Zapin Arab atau lebih dikenali dengan sebutan zaffin ialah bentuk asal tarian zapin yang dibawa oleh pedagang dan mubaligh Arab dari Hadramaut, Yaman, ke Alam Melayu sekitar abad ke-15 dan ke-16. Pada mulanya, tarian ini dipersembahkan sebagai hiburan di istana dan medium dakwah Islam. Zapin Arab menekankan gerakan kaki yang cepat dan sederhana, dengan pengaruh kuat budaya Arab. Zapin Arab adalah salah satu bentuk tari yang diamalkan dlama budaya gambus masyarakat Arab di Malaysia. Tradisi bergambus atau gambusan ini meliputi Zaffin, Sarah dan Samrah yang dimulakan dengan dendangan Taqsim atau Taqasim oleh instrument Gambus.
Zapin Arab berfungsi sebagai hiburan dalam majlis keramaian dan upacara keagamaan. Ia juga menjadi medium dakwah, menyampaikan mesej moral dan nilai-nilai Islam melalui lirik lagu dan gerak tari. Selain itu, tarian ini memperkukuh ikatan sosial dalam komuniti dan memelihara warisan budaya Arab dalam masyarakat Melayu.
Penari lelaki dalam Zapin Arab biasanya mengenakan berjubah lengkap atau pakaian biasa yang dipakai menghadiri acara perkahwinan. Pakaian ini mencerminkan asimilasi budaya Arab dan Melayu, dengan penekanan pada kesopanan dan keindahan seni tradisional.
Persembahan Zapin Arab diiringi oleh alat muzik tradisional seperti:
Gambus: Alat muzik petik yang memainkan melodi utama.
Marwas: Gendang kecil yang memberikan ritma dinamik.
Persembahan Zapin Arab melibatkan gerakan kaki yang cepat dan tidak banyak gerak bunga tari. Tarian ini biasanya dipersembahkan secara berpasangan atau berkumpulan, dengan penekanan pada keselarasan gerak dan irama muzik. Persembahan dimulakan dengan gerakan pembukaan, diikuti dengan variasi langkah, dan diakhiri dengan gerakan penutup yang dikenali sebagai 'wainab'.
Zapin Arab telah dipelopori oleh komuniti Arab di Malaysia, khususnya di Johor, yang memainkan peranan penting dalam memelihara dan mempromosikan tarian ini. Usaha mereka memastikan kelestarian Zapin Arab sebagai warisan budaya yang berharga. Pencapaian ini termasuk pengiktirafan dalam festival seni dan penyertaan dalam program kebudayaan yang memaparkan keunikan zapin sebagai identiti budaya Melayu yang dipengaruhi oleh unsur-unsur Arab.
Bahan Bacaan
Hidajat, R., Suyono, J., Sayono, J., Hasyimy, M. A., Syahputri, D. R., Iskandar, S. A., Ismail, I. E., & Mohd Isa, N. (2021). Tafsir Tari Zapin Arab dan Melayu dalam Masyarakat Melayu [Tafsir Arabic and Malay Zapin Dance in Malay Society]. Journal of Education, Humaniora and Social Sciences (JEHSS), 4(2), 1266–1273. https://doi.org/10.34007/jehss.v4i2.935
Yousof, G.-S. (Ed.). (1998). The Encyclopedia of Malaysia: Performing arts (Vol. 7). Kuala Lumpur, Malaysia: Archipelago Press.
Triyani, R., Masunah, J., & Nugraheni, T. (2021, February). The Uniqueness of Malay Zapin Dance Choreography. In 3rd International Conference on Arts and Design Education (ICADE 2020) (pp. 101-103). Atlantis Press.
Nor, M. A. M. (2024). Istana, Desa, Tariqah: Inter-court Relations of Zapin in the Malay Sultanates of Sumatra and the Malay Peninsula. Brill’s Southeast Asian Library, 77.