ALAT MUZIK SULING (SERULING)
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Suling dalam konteks masyarakat etnik Kadazan-Dusun adalah alat muzik tradisional dalam kategori aerofon jenis seruling mulut yang bersaiz lebih pendek berbanding saiz panjang seruling biasa. Ia diperbuat daripada buluh Sumbiling yang mempunyai lima atau enam lubang jari dikenali dengan nama ‘Pongombitan’. Bagi lubang ibu jari pula dikenali dengan nama ‘Molohing Tunturu’. Kedua-dua hujung Suling akan ditebuk untuk aliran tiupan daripada mulut dan aliran nada bunyi yang dihasilkan. Lubang untuk meniup dikenali dengan nama ‘Pogunian’ dan hujung lubang Suling (belakang) dikenali dengan nama ‘Pongirusan’.


Alat muzik Suling ini lebih mudah dihasilkan jika dibandingan dengan alat muzik buluh yang lainnya. Tetapi, ia memerlukan ketelitian dalam penghasilannya untuk memastikan Suling mengekalkan keaslian bunyi serta tradisi pembuatan yang diwarisi turun-temurun.

Fungsi dan Peranan

Secara tradisional, Suling dimainkan oleh masyarakat etnik Kadazan-Dusun sebagai alat muzik yang mengiringi tempoh berkabung untuk tanda suasana berduka. Alunan lembut dan mendayu-dayu Suling digunakan untuk mengiringi perasaan sedih serta memberikan penghormatan dan membangkitkan memoir indah kepada mereka yang telah pergi. Bunyi Suling ini bukan sahaja mencerminkan rasa kehilangan tetapi juga berfungsi sebagai tanda ekspresi diri terhadap insan yang disayangi. Namun, seiring dengan perkembangan dunia kontemporari masa kini, ia tidak lagi terhad kepada upacara berduka atau dimainkan ketika tempoh berkabung sahaja. Sebaliknya, ia sering dimainkan dalam majlis keramaian seperti sambutan perayaan tradisional, perkahwinan dan instumen penting untuk ensembel muzik kontemporari.

Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan

Bahan utama untuk membuat Suling adalah Buluh Sumbiling, kerana buluh jenis ini dianggap lebih lembut dan mudah untuk ditebuk. Kualitinya juga sangat sesuai untuk menghasilkan bunyi yang baik, menjadikannya pilihan yang ideal dalam sebarang pembuatan alat muzik daripada buluh. Pada kebiasaanya, rotan atau serta pokok digunakan sebagai pengikat buluh pada beberapa bahagian, terutamanya pada bahagian lubang ibub jari dan hujung buluh. Ia bertujuan untuk mengukuhkan struktur Suling, mencegah buluh daripada retak atau pecah dan turut menjadi kemasan hiasan pada Suling yang dihasilkan. Sementara itu, alat yang digunakan untuk menebuk lubang Suling adalah Pisau kecil atau alat ukir pada kedudukan tertentu bagi menghasilkan nada yang berbeza. 

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Alat muzik ini sering dimainkan secara solo atau diiringi alat muzik lain dalam persembahan tarian tradisional, upacara adat, serta acara keramaian. Dalam tempoh berkabung, pemuzik Suling akan bermain secara solo dan adakalanya saling bergantian atau sahut menyahut antara pemain agar ia berlangsung dalam satu tempoh masa yang lama. Dalam konteks kontemporari, Suling menghasilkan bunyi lembut dan merdu yang mencipta suasana menenangkan, menjadikannya sangay popular sebagai iringan lagu-lagu rakyat serta melodi yang menggambarkan alam dan kehidupan harian.

Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

Pugh-Kitingan, J. (2017). Sources, sounds and meanings of Turali (Noseflute) music in Dusunic cultures of Sabah. Malaysian Journal of Music, 6(2), 1–28. https://doi.org/10.37134/mjm.vol6.2.1.2017


Pugh-Kitingan, J. (2012). Kadazan Dusun. Institut Terjemahan & Buku Malaysia.


Borneo Ensemble. (2024). Universiti Malaysia Sabah


Seruling Alam. (2024). Facebook.


Lokasi
Pautan Google Maps :