Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
TARIAN DANSA COCOS
Seni Persembahan >Tarian
Gambar
5
Video
tiada
Pelawat Hari ini
10
Jumlah Pelawat
110
Pengenalan dan sejarah
Dansa Cocos merupakan tarian paling popular dalam kalangan masyarakat etnik Cocos, sebuah kumpulan etnik minoriti yang menetap di daerah Tawau, Sabah. Istilah 'Dansa' itu sendiri berasal daripada perkataan Inggeris 'Dance', yang bermaksud tarian atau menari. Tarian ini mempunyai sejarah panjang yang bermula dengan kedatangan anak-anak kapal dagang Inggeris yang pertama kali tiba di Kepulauan Cocos pada tahun 1826. Alexander Hare, seorang perintis pelayaran Inggeris pada ketika itu memainkan peranan penting dalam memperkenalkan tarian ini melalui interaksi dengan anak-anak kapal dan penduduk tempatan. Kemudian, pada tahun 1827, Clunies Ross meneruskan pelayaran tersebut dan membawa pekerja dari beberapa kawasan di Nusantara seperti Melaka, Betawi (Jakarta), dan Banjarmasin. Bersama-sama dengan mereka, datanglah pengaruh budaya yang mencorakkan bentuk awal tarian Dansa Cocos. Tarian ini kemudian berkembang menjadi salah satu elemen penting dalam kesenian dan dan kebudayaan masyarakat etnik Cocos.
Tarian Dansa Cocos berfungsi sebagai hiburan dalam majlis perkahwinan etnik Cocos. Lazimnya, pengantin lelaki dan wanita yang telah selamat diijab kabul akan mempersembahkan tarian ini di hadapan kaum keluarga diikuti oleh sanak saudara lain untuk menarikannya bersama. Kini, tarian ini sering kali dipersembahan dalam pelbagai aktiviti keramaian yang lain seperti perayaan, majlis-majlis besar, dan menyambut tetamu kenamaan.
Busana penari Dansa Cocos amat unik kerana busana tradisi ini adalah gabungan diantara dua budaya iaitu Melayu dan Scotish yang telah melalui pembauran dalam budaya lokal di etnik Cocos di negeri Sabah Khususnya. Busana ini sangat sinonim jahitan ropol dengan material kain organza.
Penari lelaki akan mengenakan pakaian yang dikenali sebagai ‘Baskat’ iaitu baju menyerupai rekabentuk Blazer (Bush Jacket) telah diubah suai dengan ropol pada bahagian lengan tangan yang dipanggil ‘Frill’ atau dalam bahasa tempatan disebut ‘Peril’. Baju baskat lelaki lazimnya mempunyai potongan lengan yang lebih pendek atau disebut potongan separa lengan. Kelengkapan busana ini akan dipakai dengan baju lapis pagoda berwarna putih pada bahagian dalam. Pemakaian Baskat akan dipadankan dengan seluar panjang berwarna Putih dari material kain satin dan dipadankan dengan ‘Sepatu’ iaitu kasut kilat bertumit yang berwarna berwarna hitam.
Tambahan pemakaian kain batik atau dalam bahasa lokal disebut ‘Ken Batik’ yang dirapikan seperti skirt pendek pada paras lutut dan selendang pengikat pinggang yang dipanggil ‘Sabok’ bertujuan memberikan gambaran nilai estetika Melayu dalam pemakaian Busana tradisi ini. Sebagai hiasan tambahan, sapu tangan akan diikat sebagai penghias leher bagi mengantikan tali Leher (Neck Tie) yang biasanya dikenakan bersama sama Bush Jacket atau Blazer. Bagi hiasan kepala, Songkok digunakan sebagai simbolik nilai pegangan agama Islam dalam kalangan etnik ini.
Tarian Dansa Cocos hanya menggunakan alat muzik Biola yang dimainkan oleh pemuzik dikenali dengan nama ‘Penggesek’. Pada kebiasaanya, Penggesek terdiri daripada seorang atau dua orang untuk menghasilkan melodi yang dibantu dengan bunyi tepukan daripada awak-awak ataupun orang-orang kampung yang menonton persembahan. Namun, sesetengah persembahan turut menggunakan paduan bunyi gendang dan rebana untuk membentuk ensembel bunyi yang lebih siginifikan dan memukau.
Persembahan Dansa Cocos berfokus kepada tiga ragam asas iaitu hentakan kaki secara berselang seli, permainan gerak tangan (bersilang dan bergantian) antara penari dan ragam menepuk tangan. Dinamika pola lantai persembahan ini pada asasnya akan dilakukan dalam bentuk bulatan besar, bulatan kecil dan pola sebaris antara penari.
-
Sumber Rujukan
Fauzrina Bulka. (9 Disember 2017). Pengaruh Scotland, Melayu Dalam Dansa Cocos. Malaysia Kini Online. Daripada https://malaysiaaktif.my/2017/12/pengaruh-scotland-melayu-dalam-dansa-cocos/
Kamaruddin, N., & Aziz, A. A. (2018). The entities of Cocos Malays communities in Sabah. In Springer eBooks (pp. 355–364). https://doi.org/10.1007/978-981-13-0487-3_39
Irving, D. R. M. (2019). Strings across the ocean: practices, traditions, and histories of the Cocos Malay biola in the Cocos (Keeling) Islands, Indian Ocean. Ethnomusicology Forum, 28(3), 283–320. https://doi.org/10.1080/17411912.2020.1754874
Syahrein Mohd Hamdi, Nurulakmal Abdul Wahid. (2023). Kajian Kes Terhadap Dansa Etnik Melayu Cocos: Persembahan Kampung ke Pentas. Dalam Chin, L. F. H.,Hamza, H., Z. & Sampurno, M., B., T. (Eds.) Kajian Kes Seni Persembahan (pp. 128-138). Fakulti Muzik dan Seni Persembahan. Universiti Pendidikan Sultan Idris. https://fmsp.upsi.edu.my/wp-content/uploads/2024/06/Kajian-Kes-Dalam-Seni-Persembahan.pdf
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Encik Hassanal Redzuan
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah
Kompleks JKKN Sabah,
Jalan Tasik off KM4 Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu
SABAH
088-205070
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!