Gendang sering digunakan untuk melengkapkan ensembel alat muzik tradisional di negeri Sabah khusunya Kulintangan, Gong, Babandil mahupun iringan alat muzik buluh. Hampir semua masyarakat etnik pribumi di Sabah mempunyai alat muzik ini yang digunakan untuk upacara adat, perayaan tradisional sehinggalah menjadi sebahagian daripada simfoni persembahan majlis keramaian, perkahwinan dan pelbagai jenis pesta. Sebagai sebuah alat muzik yang tergolong dalam kategori membranofon kerana menghasilkan bunyi melalui getaran membran pada kulit yang dipalu, Gendang sangat signifikan menambahkan lapisan ritma yang penting dalam persembahan budaya tradisional masyarakat etnik di Sabah.
Gendang berperanan penting sebagai alat muzik iringan dalam pelbagai majlis keramaian dan majlis rasmi untuk menambahkan suasana meriah dan semangat kepada acara tersebut. Bunyi gendang yang berirama dan bertenaga menghidupkan suasana serta mengatur tempo dalam persembahan muzik dan tarian tradisional. Selain digunakan dalam acara sosial, gendang juga memainkan peranan dalam upacara pengubatan tradisional bagi sesetengah masyarakat etnik di Sabah. Dalam konteks ini, paluan gendang dipercayai membantu proses penyembuhan dengan mencipta getaran bunyi yang berfungsi untuk menenangkan pesakit dan menyingkirkan unsur-unsur negatif. Oleh itu, gendang bukan hanya alat muzik, tetapi juga dianggap mempunyai fungsi terapeutik yang berkait rapat dengan kepercayaan dan amalan tradisional masyarakat di Sabah
-
Pembuatan gendang melibatkan beberapa bahan semula jadi seperti kulit lembu, kerbau atau kambing untuk membran, rotan untuk pengikat, dan kayu nangka sebagai badan utama. Batang kayu nangka sederhana yang berukuran kira-kira 60 cm panjangnya akan ditebuk di bahagian tengah, mencipta ruang berongga untuk menghasilkan gema bunyi. Proses menebuk ini dilakukan dengan cara batang nangka ditegakkan, lalu lubang dibuat pada bahagian tengah secara berhati-hati untuk memastikan rongga yang seimbang.
Setelah rongga dibentuk, batang kayu tersebut ditempatkan dalam pondok asap khas. Proses pengasapan ini menambahkan kemampatan dan ketahanan kayu agar dapat memastikannya lebih tahan lama. Kulit haiwan akan ditekap pada salah satu hujung bukaan gendang sebelum kulit mengering agar ia melekap dengan baik. Lingkaran rotan digunakan untuk mengikat kulit haiwan dengan ketat menggunakan beberapa batang kayu penyanggah yangdimasukkan di antara leher dan lingkaran rotan bagi memastikan ketegangan kulit kekal dan tidak mudah kendur.
Setelah proses ini selesai, gendang sekali lagi dikeringkan dalam pondok asap agar kulit dan kayu mendapat ketahanan tambahan. Gendang kemudian dipalu untuk menghasilkan bunyi yang kaya dan bertenaga, dengan corak paluan yang berbeza-beza mengikut rentak irama khas setiap daerah.
Berikut adalah cara untuk bermain Gendang;
1. Memegang Gendang:
● Gendang boleh diletakkan di atas lantai atau meja kecil yang mudah dicapai oleh pemain dalam posisi bersila agar membantu pemuzik mengawal bunyi dan menghasilkan nada yang jelas.
2. Teknik Pukulan Asas:
● Pukulan Tapak Tangan (Bass) dilakukan dengan tapak tangan yang rata di tengah permukaan gendang. Bunyi yang dihasilkan adalah nada rendah (bass) dan berdengung. Pukulan ini penting untuk menghasilkan ritma asas.
● Pukulan Jari (Tone) adalah menggunakan jari untuk memukul bahagian tepi permukaan gendang. Bunyi yang dihasilkan lebih tinggi dan tajam daripada pukulan tapak tangan.
● Pukulan Rim (Slap) pula dilakukan dengan menampar bahagian rim atau tepi gendang. Pukulan ini menghasilkan bunyi yang tajam untuk memberi tanda dalam ritma.
3. Memainkan Pola Ritma:
● Kebanyakan permainan gendang bergantung pada pola ritma berulang yang membentuk asas melodi. Terdapat pola 4-beat atau 8-beat yang berulang. Latihan pola ini membantu menguasai teknik dan meningkatkan kelancaran dalam permainan.
4. Menggunakan Kedua-dua Tangan:
● Bermain gendang biasanya memerlukan penggunaan kedua-dua tangan untuk mencipta ritma yang berlapis dan kompleks. Tangan dominan boleh digunakan untuk pukulan utama, manakala tangan lain menambah variasi atau pengisian dalam ritma.
-
Gendang. (n.d.). https://orangsabahan.blogspot.com/p/gendang.html
Kating, P. J. (1996). Alat-alat muzik tradisional Sabah.
Pisali, Y. a. @. A., Zainal, S., Jusilin, H., & Lauk, M. (2017). Persembahan Tarian Panangsang Dalam Ritual Penyembuhan Masyarakat Bajau Laut. Gendang Alam, 7. https://doi.org/10.51200/ga.v7i.1051