Sayau Belandaih adalah salah satu tarian tradisional masyarakat etnik Kadazan-Dusun daripada suku Dusun Tatana yang diamalkan di kampung Kayul, Kampung Gorowot, Kampung Menunggang dan Kampung Melampai, daerah Kuala Penyu.
Tarian ini berakar daripada adat ritual Moginum, sebuah upacara khas yang bertujuan untuk memanggil roh nenek moyang atau ahli keluarga yang telah meninggal dunia agar hadir dalam majlis yang sedang diraikan. Terdapat dua upacara ritual Moginum yang akan melibatkan persembahan tarian ini iaitu;
1. Moginum Kaul – Diadakan sebagai memenuhi niat untuk berubat jika berlaku seseorang ahli keluarga mengalami sakit yang disebabkan keteguran roh nenek moyang atau ahli keluarga yang meninggal dunia. Keteguran roh ini dipanggil sebagai ’Simponongon’ oleh masyarakat Tatana yang bertujuan untuk memulihkan seseorang daripada musibah penyakit.
2. Moginum Loyob – Biasanya diadakan sebagai memperingati roh anggota keluarga yang telah meninggal dunia. Ia akan dijalankan dalam tempoh kira-kira dua minggu atau selepas kematian ahli keluarga.
Busana yang dipakai ketika menarikan tarian ini dikenali dengan nama ‘Sira Dambia’. Ia mempunyai poket pada bahagian baju yang disisipkan dengan kemasan sapu tangan berwarna merah. Sira Dambia lazimnya akan dipadankan dengan ‘Sandai’ iaitu selendang panjang yang pasangkan secara bersilang pada bahu dan dililit pada tubuh penari. Sementara itu, busana ini juga dilengkapi dengan pemakaian ‘Sigar’ ataupun tengkolok dengan ikatan berekor pada bahagian belakangnya. Keunikan lainnya, penari akan membawa props persembahan yang terdiri daripada ‘Taming’ (perisai), loceng dan tudung periuk atau talam besi.
Tarian ini dipersembahkan dengan iringan paluan gong berentak ‘Tungkas Kadayan’.
Tarian ini hanya dipersembahkan semasa upacara Moginum oleh dua orang penari lelaki. Seorang daripadanya memegang Taming (perisai) dan sebuah loceng. Penari yang seorang lagi memegang sebuah talam atau penutup periuk. Gerak tarinya adalah ke kiri dan ke kanan seakan-akan pergerakan ketam.
i. Bahan Bacaan
(n.d.). Etnik Tatana: Kepercayaan & Amalan (pp. 1–7) [Review of Etnik Tatana: Kepercayaan & Amalan]. Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah. Retrieved November 11 C.E., from https://culture.sabah.gov.my/sites/default/files/uploads/products/files/2023-02/e-book%20Etnik%20Tatana.pdf
Kitingan, J., P. (2012). Kadazan Dusun. Institut Terjamahan & Buku Malaysia. Kuala Lumpur
Pusing, M. (2001). Upacara moginum dan bobolian: upacara perubatan traditional masyarakat Dusun-Tatana di daerah Kuala Penyu, Sabah. (Doctoral dissertation, Jabatan Sosio-Budaya Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, 2000/2001.).
Shafiia, A. H., Ishakb, S., Hassanc, H., Ghouse, M., & Beguma, M. (2016). Babalian and community rituals of Dusun Tatana Ethnic in Sabah, Malaysia: A preliminary study. In International Soft Science Conference.
Sri Ningsih Sukirman, & Patricia Jipoh. (2023). Elemen Penyokong Persembahan Tarian Sayau Moginum, Dusun Tatana, Kuala Penyu, Sabah : Supporting Elements Of Sayau Moginum Dance Performance, Dusun Tatana, Kuala Penyu, Sabah. Jurnal Gendang Alam (GA), 12(2). https://doi.org/10.51200/ga.v12i2.4286
ii. Tokoh (jika ada temu bual tokoh)
Dr. Monih Epin. Persatuan Kebudayaan Tatana Sabah. Peti Surat 71, Kg. Bundu Batu 4, 89747 Kuala Penyu, Sabah.
En. Roland Raymond. Kumpulan Penari Limbai Karamaian. Kampung Kelampun. Jalan Beaufort - Menumbok, 89740 Kuala Penyu, Sabah.
Pn. Jainah Ngoai. Kumpulan Penari Limbai Karamaian. Kampung Kelampun. Jalan Beaufort - Menumbok, 89740 Kuala Penyu, Sabah.