerakan tarian ini diambil daripada aktiviti tradisional masyarakat Dusun Liwan yang dikenali sebagai ‘Mongogik’  iaitu proses memisahkan padi dari tangkainya dengan cara memijak menggunakan kaki. Dahulu, sebelum adanya mesin pelerai padi, aktiviti Mongogik dilakukan secara manual dan menjadi salah satu cara penting dalam pengolahan hasil tuaian padi. Daripada itu, perbuatan tersebut menjadi ilham kepada rekabentuk tarian ini.


Berdasarkan sejarah, tarian ini pertama kali dipersembahkan secara rasmi pada tahun 1984 iaitu dalam upacara khas menziarahi ‘Kinodou’ atau pondok penyimpanan tengkorak. Kinodou dianggap tempat sakral dan simbol penghormatan terhadap nenek moyang. Tarian ini dipersembahkan sebagai tanda kesyukuran kepada hasil tuaian padi yang berjaya dan merayakan hubungan masyarakat dengan alam dan leluhur mereka.


Fungsi dan Peranan

Tarian Sumirid pada asalnya ditarikan sebagai tanda penghargaan kepada hasil tuaian padi yang melimpah. Gerakan tarian yang diinspirasikan daripada proses Mongogik ini berperanan dalam melambangkan rasa syukur masyarakat Dusun Liwan kepada alam yang memberikan sumber rezeki. Ia juga merupakan bentuk penghormatan terhadap nenek moyang yang dipercayai telah memberikan mereka cara hidup dan amalan budaya yang diwarisi turun-temurun. Kini, tarian Sumirid sering dipersembahkan dalam acara-acara penting seperti Pesta Menuai, majlis perkahwinan, dan upacara kebudayaan. Dalam konteks ini, tarian tersebut berfungsi sebagai medium penyatuan yang mengeratkan hubungan antara ahli komuniti. 

Busana/ Aksesori

Penari wanita mengenakan pakaian khas berwarna hitam dengan hiasan renda atau manis keemasan yang dipanggil ‘Garung Lapoi’. Busana ini lengkap dengan penutup kepala yang disebut ‘Sunduk’ atau ‘Sinurondoi’. Aksesori yang dipakai oleh penari wanita dalam persembahan tarian Sumirid tertumpu kepada bahagian pinggang iaitu ‘Himpogot’ dan ‘Tankong’. Himpogot atau nama lainnya ‘Botungkat’ adalah aksesori pinggang berbentuk kepingan wang syiling yang diperbuat daripada perak. Manakalah Tangkong  pula adalah kepingan besi atau logam yang dibuat bebentuk bulat dengan tebukan pada tengahnya dan disusun membentuk seperti tali pinggang.


Penari lelaki pula memakai pakaian yang dikenali sebagai ‘Sinonson’, yang diperbuat daripada kulit kayu. Sinonson melambangkan kekuatan dan ketahanan lelaki Dusun Liwan, yang sering kali terlibat dalam aktiviti berburu dan peperangan. Penutup kepala lelaki dipanggil ‘Sigar’ yang dihiasi dengan bulu burung ‘Sungang’ sebagai simbol keberanian dan keterampilan. Di samping itu, lelaki turut mengenakan cawat yang diperbuat daripada kulit kayu atau kain tenun tradisional, menambah keaslian dan keunikan dalam persembahan tarian ini.


Peralatan/ Bahan-Bahan

Tarian ini diiringi oleh dua alat muzik tradisional etnik Dusun Liwan iaitu Gong dan Bungkau. Gong yang digunakan dalam peresembahan ini lazimnya di antara tiga hingga empat jenis yang berbeza saiz untuk menghasilkan resonans bunyi  harmoni. Sementara itu, alunan bunyi Bungkau disatukan untuk menghasilkan rentak kepada tarian Sumirid. Bungkau berada dalam kategori lamelofon ataupun sejenis alat muzik ‘Hap Rahang’ yang diperbuat daripada kayu ‘Polod’ atau kayu Palma. Anggaran saiz sesuai Bungkau lazimnya berukuran di antara 6 hingga 8 inci atau 17 hingga 19 cm.

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Persembahan tarian Sumirid lazimnya ditarikan secara berpasangan dalam lingkungan empat hingga lima pasangan penari. Pergerakan tarian ini berfokus kepada bahagian tangan di mana terdapat dua jenis bukaan tangan iaitu dalam posisi menapak (tangan) dan menggemgam. Bagi penari wanita bukaan tangan secara menyisih kiri dan kanan sementara lelaki pula akan mendapakan tangan. Ragam lainnya, bukaan tangan akan dibuat ke bahagian tangan dan dipusing secara separa bulatan. Sementara itu, kaki penari akan dihenjut setiap kali pegerakan tangan dipusingkan dan sebaliknya digeserkan ketika penari mendepakan tangan.

Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

Pugh-Kitingan, J. (2012). Kadazan Dusun. Institut Terjemahan & Buku Malaysia.

Kein, E. D., & bin Hamza, H. Z. (2023). Kajian Kes Terhadap Sumirid Sebagai Tari Gubahan Baharu Neo-Tradisional. Kajian Kes dalam Seni Persembahan Volume, 63. Universiti Pendidikan Sultan Idris.


Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Encik Hassanal Redzuan

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah
Kompleks JKKN Sabah, Jalan Tasik off KM4 Jalan Penampang, 88200 Kota Kinabalu SABAH

088-205070

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!