IGAL LELLANG
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Igal Lellang merupakan salah satu tarian tradisional bagi etnik Bajau Laut di daerah Semporna, Sabah, yang secara eksklusif ditarikan oleh lelaki sahaja. Nama "Lellang" berasal daripada gabungan dua kata dasar, iaitu "Lella" yang bermaksud lelaki dan "Leyang" yang bermaksud terbang. Gabungan ini secara harfiahnya merujuk kepada "Lelaki yang terbang."


Secara simbolik, makna disebalik  “Lelaki yang terbang” itu adalah menggambarkan gerakan menyerupai burung yang sedang terbang di udara. Interpretasi simbolik ini  berkait rapat dengan asal usul perkataan "Igal," yang dipercayai berasal daripada perkataan bahasa Inggeris "Eagle" (burung helang). Hubungan antara nama dan gerakan ini memperjelaskan bahawa tarian Igal Lellang mengambil inspirasi daripada burung helang yang terbang dengan mencerminkan elemen kebebasan, keagungan, dan dominasi burung tersebut di langit.


Tarian Igal Lellang berasal daripada ritual perubatan tradisional masyarakat Bajau Laut yang dikenali sebagai ritual Magombok. Ritual ini dipersembahkan sebagai bentuk sajian untuk menyeru semangat roh nenek moyang, yang dipercayai memiliki kemampuan untuk merawat penyakit-penyakit spiritual. Dalam konteks tradisi ini, hanya penari lelaki yang lazimnya mempersembahkan tarian tersebut, di mana gerakan khas yang dipersembahkan dikodkan sebagai Igal Lellang.


Fungsi dan Peranan

Secara tradisional, fungsi Igal Lellang dalam ritual Magombok adalah  medium komunikasi antara manusia dan alam roh. Ia dipercayai menjadi saluran untuk menyeru semangat roh nenek moyang lelaki, yang dianggap sebagai entiti pelindung dan penyembuh dalam konteks spiritual. Ia dipercayai membantu memperkuat energi penyembuhan yang dialirkan oleh roh nenek moyang kepada individu yang sedang dirawat dan menolah unsur-unsur negatif dalam tubuh badan persakit.


Namun seiring dengan perkembangan semasa, tarian ini tidak terhad untuk persembahan dalam upacara ritual sahaja. Sebaliknya fungsi dan peranannya menjadi lebih luas termasuklah sebagai sebahagian daripada persembahan kebudayaan, acara rasmi, dan medium promosi warisan budaya masyarakat Bajau Laut. Tarian ini kini sering dipersembahkan dalam festival budaya, pertandingan seni tari, serta pameran seni tradisional, menjadikannya simbol identiti budaya yang lebih dikenali di peringkat tempatan dan antarabangsa. 


Selain itu, Igal Lellang juga digunakan sebagai alat pendidikan untuk memperkenalkan nilai-nilai tradisi, estetika seni, dan kepercayaan masyarakat Bajau Laut kepada generasi muda dan masyarakat luar. Peranannya yang berkembang ini bukan sahaja memastikan kelangsungan tarian tersebut tetapi juga memperkukuhkan kepentingannya dalam konteks budaya kontemporari.


Busana/ Aksesori

Busana tradisional tarian ini dikenali sebagai “Badju Tangguh” atau juga disebut sebagai “Badju Leyang.” Reka bentuk baju ini mempunyai potongan leher cekak musang dan belahan di bahagian tengah yang memperlihatkan baju lapisan dalam penari lelaki. Baju ini biasanya dipadankan dengan salah satu daripada tiga (3) jenis seluar panjang, iaitu “Sawwal Tanjak,” “Sawwal Pajimpang,” dan “Sawwal Kantiyu.” 


Sawwal Tanjak merujuk kepada seluar berpotongan “Slim-Cut” yang panjangnya hanya hingga ke paras pertengahan betis untuk memberikan penampilan yang kemas serta menonjolkan pergerakan kaki. Sawwal Pajimpang pula adalah seluar jenis “straight bottom” yang panjangnya mencecah paras buku lali bertujuan untuk memberikan keseimbangan antara fleksibiliti dan estetika tradisional. Sementara itu, Sawwal Kantiyu adalah seluar panjang dengan potongan longgar pada bahagian bawah yang menyerupai bentuk skirt untuk menambah elemen dramatik pada gerakan tarian terutamanya semasa lompatan atau langkah besar. Penampilan ini diserikan dengan hiasan kain penutup pinggang yang disebut “Kandit”. 


Sebagai aksesori untuk lelaki, busana tradisional ini hanya menggunakan tanjak sebagai hiasan kepala yang terbahagi kepada dua jenis berdasarkan bahan dan gaya ikatan. Jika tanjak diperbuat daripada material kain keras dengan ikatan di bahagian belakang kepala, ia dikenali sebagai “Tanjak.” Sebaliknya, jika tanjak diperbuat daripada material kain lembut dengan ikatan pada bahagian dahi, ia disebut sebagai “Porong.” 


Peralatan/ Bahan-Bahan

Igal Lellang adalah mempunyai lagu yang khusus diknalli sebagai “Titik Lellang”. Ia dimainkan menggunakan ensembel alat muzik tradisional yang dikenali sebagai "Tagungguk." Ensembel ini terdiri daripada gabungan alat muzik seperti Agung (gong), Kulintangan, dan Tambul (gendang). Setiap pemuzik ini mempunyai nama-nama khas mengikut jenis alat muzik yang dimainkan seperti “Pangagung” atau “Tukang Agung” untuk pemain gong, “Panambul” untuk tukang gendang dan “Pangongkak Kulintangan” untuk pemain alat muzik Kulintangan.

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Tarian ini lazimnya hanya ditarikan secara individu dan bersifat fleksibel kerana persembahannya dilakukan secara improvisasi tanpa terikat kepada ragam gerak atau pola lantai yang spesifik. Gerakan penari sepenuhnya bergantung kepada irama Titik Lellang yang dimainkan oleh pemuzik. Fleksibiliti ini memberikan ruang kepada penari untuk menyesuaikan gerakannya berdasarkan suasana dan nuansa persembahan. 


Walaupun begitu, Igal Lellang berfokus kepada tiga elemen utama gerak tubuh, iaitu gerakan tangan, bahu, dan kaki, yang saling berkait untuk mencipta estetika  dan bentuk persembahan unik. Berikut adalah penerangan tentang gerak asas Igal Lellang

Jadual 1: Gerak Asas Igal Lellang

 

Pergerakan

Nama Pergerakan & Deskripsi

Tangan   

Pergerakan tangan adalah elemen paling penting dalam Igal Lelllang kerana ia menampilkan identiti persembahan ini. Terdapat dua (2) gerak asas tangan dalam Igal Lellang iaitu;

 

1)            Angaleburan Tangan

Satu tangan sedikit bengkok ke arah badan, manakala tangan lain diluruskan tinggi ke sisi. Pergelangan tangan membuat putaran bulat (dalam atau luar). Tapak tangan ditegakkan dan tidak melenting seperti tarian Igal-Igal

 

2)            Holiga’un Tangan

Pergerakan holiga’un tangan merujuk kepada pergerakan saling berlawanan antara tapak tangan seperti menolak beban menggunakan tapak tangan sambi menggerakkan jari-jari

 

3)                     Angalellang Tangan

Kedua-dua tangan diluruskan ke luar, melambai perlahan dari kedudukan rendah ke tinggi sisi, dengan jari yang ditegakkan dan diberi penekanan apabila mencapai kedudukan tinggi. Pergerakan ini sering digabungkan pergerakan kaki pada awal mula persembahan.

Bahu

Pergerakan bahu dikenali sebagai “Angidjut Baha” atau yang memainkan peranan penting untuk menambahkan keindahan visual tarian. Bahu digerakkan ke atas dan ke bawah secara bertentangan, selari dengan rentak  muzik. Lazimnya gerak ini tidak terlalu dominan berbanding tarian Igal-Igal. Memadai dengan menggerakkan bahu dengan frekuensi yang tidak terlalu dinamik, tetapi ada pegerakan bahu

Kaki 

Pergerakan kaki l mengandungi dua (2) motif iaitu;

 

1)                   Pagginsil Tapek/Naek

Pergerakan menggeserkan kaki menggunakan tumit dan bawa tapak hadapan kaki dengan cara di angkat tidak terlau tinggi agar memudahkan ensotan ataupun geseran dari satu tempat ke satu tempat yang llain.

 

2)                       Angengkek-Ngengkek

Pergerakan asas di mana satu kaki dibengkokkan untuk menyokong badan, manakala kaki lain menyentuh lantai dengan hujung jari kaki atau bola kaki, berhampiran dengan kaki sokongan. Pergerakan ini serba guna, membolehkan penari bergerak ke depan, belakang, atau ke sisi.

Tokoh dan Pencapaian

En. Azlan bin Marasal, Kampung Bugaya, Jalan SMK Bugaya, 91308 Semporna, Sabah.


En. Datu Sabri bin Datu Alawiddin, Kampung Pinggiran Bakau, Jalan Kampung Perigi 91308 Semporna, Sabah.


En. Mohd Noh bin Abdul Karim, Kampung Bohey Lima, 91308 Semporna, Sabah.


Pn. Marliza binti Marasal, Kampung Bugaya, Jalan SMK Bugaya, 91308 Semporna, Sabah.


Cik Salasiah binti Abd Rani, Kampung Tampi-Tampi, 91308 Semporna, Sabah


Sumber Rujukan

Amsalie, Y., Pisali, A., Zainal, S., Jusilin, H., & Lauk, M. (2017). Persembahan tarian panangsang dalam ritual penyembuhan masyarakat bajau laut. Jurnal Gendang Alam (GA), 7.


Hafzan Zannie, Hamza (2013) Igal:The traditional performing arts of the bajau laut in Semporna, Sabah / Hafzan Zannie Hamza. Master thesis, University of Malaya.


Santamaria, M. C. M. (2016). Necessary (re) unions: Revisiting and revising studies on the Sama igal dance and kulintangan ensemble music traditions. In Sounding the Dance, Moving the Music (pp. 67-79). Routledge.


Santamaria, M. C. M. (2018). Music, Dance and the Sama-Bajau ‘Diaspora’: Understanding Aspects of Links among Communities through Ethnochoreomusicological Perspectives. Journal of Maritime Studies and National Integration, 2(2), 86-90.


Santamaria, M. C. M. (2023). Three Categories of Intangible Cultural Heritage and Three Degrees of Importance: The Case of the Sama-Bajau Igal Dance Tradition of Tawi-Tawi Province, Philippines. In Performing Arts Conference: Heritage and Modernity in the Performing Arts (p. 1).


Zainal, S., Rahman, M. K. A., Lazarus, E. M. C. L., Salleh, M. S., Amsalie, Y., Pisali, A., ... & bin Musa, M. N. H. (2021). Kelamat-Keombo’an: Permainan Watak Melalui Penyatuan Elemen Kelima Dalam Persembahan Teater Ritual Igal Etnik Bajau Pantai Timur Sabah: Kelamat-Keombo’an: Role Play Through The Fifth Elemets Unification In Igal Theatre-Ritual Performance Of Sabah East Coast Bajau. Jurnal Gendang Alam (GA), 11(2), 63-84.


Lokasi
Pautan Google Maps :