Sumaranum merupakan tarian tradisional etnik Iranun yang kebanyakannya menetap di daerah Kota Belud serta beberapa kawasan di sekitar Kota Marudu dan Tuaran. Dalam bahasa Iranun, istilah "Sumaranun" membawa makna "dirindui" atau "yang merindukan." Menurut komuniti etnik ini, irama muzik yang mengiringi tarian Sumaranum sering dirindui dan dikenang, menjadikan tarian ini diberi nama sedemikian.
Tarian ini mempunyai sejarah yang panjang di mana, pada awalnya tarian ini tercetus daripada ritual masyarakat etnik Iranun iaitu upacara perubatan tradisional yang dikenali sebagai ritual Parinang. Namun begitu, seiring dengan perkembangan dan peralihan masyarakat etnik Iranum yang memegang agama, tarian ini diubah menjadi satu bentuk persembahan tarian yang diberikan nama Ajung. Ia dinamakan sedemikian kerana tarian ini akan membawa Ajung iaitu sebuah replika rumah yang diperbuat daripada kain ataupun kertas. Ajung tersebut akan dihiasi dengan hiasan-hiasan kain yang berwarna-warni dan bendera dipacak di setiap bucu Ajung. Setelah itu, kesepakatan dilakukan sekali lagi untuk memberikan nama khusus buat tarian ini daripada Ajung kepada Sumaranum dan ia kekal digunakan sehingga kini.
Secara tradisinya, tarian Sumaranum dipersembahkan dalam pelaksanaan upacara ritual penyembuhan bagi orang yang sakit iaitu ritual ‘Parinang’. Namun begitu, seiring dengan perkembangan semasa dan perubahan melalui kepercayaan bergama, tarian ini telah berubah peranan kepada bentuk persembahan tarian tradisional untuk hiburan khususnya acara keramaian seperti majlis perkahwinan tradisi, menyambut tetamu, pesta kebudayaan, sambutan perayaan tradisional atau persembahan ketika acara-acara rasmi. Ia semakin berkembang dan popular bukan sahaja dalam kalangan masyarakat etnik Iranun, tetapi kepada etnik-etnik lain khususnya di Sabah dan pelancong-pelancong luar.
Busana penari tarian Sumaranum adalah menggunakan baju tradisional masyarakat etnik Iranun yang diperbuat daripada kain tenunan dikenali sebagai ‘Mugah’ atau ‘Dastar’. Kain tenunan ini lazimnya bercorak jalur menegak dan ia dikenali dengan nama baju ‘Sinipak’ iaitu potongan baju berbelah pada bahagian tangan hingga ke siku penari. Penari wanita akan dilengkapkan dengan skirt panjang bertenun dan disuaikan bersama penari lelaki akan memakai seluar panjang bersamping.
Lazimnya, aksesori busana penari lelaki dan wanita adalah terdiri daripada hiasan leher, pinggang dan kepala. Hiasan pada bahagian leher disebut ‘Mandapun’ yang diperbuat daripada kepingan tembaga atau alumnium yang berwarna emas dan dijahit pada kain baldu hitam. Pada bahagian pinggang pula, akan dipakaikan tali pinggang yang disebut ‘Sabitan Bobutulan’ untuk kaum lelaki dan ‘Sabitan’ untuk kaum perempuan. Tali pinggang ini diperbuat daripada kepingan aluminium dengan getah pinggang atau kain baldu berukuran tiga inci lebar. Hiasan kepada wanita akan dipakaian ‘Sinisip’ yang turut diperbuat sepenuhnya daripada kepingan aluminium nipis yang dicat warna emas. Berbeza dengan penari lelaki, mereka akan dipakaikan dengan ‘Sigar’ iaitu tanjak yang diperbuat daripada kain dastar. Aksesori tambahan bagi penari wanita adalah dengan pemakaian aksesori tangan yang disebut ‘Kinuku’, iaitu hiasan kuku panjang diperbuat daripada kepingan alumnium nipis dan berukuran antara tiga hingga lima inci pada setiap jari penari wanita.
Tarian ini akan diiringi dengan alat muzik tradisional Kulintangan, Bebandir (Canang) dan gong. Lazimnya tarian ini akan memainkan rentak muzik yang rancak untuk memberikan kekuatan kepada ritma gerak tarian yang kelihatan tangkas disepanjang persembahan.
Secara umumnya, tarian Sumaranum ditarikan secara berpasangan dan asas gerak utama taerian ini adalah pada gerakan tangan di mana penari wanita akan menggengam tangan (gengam tak sudah) sementara penari lelaki pula akan membuka telapak tanggan. Tarian Sumaranum terbahagi kepada 5 ragam asas iaitu;
1. Ragam gerak D’sayud
Dalam bahasa masyarakat etnik Iranun, ’D’sayud’ membawa maksud ’Menghayun’. Gerakan ini biasanya dilakukan oleh lelaki dan perempuan pada awal permulaan persembahan. Penari lelaki akan menghayun tangan lebih tinggi sehingga paras dada berbanding perempuan yang lebih rendah pada paras pinggang. Ketika menghayun tangan, penari akan membuat bukaan kaki yang kecil ke kiri dan ke kanan secara bergantian dengan hayunan tangan.
2. Ragam gerak Pagaid Sa Mayang a Mamaan
Pagaid Sa Mayang a Mamaan bermaksud membawa mayang pinang. Gerak ini menampilkan simbolik membawa mayang pinang ketika rawatan ritual.
3. Ragam gerak Kinasadan
Kinasadan bermaksud ’pegang pinggang’ iaitu ragam gerak menyamping sambil bergerak kehadapan atau kebelakang dan kekiri atau kekanan sambil memegang pinggang dengan genggaman tangan tak sudah.
4. Ragam gerak Matiburun
Matiburun bermaksud bulatan atau membuat bulatan. Ragam gerak ini akan sering dilakukan ketika persembahan tarian Sumaranum mengikut posisis tubuh dan pola lantai yang berbeza-beza.
5. Ragam gerak Lima Sa Kababan dan Lima Sa Puruan
Ragam ini adalah merujuk kepada perbuatan membuka tangan sambil jari digerakkan secara menggulung. Posisi tangan salah satunya akan berada di atas (Lima Sa Kababan) dan satu tangan lagi berada di bawah (Lima Sa Puruan). Sebagai contoh jika tangan kanan berada di atas, maka tangan kiri akan berada di bawah. Kedua-dua tangan akan berada pada kedua-dua posisi secara bergantian.
6. Ragam gerak Tindeg dan Paguntud
Tindeg bermaksud berdiri dan Paguntud bermaksud duduk. Lazimnya, jika penari lelaki berada pada posisi berdiri, maka penari wanita akan melakukan posisi duduk dan begitulah sebaliknya. Posisi Panguntud adalah berbeza bagi penari lelaki dan penari wanita. Cara penari lelaki ketika duduk adalah dengan posisi satu kakinya akan memasang kuda-kuda dan satu kaki lagi adalah alas kepada punggung. Bagi penari wanita pula, posisi kaki mereka akan dilipat untuk menjadi alas punggung mereka.
En. Asnari Taim. Persatuan Citra Seni Budaya, 89150 Kota Belud, Sabah. 01 November 2024.
Lokman Abdul Samad & Asmiaty Amat. (2012). Iranun. Dalam Kntayya Mariappan & Paul Porodong (Eds). Siri Etnik Sabah ITBM-UMS: Murut & Pelbagai Etnik Kecil di Sabah. Institut Terjemahan dan Buku Malaysia. Kuala Lumpur.
Saidatul Nornis. (2018). Ngalai: Ritual Penyembuhan dalam Kalangan Orang Bajau di Kota Belud, Sabah. Akademika 88(3), 101-112. doi: 10.17576/akad-2018-8803-09.
Taim, M. A., & Amat, A. (2022). Sumaranun dance: Movement changes from medical ritual to dance movement. Imaji Jurnal Seni Dan Pendidikan Seni, 20(1), 47–57. https://doi.org/10.21831/imaji.v20i1.45189