TARIAN WEK JONGAN

Seni Persembahan >Tarian

Gambar

16

Video

ada

Pelawat Hari ini

2

Jumlah Pelawat

937

Pengenalan dan sejarah

Lagu dan tarian wek jonggan bermula daripada kisah kehidupan sebuah keluarga etnik Salako yang tinggal di kawasan pedalaman pada suatu ketika  dahulu. Keluarga ini terdiri daripada tiga ahli keluarga iaitu Si bapa bernama Ambujakng dan Si ibu bernama wek jonggan manakala si Anak bernama Si Aching. Keluarga ini adalah  keluarga petani yang bekerja mengusahakan tanaman padi.


Alkisah bermula dengan kesedihan apabila si Ayah meninggal dunia dan selang beberapa waktu selepas itu diikuti Si Ibu pula meninggal dunia. Tinggallah Si Aching  seorang diri sebagai anak yatim piatu.  Dalam emosi yang hiba dan sedih , Si Aching kerap kali menziarahi pusara kedua orang tuanya. Di pusara itu, Si Aching meluahkan perasaan hibanya dalam mengenang kehidupannya sebagai sebatang kara, tetapi masih meneruskan kerja kerja bertanam padi. Jerih payah dan suka dukanya telah diluahkan dalam kata kata yang penuh emosi di pusara kedua orang tuanya.


Luahan kata-kata serta dan langkah kaki si Aching berkeliling di sekitar pusara orang tuanya telah diciptakan menjadi lirik lagu wek jonggan serta langkah tarian  kawan-kawan Si Aching adalah bagi memujuknya dalam menghadapi  kesedihan dan kedukaan. Justeru itu, bersesuaian dengan peradaban masa, lagu wek jonggan dan seni tari wek jonggan dikemaskini menjadi tarian kebudayaan etnik Salako untuk tujuan sebagai hiburan terutama pada waktu sambutan perayaan yang berkaitan padi atau untuk menyambut kehadiran tetamu dalam majlis-majlis tertentu sebagai tanda kegembiraan. Maka sampai ke hari ini, etnik Salako  masih tetap mengekalkan tarian We’Jonggan dalam gerak tari proses bertanam padi  sebagai cerminan budaya dan adat leluhur etnik Salako.

Fungsi dan Peranan

Tarian wek jonggan  memainkan peranan penting sebagai medium penceritaan yang mengisahkan kehidupan masyarakat etnik Salako yang bergantung sepenuhnya kepada kegiatan pertanian, khususnya penanaman padi. Melalui gerak tari dan seni kata lagu yang mengiringinya, tarian ini menggambarkan secara simbolik proses-proses utama dalam penanaman padi, bermula dari persediaan ladang, penanaman benih, penjagaan tanaman, sehingga musim menuai. Dalam setiap gerakan dan lirik, terselit harapan serta doa agar tanaman subur, hasil tuaian melimpah ruah, serta terhindar daripada sebarang bencana alam yang boleh menjejaskan sumber rezeki mereka.

Selain menggambarkan kehidupan harian, tarian wek jonggan  juga mempunyai dimensi spiritual yang kuat. Ia berfungsi sebagai satu bentuk penghormatan dan pemujaan kepada Jubata, iaitu roh nenek moyang atau entiti mistik yang dipercayai menaungi, melindungi serta memberikan rezeki kepada komuniti Salako. Melalui persembahan ini, masyarakat Salako menghubungkan diri mereka dengan warisan spiritual nenek moyang sebagai tanda kesyukuran serta permohonan restu.

Di samping itu, tarian ini turut menjadi lambang kekuatan warisan budaya etnik Salako yang diwarisi turun-temurun. Ia bukan sahaja dipersembahkan sebagai ritual, bahkan turut dijadikan persembahan kebudayaan semasa sambutan perayaan, kenduri, atau penyambutan tetamu dalam majlis-majlis rasmi. Melalui kesinambungan persembahan wek jonggan , nilai-nilai seperti ketabahan, gotong-royong, rasa hormat kepada alam dan kepercayaan leluhur terus dipupuk dan diwarisi oleh generasi baharu.

Busana/ Aksesori

Tarian wek jonggan lazimnya dipersembahkan oleh penari wanita, namun begitu, sesetengah kumpulan atau persembahan turut melibatkan penari lelaki bagi melengkapkan gambaran peranan dalam keseluruhan proses penanaman padi. Busana serta aksesori yang dikenakan oleh penari wanita dan lelaki adalah seperti berikut:


Penari wanita:

Sakalat - iaitu baju warna putih.

Kaikng  - iaitu kain sarung hitam panjang bawah paras lutut atau lebih

Caakong - iaitu perhiasan yang dipakai meliliti dahi dan kepala. 

Sabang Pancici (sikat rambut) juga merupakan perhiasan kepala yang dicucuk di sekitar belakang manibi bagi menaikkan seri. 

Bando atau Marek - merupakan rantai manik yang dipakai dengan juntaiannya berada di posisi belakang.

Timo - iaitu tali pinggang manik yang dipakai  melingkari keliling pinggang dan sebahagian punggung. Biasanya panjangnya sehingga menutupi bahagian hujung baju.

Jajabe dan Nyuntai - merupakan tali pinggang perak.

Cuak -  Gelang tangan perak.

Garonong - iaitu loceng kecil yang diikat di pegelangan kaki.

Antoro - merupakan bakul kecil yang diikat dipinggang. Dan digunakan sebagai simbol untuk menyimpan benih padi.


Penari Lelaki:

Tingko’ok - iaitu tengkolok yang merupakan kain yang dililit di kepala.

Baju  berwarna hitam dan berlengan panjang dihiasi dengan lace yang berwarna merah, hitam dan putih.

Seluar panjang berwarna hitam juga dihiasi dengan lace yang berwarna merah, hitam dan putih.

Gaakng - iaitu gelang tangan.

Manibi - iaitu rantai leher.

Garonong - iaitu loceng kecil yang diikat di kaki.

Peralatan/ Bahan-Bahan

Dalam persembahan Tarian wek jonggan, alat muzik tradisional memainkan peranan penting untuk mengiringi pergerakan penari serta mewujudkan suasana khas yang menggambarkan emosi dan jalan cerita tarian. Gabungan bunyi alat muzik ini menambahkan keindahan persembahan dan menghidupkan lagi suasana adat masyarakat Salako. Antara alat muzik tradisional yang digunakan dalam Tarian wek jonggan adalah seperti berikut:


1.Agukng (Gong)

Agukng (Gong) digunakan sebagai alat muzik utama yang menghasilkan bunyi rendah dan bergetar. Agukng memberikan rentak asas kepada keseluruhan persembahan. Biasanya terdapat dua buah Agukng yang bersaiz besar dan bersaiz lebih kecil. 


2.Gulintangan atau Gulentang (Saron)

Gulintangan atau Gulentang adalah alat muzik yang menyerupai alat muzik Saron, tetapi ia diperbuat daripada kayu berbentuk segi empat panjang. Setiap batang kayu tersebut mempunyai panjang dan nada berbeza pada setiap bilahnya. Biasanya, dua orang pemain diperlukan untuk memainkan alat muzik ini.


3.Gadobong (Gendang)

Gadobong atau gendang ialah alat muzik yang menghasilkan ritma melalui bunyi ketukan. Ia diperbuat daripada kayu seperti kayu nangka, dengan bahagian tengahnya yang ditebuk. Saiz gadobong untuk Tarian wek jonggan biasanya lebih kecil berbanding gendang biasa, supaya bunyinya sesuai dengan irama tarian.


4.Suling (Seruling)

Suling atau seruling ialah alat muzik yang diperbuat daripada buluh dan mempunyai beberapa lubang angin di badannya. Ia menghasilkan bunyi yang lembut dan merdu, sering dimainkan untuk menambahkan unsur emosi dalam persembahan. Bunyi Suling juga memberi kesan tenang dan sesuai dengan tempo tarian yang lembut.


5.Biola 

Biola merupakan salah satu alat muzik pelengkap dalam persembahan wek jonggan yang berperanan menambah keindahan melodi keseluruhan muzik iringan. Walaupun biola bukanlah alat muzik tradisional asal etnik Salako, namun penggunaannya dalam persembahan wek jonggan mencerminkan elemen adaptasi seni moden yang digabungkan dengan tradisi, sekaligus memperkayakan lagi variasi bunyi dalam persembahan.

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Persembahan wek jonggan merupakan gabungan gerakan tari, nyanyian, serta iringan muzik tradisional. Tarian ini biasanya dipersembahkan oleh penari lelaki dan wanita yang terdiri daripada 3 hingga 6 pasang penari, bergantung kepada keluasan pentas serta keperluan persembahan. Setiap penari memainkan peranan penting dalam menggambarkan perjalanan dan kehidupan masyarakat Salako dalam aktiviti penanaman dan penuaian padi.


Persembahan dimulakan dengan alunan gesekan biola dan tiupan suling yang mencipta suasana lembut dan hening sebagai pembuka persembahan. Selepas itu, ensembel alat muzik tradisional lain akan bergabung secara perlahan-lahan bagi memperkayakan lapisan bunyi. Gabungan muzik ini membentuk irama pengiring utama yang menjadi asas kepada pergerakan tari.


Lirik Lagu wek jonggan

Jarakng jarakng wek jonggan batanam padi, 

wek jonggan batanam padi.

Daapm sakilatn la wek jonggan ka dua jari, 

Ka dua jari,

wek jonggan ka dua jari.


Jarakng jarakng wek jonggan diri’ batamu,

wek jonggan diri’ batamu. 

Daapm sabuatn la wek jonggan ka dua kaie, 

Ka dua kaie,

wek jonggan ka dua kaie.


Anak keto wek jonggan anak buriak, 

wek jonggan anak buriak. 

la nanamlah padi ka tangah paya’, 

Ka tangah paya’,

wek jonggan ka tangah paya’.


Paling repo wek jonggan diri’ kaniak, 

wek jonggan diri’ kaniak. 

Dunia maju la wek jonggan diri’ dah kayak, 

Diri’ dah kayak,

wek jonggan diri’ dah kayak.


Uwa’ uwa’ wek jonggan nga'ik antamu, 

wek jonggan nga'ik antamu. 

Tangket mati la wek jonggan sintak bajaatn,

Sintak bajaatn, 

wek jonggan sintak bajaatn.


Baruk eak wek jonggan diri’ batamu, 

wek jonggan diri’ batamu. 

Bajo'ok topokng la wek jonggan siragey nyampak,

Siragey nyampak, 

wek jonggan siragey nyampak.


***1 verse music sahaja


Rabah jantok wek jonggan diri’ ka taiedi, 

wek jonggan diri’ ka taiedi. 

Satangkakng wek jonggan tama’ ka bubu, 

Tama’ ka bubu, 

wek jonggan tama’ ka bubu.


Tingkakok wek jonggan nimanglah padi, 

wek jonggan nimanglah padi. 

Padi atakng la wek jonggan lalu baribu, 

Lalu baribu,

wek jonggan lalu baribu.


Udah samputn wek jonggan diri’ ka sumaya,

wek jonggan diri’ ka sumaya. 

Mantokng tarap wek jonggan diri’ ka subangi,

Diri’ ka subangi, 

wek jonggan dirik ka subangi.


Babatukng wek jonggan diri’ ka sumaya,

wek jonggan diri’ ka sumaya.

Ganap ihan wek jonggan diri’ taiedi,

Diri’ ka taiedi,

wek jonggan diri’  ka taiedi.


Setelah itu, penyanyi akan memulakan nyanyian lagu wek jonggan di mana lagu ini dinyanyikan dengan tempo yang perlahan dan lembut, seiring dengan maksud kisah yang terkandung di dalam liriknya, menceritakan perjalanan hidup Si Aching serta proses penanaman padi yang penuh cabaran.


Sebaik sahaja nyanyian bermula, penari wanita akan memasuki pentas secara sebaris mengikut formasi dan koreografi yang telah ditetapkan. Gerakan tari banyak menggunakan pergerakan tangan yang menggambarkan aktiviti kehidupan bertani. Antaranya ialah gerakan tangan yang meniru perbuatan memasukkan benih padi ke dalam bakul tangan kecil (antoro) dan bakul belakang sebagai simbolik kepada kerja menanam dan mengisi hasil tuaian.


Pergerakan kaki penari pula diangkat secara bergantian mengikut rentak dan tempo iringan gendang, selari dengan ketukan ritma gadobong. Keseluruhan persembahan menampilkan gabungan harmoni antara nyanyian, muzik, dan gerakan tari yang lembut serta berulang-ulang, mencerminkan suasana tenang, penuh kesyukuran dan ketekunan dalam aktiviti penanaman padi masyarakat Salako. Persembahan diakhiri dengan gerakan penutup sebagai tanda kesyukuran atas keberhasilan menuai padi.

Tokoh dan Pencapaian

Informan 1

a)Nama Informan: Encik London Ak Tasin

b)Alamat: Kampung Serayan, 94100 Lundu, Sarawak

c)Nombor Telefon: 011-19848225

d)Emel: salakolara@gmail.com

e)Nama Pertubuhan/ Persatuan: Kelab Jejak Warisan dan Khazanak Salako Rara 

Informan 2

a)Nama Informan: Puan Alice Anak Kutong

b)Alamat: No.13A Kampung Pasir Hulu, 94100 Lundu, Sarawak

c)Nombor Telefon: 019-4386146

d)Email: salakolara@gmail.com

Nama Pertubuhan/ Persatuan: Kelab Jejak Warisan dan Khazanak Salako Rara 

Sumber Rujukan

i. Bahan Bacaan
Chali Ungang, C. (2022). Pusat Adat Bidayuh, Bale Gambang-Baruk. Majlis
Adat Istiadat Sarawak. Lee Ming Press.

Haji Zamudin bin Mat. (1997). Gulentangan: Alat muzik tradisional Selako.
Bahagian Kebudayaan, Kementerian Pembangunan Sosial Sarawak.

ii. Tokoh (jika ada temu bual tokoh)
Encik London Ak Tasin. Kelab Jejak Warisan dan Khazanak Salako Rara.
Kampung Serayan, 94100 Lundu, Sarawak.

Puan Alice Anak Kutong. Kelab Jejak Warisan dan Khazanak Salako Rara.
No.13A Kampung Pasir Hulu, 94100 Lundu, Sarawak.

Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Encik Boniface Anak Babai

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sarawak
Tingkat 5 Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Simpang Tiga, 93000, Kuching, SARAWAK

019-2399682/082-422006

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!