Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
TARIAN ALAI SEKAFI
Seni Persembahan >Tarian
Gambar
6
Video
ada
Pelawat Hari ini
19
Jumlah Pelawat
98
Pengenalan dan sejarah
Alai Sekafi merupakan tarian tradisional masyarakat etnik Lundayeh, yang sebahagian besarnya mendiami daerah Sipitang dan kawasan pedalaman Long Pasia di Sabah. ‘Alai’ membawa maksud menari manakala ‘Sekafi’ adalah alat muzik tradisional masyarakat etnik Lundayeh yang rekabentuknya menyerupai alat muzik Sape. Oleh itu, tarian alai sekafi ini terhasil daripada nama alat yang dimainkan.
Secara tradisional, tarian ini berfungsi sebagai penghormatan untuk menyambut kepulangan para pahlawan Lundayeh yang telah berjuang dalam pertempuran atau peperangan. Ia berperanan sebagai satu bentuk apresiasi rasa kesyukuran atas usaha melindungi bangsa mereka daripada ancaman musuh. Kini, tarian Alai Sekafi telah berkembang luas menjadi elemen kebudayaan penting bagi etnik Lundayeh dan ia berfungsi sebagai hiburan budaya dalam segenap acara perayaan atau sambutan pesta tradisional seperti meraikan tetamu, perkahwinan atau sebarang acara rasmi.
Penari wanita memakai busana berwarna putih mengikut potongan baju kebaya yang dihiasi dengan les hitam pada bahagian leher dan lengan yang dikenali sebagai ‘Bekad Berecu’. Baju ini dipadankan dengan ‘Tekip Siating’ iaitu kain sarung berwarna hitam yang dihiasi manik atau renda pada bahagian hujung dan dipakai hingga paras lutut. Tekip Siating diketatkan menggunakan ‘Pogot’ iaitu tali pinggang besi berbentuk seperti kepingan syiling yang diperbuat daripada perak.
Melengkapi busana ini, penari akan dipakaikan dengan aksesori kepala berwarna kuning yang disebut ‘Alet Birar’. Pada bahagian pinggang pula, hiasan yang dipakai adalah ‘Selapit’ iaitu tali pinggang diperbuat daripada manik-manik kecil. Kelengkapan lainnya adalah aksesori hiasan ‘Baw Tulang’ (rantai leher) dan ‘Leku Baw’ (gelang tangan) untuk membahkan nilai auntentik busana tradisi etnik Lundayeh.
Tarian ini sepenuhnya akan diiringi oleh alat muzik Sekafi iaitu alat muzik tradisional khusus buat masyarakat etnik Lundayeh di Sabah. Sekafi diperbuat daripada batang pokok nangka dan dipasangkan dengan tiga utas tali loyang atau dawai. Permukaan alat muzik Sekafi akan dilukiskan dengan motif khas yang menggambarkan seni lukis masyarakat etnik Lundayeh. Lazimnya, alat muzik ini dimainkan secara solo untuk mengiringi sebarang persembahan daripada Alai Sekafi.
Persembahan tarian ini hanya dilakukan oleh penari wanita sahaja. Ragam geraknya lebih berfokus kepada gerakan tangan yang digulung dan dilentikkan serta bermain dengan henjutan kaki. Formasi gerak koreografi adalah terpulang kepada kreativiti pereka tari (koreografer) untuk menyusun pola lantai. Namun, gerakan tangan adalah tetap sama.
-
Sumber Rujukan
Bilcher Bala, Baszley Bee Basrah Bee & Jane Wong Kong Ling. (2012). Lundayeh. Dalam Kntayya Mariappan & Paul Porodong. Siri etnik Sabah ITBM-UMS: Murut & Pelbagai Etnik Kecil Lain di Sabah. Institut Terjemahan Buku Malaysia.
Simeon, J. J. C., Low, K. O., Baxter, I. S., Saudik, M., Ahmad, S., & Chong, L. S. (2017). Traditional Musical Instruments and Dance Music of the Lundayeh of Sabah. Wacana Seni, 16, 103–133. https://doi.org/10.21315/ws2017.16.5
Bala, B., K. L. Wong & Baszley Bee Basrah Bee. (2007). Perubahan Sosiobudaya Masyarakat Lundayeh. Dalam Pluraliti Etnik dan Budaya di Sabah, eds. Saidatul Nornis Mahali, Mohd. Sarim Mustajab & Suraya Sintang, 201–253. Kota Kinabalu: Penerbit UMS.
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Encik Hassanal Redzuan
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah
Kompleks JKKN Sabah,
Jalan Tasik off KM4 Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu
SABAH
088-205070
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!