ALAT MUZIK SOMPOTON

Seni Persembahan >Muzik

Gambar

2

Video

tiada

Pelawat Hari ini

876

Jumlah Pelawat

2875

Pengenalan dan sejarah

Sompotan adalah salah satu alat muzik tradisional yang unik dan terkenal dalam kalangan etnik Kadazan-Dusun di Sabah. Alat muzik ini tergolong dalam kategori aerofon, iaitu alat muzik yang menghasilkan bunyi melalui tiupan udara. Sompotan mempunyai persamaan dengan alat muzik Bagpipe, tetapi dalam bentuk dan cara permainan yang sesuai dengan tradisi tempatan. Ia diperbuat daripada buluh dan labu yang menjadi resonator utama bagi menghasilkan bunyi harmoni yang khusus.


Berdasarkan sejarah tempatan, asal usul Sompoton dipercayai berasal daripada Kampung Tikolod daerah Tambunan dan penduduknya dikatakan mempunyai kemahiran khusus dalam menghasilkan alat muzik ini. Namun kini, alat muzik tradisional ini semakin mendapat perhatian dalam kalangan  pemuzik tradisional boleh didapati di mana sahaja khususnya di daerah-daerah pantai barat Sabah.


Struktur Sompoton terdiri daripada 8 batang Sumbililing (buluh kecil) iaitu 4 batang merujuk kepada ‘Rakit Panjang’ dengan tiga saiz panjang berbeza, dan 4 lagi adalah ‘Rakit Pendek’ yang mempunyai saiz yang sama. Rakit panjang dan rakit pendek ini disusun pada sekeliling Kurobu (labu air yang dikeringkan). Setiap batang buluh tersebut ditebuk dengan lubang untuk mengawal nada, dan satu daripadanya berfungsi sebagai saluran udara utama. Udara ditiup masuk melalui mulut ke dalam labu air yang dikeringkan lalu disalurkan ke buluh-buluh kecil tersebut untuk menghasilkan bunyi. Sementara itu, bunyi yang dihasilkan oleh Sompoton bersifat melodius dengan irama yang sering dikaitkan dengan suasana perayaan, ritual keagamaan, dan acara sosial.


Secara tradisional, Sompoton dimainkan semasa upacara-upacara adat dan keramaian, seperti perayaan pesta menuai yang sangat penting dalam budaya Kadazan-Dusun. Alat muzik ini bukan sahaja berfungsi sebagai hiburan, tetapi juga sebagai simbol penghormatan kepada alam semesta dan roh-roh nenek moyang mereka. Walaupun penggunaannya lebih sinonim dengan upacara tradisional, Sompotan kini semakin mendapat tempat dalam persembahan muzik moden dan kontemporari untuk mempromosikan warisan muzik tradisional Sabah.

Fungsi dan Peranan

Sompotan pada dasarnya berfungsi sebagai alat muzik utama dalam pelbagai upacara adat dan perayaan tradisional khususnya ketika sambutan pesta Kaamatan yang merupakan perayaan tahunan etnik Kadazan-Dusun untuk merayakan musim menuai. Dalam konteks ini, Sompotan berperanan menyemarakkan suasana gembira dan meriah, serta memberi iringan muzik kepada tarian dan persembahan adat. Kini, Sompotan juga digunakan dalam persembahan seni kontemporari dengan pelbagai genre muzik moden, seperti jazz dan fusion yang menjadikannya relevan dalam dunia muzik hari ini.

Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan

1. Sumbiling (Batang Buluh)

Sompoton mempunyai 8 batang buluh yang dibahagikan kepada dua rakit iaitu rakit panjang (3 jenis saiz panjang berbeza) dan rakit pendek (saiz panjang yang sama). Setiap batang buluh akan ditebuk untuk mengeluarkan nada dan bunyi yang berbeza-beza serta menjadi ruang hembusan udara


2. Korobu (labu air yang dikeringkan)

Isi labu air akan dibuang sehingga bahagian dalamnya menjadi kosong dan kulitnya dikeringkan. Kurobu ini berfungsi sebagai ruang angin apabila pemuzik menyedut atau menghembus udara melalui rongga mulut.


3. Rotan (dirait halus)

Digunakan untuk mengikut rakit buluh


4. Polod (kulit pokok palma)

Digunakan untuk puing yang dimasukkan pada tepi bahagian bawah rakit buluh untuk disatukan dengan labu air.


5. Sopilut (lilin/gam lebah)

Digunakan untuk menjadi penyambung dan pelekat kepada batang buluh dan labu air.


Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

1. Lazimnya, pemuzik memegang Sompoton dalam keadaan menegak dan paip-paip buluh akan menghala ke arah kanan.

2. Jari-jari tangan kiri akan menekan atau menahan lubang pada hujung paip rakit yang dipasakkan ke dalam labu. Manakala 3 jari iaitu jari telunjuk, jari tengah dan jari manis dari tangan kanan akan digunakan untuk menutup lubang bulung yang lebih pendek untuk mengatur nada yang dihasilkan.

3. Paip-paip buluh akan dilabelkan mengikut nada yang disebut Sodi iaitu mengikut kedudukan pada rakitnya atau jari jemari yang memainkannya.

4. Rakit panjang terdiri daripada 4 batang paip iaitu, 2 paip paling panjang (sama rata) dikenali sebagai Lombohon iaitu bunyi mendalam yang bernada rendah,  1 batang yang kedua pendek pula dikenali dengan nama Monongkol iaitu tiang sokongan, dan batang ketiga pendek dikenali dengan nama Suruk  iaitu merupakan belakang leher Sompoton.

5. Manakala, rakit pendek (potongan sama panjang) yang berada dibelakang sebelah kanan rakit panjang akan ditekan atau ditahan menggunakan tiga jari kanan iaitu Baranat (jari manis), Randawi (jari tengah/hantu) dan Tutuduk (jari telunjuk).

6. Setelah itu, Korobu (labu air yang dikeringkan) akan ditiup kerana ia berfungsi sebagai ruang angin apabila pemuzik menyedut dan menghembus udara melalui rongga mulutnya.

7. Justeru, gabungan tiupan dan tekanan jari jemari ini akan menghasilkan bunyi yang diinginkan mengikut lagu yang dimainkan oleh pemuzik.


Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

Dainal, E. (2020). Binaan Modul Pengajaran-Pembelajaran Sompoton Sandad (Alat Muzik Tradisional Masyarakat Kadazandusun, Sabah). Jurnal Kinabalu. https://doi.org/10.51200/ejk.v0i0.1124


Hamdan, S., Rahman, M. R., Said, K. a. M., Abidin, A. S. Z., & Musib, A. F. (2022). Sompoton: Sabah bamboo mouth organ. BioResources, 17(3), 5335–5348. https://doi.org/10.15376/biores.17.3.5335-5348


Pugh-Kitingan, J. (2017). Sources, sounds and meanings of Turali (Noseflute) music in Dusunic cultures of Sabah. Malaysian Journal of Music, 6(2), 1–28. https://doi.org/10.37134/mjm.vol6.2.1.2017


Pugh-Kitingan, J. (2012). Kadazan Dusun. Institut Terjemahan & Buku Malaysia.


Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Puan Nurshahrinna Syahrial

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah
Kompleks JKKN Sabah, Jalan Tasik off KM4 Jalan Penampang, 88200 Kota Kinabalu SABAH

088-205070

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!