Tarian
Adai-Adai adalah salah satu seni budaya tradisional masyarakat Brunei di Sabah,
Malaysia. Ia berkembang daripada daripada tradisi lisan berbentuk pantun dan
dinyanyikan secara beramai-ramai oleh masyarakat Brunei yang tinggal di
pesisiran pantai, khususnya di daerah Menumbok, Sipitang, Kuala Penyu, dan
Beufort. Pada zaman dahulu, lagu Adai-Adai dinyanyikan secara spontan oleh para
nelayan ketika mereka menangkap ikan di laut sebagai cara untuk menghilangkan
kepenatan ketika ‘Berkarang’ (bekerja)
serta meningkatkan semangat mereka. Lama kelamaan, lagu ini berkembang menjadi
satu bentuk tarian berdasarkan cerita bagaimana seseorang nelayan itu pergi ke
laut untuk menangkap ikan dan juga menceritakan tentang bagaimana para isteri
menyambut kepulangan suami mereka dipersisiran pantai sepulangnya dari laut.
Dalam konteks masa kini, tarian adai-adai menjadi satu bentuk persembahan
budaya yang dipersembahkan dalam pelbagai acara kebudayaan dan majlis
perkahwinan, serta menjadi simbol kebanggaan etnik Brunei.
Tarian Adai-Adai bukan sahaja beperanan sebagai bentuk hiburan semata-mata, tetapi ia mengandungi nilai-nilai tradisi dan adat masyarakat Brunei. Tarian ini berperanan untuk memperingati kehidupan masyarakat nelayan pada satu ketika dahulu, di samping melestarikan warisan budaya kepada generasi muda. Dalam konteks kontemporari masa kini, tarian Adai-Adai sering dipersembahkan dalam festival kebudayaan mahupun acara rasmi atau majlis-majlis keramaian yang menjadikannya sebagai alat pemerkasaan identiti etnik Brunei di Sabah.
Penari lelaki akan mengenakan busana lengkap berbaju Melayu Teluk Belanga yang polos atau boleh sahaja dengan cetakan corak petak berwarna warni. Busana ini lengkap dipakaikan dengan dengan sampin daripada kain pelikat yang diikat secara menyerong ataupun kain sarong yang diolah menjadi selempang. Pada hiasan kepala, penari lelaki kebiasaanya akan mengikat kain pada dahi atau menggunakan kain sarong nipis. Sementara itu, penari lelaki akan menggunakan props dayung sampan disepanjang persembahan dilakukan.
Bagi penari wanita, busana yang digunakan boleh daripada dua jenis iaitu baju kurung kedah atau dalam bahasa tempatan disebut ‘Baju Opah’ atau menggunakan kebaya singkat dengan padanan skirt menggunakan kain batik. Pada bahagian kepala penari wanita, kain batik akan dibentuk menjadi kerudung menutupi kepala atau boleh sahaja disesuaikan dengan hiasan kontemporari menggunakan cucuk sanggul dan bunga. Kemudian, props tangan yang digunakan oleh penari wanita adalah nyiru rotan untuk menunjukkan perbuatan menampi atau meletakkan hasil tangkapan ikan.
Penggunaan alat muzik dalam tarian ini cukup unik kerana pada suatu ketika dahulu, tarian ini tidak menggunakan sebarang alat muzik, sebaliknya hanya menggunakan paduan suara nyanyian penari, bunyi hentakan pengayuh pada pinara sampan atau perahu yang didayung dan bunyi pukulan pada buyung atau keduit. Namun, pada masa kini, alat muzik seperti rebana dan gambus telah digunakan untuk mengiringi persembahan tarian ini bagi, memberikan bunyi dan irama melodi yang bervariasi
Persembahan Tarian Adai-Adai melibatkan gabungan gerak tari dan nyanyian beramai-ramai oleh semua penari. Penari lelaki akan meniru pergerakan nelayan ketika di laut, seperti mendayung perahu, membentangkan pukat/jala, dan menarik hasil tangkapan. Manakala penari wanita pula akan melakukan gerak menggunakan nyiru dengan membuat imitasi gerak menampi atau menyusun hasil tangkapan ikan yang dibawa pulang oleh suami mereka. Asas gerak ini akan dilakukan secara berulang mengikut pola lantai yang disusun oleh koreografer. Kaedah persembahan Tarian Adai-adai dan penerangannya boleh dilihat melalui Jadual 1 di bawah;
Jadual
1: Kaedah Persembahan Tarian Adai-adai
Kaedah
Persembahan |
Deskripsi
Gerak |
Gerak
masuk |
Dalam
gerak masuk tarian Adai-adai, penari akan berinteraksi antara satu sama lain
sebelum bergerak ke kedudukan masing-masing. Muzik dimainkan terlebih dahulu
sebagai isyarat permulaan sebelum mereka melangkah ke pentas. |
Gerak
duduk |
Gerakan
duduk ini berfungsi sebagai persiapan penari untuk bergerak selepas lagu
dinyanyikan. Biasanya, gerakan ini dilakukan oleh penari wanita sementara
menunggu kehadiran nelayan atau penari lelaki ke atas pentas. |
Gerak
berdiri |
Gerakan
berdiri merupakan salah satu elemen yang dominan dalam tarian Adai-adai.
Pergerakan ini sering kali menjadi ciri utama, terutamanya dalam kalangan
penari lelaki, kerana kebanyakan gerakan tarian dilakukan dalam posisi
berdiri. Gerakan ini memainkan peranan penting dalam menyusun koreografi
keseluruhan persembahan. Posisi berdiri ini memberi ruang kepada penari untuk
bergerak dengan lebih dinamik dan bebas, sekaligus menambah intensiti visual
kepada persembahan secara keseluruhan. |
Gerak
berpasangan |
Gerakan
berpasangan dalam tarian ini bertujuan untuk menunjukkan kerjasama antara
penari elaki dan wanita yang menggambarkan keharmonian dalam setiap gerak
tari. |
Gerak
penutup |
Gerakan
penutup dalam tarian ini mirip dengan gerakan masuk. Sebelum meninggalkan pentas para penari
akan berinteraksi sesama mereka terlebih dahulu lali keluar dari pentas untuk
menandakan akhir persembahan. |
Hajijah binti Lamiri. ( 46 tahun). Kampung Laut, Jalan Tanjung Pagar, 89607 Papar, Sabah. 13 Oktober 2024
Graclye Ana Dimi@Jimmy & Mohd Fauzi Amiruddin. (2024). Analisis Persembahan Tarian Adai-Adai Etnik Brunei di Beaufort, Sabah. Dalam Hamza, H. Z., Hussain Chin, L. F. & Sampurno, M. B. T. (Eds.). Prosiding Seminar Kajian Ilmiah Seni Persembahan 2024. Universiti Pendidikan Sultan Idris.