Mansayau adalah tarian tradisional bagi masyarakat etnik Murut dari suku Nabai yang kebanyakannya mendiami daerah Keningau meliputi kawasan Kampung Tuarid Tauf, Tuarid Liawan, Debulat, Masak dan Patikang Laut. Tarian ini diinspirasikan daripada gerakan burung yang beterbangan di atas awan. Pada asalnya, Mansayau adalah sebahagian daripada upacara ritual penyembuhan bagi mereka yang sakit. Setelah upacara selesai, tradisi minum Tapai biasanya diadakan sebagai simbolik penutup ritual tersebut. Pada masa itu, semua yang hadir akan menarikan tarian Mansayau sebagai tanda kesyukuran kepada nenek moyang atas perlindungan mereka dan memohon untuk dijauhkan daripada penyakit yang berbahaya.
Tarian ini merupakan simbol ikonik bagi suku etnik Murut Nabai kerana ia siginifikan dengan variasi fungsi dan peranan. Salah satu fungsi utama tarian ini adalah sebagai persembahan apreasiasi kesyukuran kepada semangat padi atas rezeki melimpah ruah yang lazimnya dilakukan selepas musim menuai padi. Selain itu, tarian ini juga dipersembahkan untuk menyambut kepulangan pahlawan mereka daripada ‘Mengayau’ iaitu tradisi memburu kepala musuh di medan peperangan antara puak.
Namun begitu, seiring dengan pegangan sistem beragama dan kehidupan masyarakat majmuk, tarian Mansayau memainkan peranan penting sebagai ikon seni budaya bagi suku Murut Nabai dan ia berfungsi sebagai tarian untuk acara keramaian khususnya ketika majlis perkahwinan tradisi, menyambut tetamu, pesta kebudayaan, sambutan perayaan tradisional atau persembahan ketika acara-acara rasmi. Ia semakin berkembang dan popular bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Murut, tetapi kepada etnik-etnik lain khususnya di Sabah dan pelancong-pelancong luar.
Set busana penari wanita diberikan nama ‘Linambungan’ iaitu set pakaian ‘Kawal’ iaitu baju hitam berlengan panjang yang mempunyai belahan pada lengan hingga ke paras siku, dipadankan dengan skirt panjang yang disebut ‘Tapi’. Keunikan busana ini ialah pada corak ‘Linangkit’ iaitu tenunan yang terdapat pada bahagian lengan baju dan tepi skirt tersebut. Sementara itu, menambahkan ragam hias busana ini adalah dengan pemakaian ‘Sampilang’ iaitu selempang tenunan yang dipakai secara bersilang.
Hiasan kepala penari wanita terdiri daripada gabungan bulu burung ‘Tuwou’ (burung Sewah), Daun ‘Silad’, kain manik panjang dan hiasan bunga-bungaan yang disisip pada sangul kepala. Selain itu, penari wanita akan dipakaikan ‘Salupai’ iaitu sejenis hiasan kepala yang diperbuat daripada manik untuk diikat pada bahagian dahi. Anting-anting juga turut diperbuat daripada manik dan ia dinamakan ‘Sisingan’. Untuk hiasan leher penari wanita, akan dipakaikan dua item perhiasan iaitu rantai manik panjang yang dikenali sebagai ‘Sisigot’ dan dipadangkan dengan rantai leher berloceng yang dinamakan ‘Karing’. Manakala, aksesori pinggang pula akan dipakaikan ‘Sinampila’ iaitu sejenis tali pinggang yang diperbuat daripada besi berbentuk syiling perak.
Bagi busana penari lelaki pula, set pakaiannya terbahagi kepada dua jenis iaitu jenis kain disebut ‘Bangkad’ dan jenis kulit kayu disebut ‘Bobogon’. Kedua-dua jenis baju ini akan dipadankan dengan pemakaian cawat yang dikenali sebagai ‘Abag’. Cawat tersebut akan ditutup dengan kain panjang sehingga paras lutut yang berwarna warni pada bahagia hadapan dan belakang penari. Pemakaian aksesori kepala adalah terdiri daripada topi yang dicucuk dengan bulu burung Tuwoui dan diikatkan menggunakan kain tenunan.
Alat muzik yang mengiringi tarian ini meliputi ensembelu muzik Kulintangan dan gong. Lazimnya gong terdiri daripada enam hingga tujuh biji akan dimainkan bersama.
Mansayau mempunyai tiga ragam utama iaitu, ’Mogodod’ yang merujuk kepada pola gerak dalam pusingan di antara penari lekaki dan wanita secara berpasangan dan pusingan dalam bulatan besar secara berkelompok antara penari lelaki dan penari wanita. Tangan dibuka atau didepakan ketika melakukan ragam gerak ini. Seterusnya ’Megsisiri’ iaitu pola gerak ke kiri dan kekanan secara setempat atau berubah posisi pola lantai. Tangan diletakkan ke samping sambil melakukan gerakan ke kiri dan ke kanan. Akhir sekali ’Sumayuk’ iaitu pola gerak tubuh mengikut rentak gong dan ia menjadi asas kepada pegerakan tarian Mansayau.
Nuar Salamat bin Jaimi. Persatuan Kebudayaan Murut Nabai Patikang Laut, Keningau. Kampung Patikang Laut, 89000 Keningau, Sabah.
Humin Jusilin. (2019). Warisan busana Murut. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kitingan, J., P. (2012). Murut. Dalam Kntayya Mariappan. (Ed). Siri etnik Sabah ITBM-UMS: MURUT dan pelbagai etnik lain di sabah. Institut Terjemahan Buku Malaysia
Suhaimi Magi. (2018). Tarian Magunatip Etnik Nabai dan Paluan: Daripada Permainan Rakyat Tradisional Ke Persembahan Pentas Kini. Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah.