TARIAN KUDA PASU
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Kuda Pasu yang turut dikenali sebagai Kuda Pacu merupakan salah satu tarian tradisional yang popular dalam kalangan masyarakat etnik Bajau Samah di daerah Kota Belud. Tarian yang membawa maksud kuda pacuan ini mulai diperkenalkan pada tahun  1975 oleh Jeffery bin Oleh iaitu salah seorang tokoh yang sangat siginifikan dalam bidang seni persembahan tarian tradisional masyarakat etnik Bajau Samah. Sehingga kini, tarian Kuda Pasu terus dipersembahkan di mana-mana majlis perayaan dan telah mendapat pengiktirafan sebagai tarian tradisional bagi rumpun ini.


Menurut sejarah penciptaannya, tarian ini diinpirasikan daripada kemahiran penungang-penunggang kuda dalam menyambut ketibaan kerabat diraja. Selain itu, dalam konteks adat perkahwinan tradisional Bajau Samah, kuda sering digunakan sebagai pengangkutan untuk rombongan pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan. Amalan ini bukan sahaja menjadi lambang kepahlawanan dan keperkasaan seorang lelaki di majlis perkahwinannya, tetapi juga memberi simbolik kekuatan dan status dalam masyarakat. Sehubungan itu, pergerakan lelaki ketika menunggang dan mengendalikan kuda menjadi asas kepada penciptaan tarian ini.

Fungsi dan Peranan

Secara tradisinya, tarian ini bertujuan untuk  menyambut atau mengiringi pengantin lelaki dan rombongannya yang datang ke rumah pengantin perempuan. Pengantin akan disambut dengan meriah oleh pihak keluarga perempuan dan diberikan tanda ketibaan melalui tarian ini. Namun kini, i tarian Kuda Pasu telah berkembang dan mempunyai pelbagai fungsi lainnya seperti menjadi tarian sambut tamu untuk ketibaan orang-orang besar, tarian untuk pesta perayaan seperti pesta Tamu Besar Kota Belud dan persembahan ikonik untuk majlis-majlis rasmi. Hal ini kerana, ia berperanan besar dalam mempromosikan identiti budaya dan variasi tarian tradisional masyarakat etnik Bajau Samah kepada khalayak umum baik di dalam negara mahupun antarabangsa.

Busana/ Aksesori

Busana penari wanita dikenali sebagai ‘Sinipak’ iaitu persalinan baju yang mempunyai belahan pada bahagian tangan hingga kesiku. Baju yang dipakai  terdiri daripada ‘Blaus Badu Sampit’ yang dipadankan dengan kain sarung ‘Olos Berangkit’. Penari wanita turut menghiasi diri dengan perhiasan leher yang dikenali dengan nama ‘Mandapun’  serta memakai hiasan kepala yang diperbuat daripada logam berwarna emas menyerupai tanduk kerbau dikenali sebagai ‘Timpak’. Pada bahagian pinggang pula, akan dipakaikan hiasan pinggang yang disebut ‘Sampitan’ iaitu tali pinggang yang diperbuat daripada tembaga ataupun aluminium dengan getah pinggang berukuran tiga inci lebar. Ketika menari, semua wanita akan membawa sapu tangan daripada meterial kain satin untuk dilibas atau dihayunkan.


Penari lelaki mengenakan pakaian tradisional yang terdiri daripada baju berpotongan cekak musang, dipadankan dengan seluar, samping, dan tanjak daripada kain destar untuk melengkapkan penampilan mereka. Busana tradisional lelaki ini terbahagi kepada dua jenis. Sekiranya penari memakai pakaian jenis Sinipak (dengan bahagian tangan yang berbelah hingga ke siku), mereka akan dilengkapi dengan aksesori Mandapun. Sebaliknya, jika Sinipak tidak digunakan, Mandapun akan digantikan dengan selendang kain destar yang diletakkan pada bahu penari. Selain itu, penari lelaki turut mengenakan Sampitan, sama seperti yang dipakai oleh penari wanita.

Peralatan/ Bahan-Bahan

Persembahan ini akan diiringi dengan kelengkapan alat muzik ‘Betitik’ yang terdiri daripada ‘Tetawak’ ataupun set Kulintangan, ‘Bebandir’ iaitu canang, gong (ibu dan anak) serta alat muzik gendang.  Rentak dan alunan muzik boleh diubah menjadi lebih cepat dan penari-penari pula harus mempercepatkan pergerakan tarian mereka bersesuaian dengan muzik yang dimainkan seolah-olah sedang memacu kuda.

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Pasa asalnya, tarian ini hanya ditarikan oleh kaum lelaki sahaja sebelum kini ia telah ditarikan secara berpasangan. Oleh itu, kedua-dua penari yang berpasangan akan melakukan asas gerak seperti seakan-akan seperti orang yang sedang menunggang kuda yang mana penari lelaki akan membuat gerakan yang menggambarkan kegagahan dan kehandalan lelaki dari etnik Bajau dalam menunggang kuda. Penari lelaki akan gerakkan satu tangan ke atas searas bahu dan sebelah lagi akan diletakkan dipinggang atau dipinggul sambil membongkok siku dan yang memberikan keunikan pada tarian ini adalah gerakan kaki penari yang dipanggil 'kuda-kuda'. Penari wanita pula akan pegang sapu tangan di kiri dan kanan tangan mereka sebagai tanda mengalu-alukan kedatangan pengantin.

Tokoh dan Pencapaian

Puan Mazhna Binti Gagah. Kg Tanjung Wakap 89150 Kota Belud, Sabah. 13 Oktober 2024.


Puan Judeth John Baptist. Kg Tanjung Wakap 89150 Kota Belud, Sabah. 13 Oktober 2024.


En. Asnari Taim. Persatuan Citra Seni Budaya, 89150 Kota Belud, Sabah. 01 November 2024.


Sumber Rujukan

Chan, A. H., & Saearani, M. F. T. (2020). The Invention of Kuda Pasu as Performing Arts–Dance among the Bajau-Sama in Kota Belud, Sabah. Sciences, 10(7), 406-412.


Hussin, H. (2023). Ritual Dance and Performance in Contemporary Borneo: A Study of the Kadazan and Sama-Bajau Communities of Sabah, Malaysia. In Performing Arts Conference (p. 154).


Jubilado, R. C. (2010). On cultural fluidity: The Sama-Bajau of the Sulu-Sulawesi seas. Kunapipi, 32(1), 10. http://eprints.um.edu.my/13460/


Nor, M. A. M., & Hussin, H. (2019). Gendering Dance, Gazing Music: Dance Movements, Healing Rituals and Music Making of Sama Bajau and Sama Dilaut of East Malaysia and Southern Philippines. SAMUDERA-Journal of Maritime and Coastal Studies, 1(1), 75-91.


Saat, G. (2003). The identity and social mobility of Sama-Bajau. Sari, 21(1), 3-11.


Saidatul Nornis Hj. Mahali. (2012). Siri Etnik Sabah ITMB-UMS: Bajau Pantai Barat. Institut Terjemahan & Buku Malaysia. Kuala Lumpur.


Saidatul Nornis. (2018). Ngalai: Ritual Penyembuhan dalam Kalangan Orang Bajau di Kota Belud, Sabah. Akademika 88(3), 101-112. doi: 10.17576/akad-2018-8803-09.


Lokasi
Pautan Google Maps :