TARIAN SABA’
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Tarian Saba’ merupakan persembahan gerak tari dan nyanyian yang mempunyai hubung kait dengan peristiwa tertentu yang berlaku dalam masyarakat Melayu Terengganu suatu masa dahulu. Peristiwa berkenaan termasuklah seperti wabak penyakit yang melanda dan Saba' digunakan bagi tujuan perubatan dan penyembuhan wabak berkenaan. Kesenian ini dipercayai dimulakan oleh seorang bomoh wanita bernama Che Mek Comot lebih kurang pada tahun 1718 di Kampung Kuala Jengal, Dungun, Terengganu.

Pada zaman dahulu, sebelum upacara perubatan dimulakan, upacara memanggil dewa atau pemujaan perlu dilakukan terlebih dahulu supaya proses perubatan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan. Sepohon pokok kelapa muda yang dipanggil Sabak (Saba’) telah diukir bagi tujuan ini, dan persembahan tarian dimulakan dari pokok ini. Kebiasaannya, ritual perubatan dilakukan pada waktu malam di antara satu hingga tiga malam berturut-turut di satu ruang khas di dalam rumah. Tarian ini diiringi oleh 33 buah lagu antaranya ialah Anak Burung Baniong, Dewa Awan, Muda Di Awan, Nur Sakti, Anak Tedung, Anak Udang dan banyak lagi.

Fungsi dan Peranan

Kini Tarian Saba’ ini tidak lagi dipersembahkan untuk tujuan ritual kerana ia bertentangan dengan syariat Islam. Ia ditransformasikan sebagai sebuah seni persembahan pentas, membuang semua elemen melibatkan pemujaan atau berunsur syirik.

Busana/ Aksesori

Para penari dan pemain muzik memakai busana Melayu seperti baju kurung dan baju Melayu serta tanjak. Penari memakai hiasan kepala dengan cucuk sanggul, memakai la di dada, bengkung pinggang baldu, selendang berwarna kuning atau hijau yang diikatkan di lengan bagi menggambarkan pergerakan sayap watak puteri kayangan. 

Peralatan/ Bahan-Bahan

Persembahan ini juga menggunakan beberapa jenis alat muzik tradisional seperti Anak Umbang, Gong dan Rebana.

Tokoh dan Pencapaian

Antara tokoh yang memperjuangkan kesenian Saba' sehingga kini ialah Che Wan Noorsaidi Che Wan Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Mok Zah. Beliau merupakan generasi pewaris kesenian Saba' yang ke-9. Selain berkebolehan menyanyi dan menarikan Tarian Saba’, Mok Zah juga mahir bermain alat muzik tradisional untuk persembahan Saba’ seperti Anak Umbang, Gong dan Rebana. Beliau telah mengadakan persembahan di dalam program-program anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan juga program-program di bawah Kerajaan Negeri Terengganu seperti Festival Tari, Panggung Seni Tradisional, Citrawarna Malaysia, program hujung minggu di Muzium Terengganu dan sebagainya. Beliau turut dilantik sebagai tenaga pengajar untuk program perantisan JKKN, dan telah menerima pengiktirafan sebagai Tokoh Kesenian Saba’ pada tahun 2015 sempena program Anugerah Tokoh Seni Budaya Negeri Terengganu. Telah mementaskan sebuah teater tradisional di Matic, Kuala Lumpur pada 4 & 5 Ogos 2023 sempena Panggung Seni Tradisional. Kini, Mok Zah merupakan tokoh saba’ tunggal di Malaysia dan dunia, malah menjadi pakar rujuk utama bagi keseniaan tersebut.

Sumber Rujukan

i.        Bahan Bacaan

-      Tarian saba buku kecil Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan 1983 - 21 p. ill 19 cm. - (Siri mengenal budaya: 13).

-       VCD terbitan JKKN pada tahun 2005 judul Tarian Tradisional Terengganu.

-       Buku  - Umi Abdullah (2005) judul Tarian Tradisional Terengganu, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia.

-       Laman Web Mohd Kipli Rahman: (2016), Persembahan Saba: Suatu Ritual Penyembuhan dari Perspektif Kosmologi, Malaysia Journal of Society and Space, 12 (8).

ii.        Tokoh (jika ada temu bual tokoh)

-       Che Wan Noorsaidi Binti Che Wan Abdul Rahman (Tokoh)

-       Encik Badrol (012-9069106) Kelab Kebudayaan Daerah Dungun

Lokasi