Tarian Asyik yang
adalah dipersembah di istana raja-raja Kelantan dan Pattani, Selatan Thai
adalah tarian klasik yang berasal dari Kelantan. Biasanya tarian ini ditarikan
di hadapan Raja dan Permaisuri. Tarian ini berasal daripada kisah seorang raja
yang memelihara seekor burung. Tetapi burung kesayangan baginda tersebut telah
terlepas. Setelah sekian lama menunggu, namun burung tersebut tidak kembali.
Akhirnya, raja memerintahkan agar sebuah gerak tari dicipta menyerupai
gerak-geri burung kesayangannya itu.
Gerak tari utama yang telah dicipta terdiri daripada
gerak duduk bersimpuh dengan pergerakan yang membayangkan ‘seekor burung’,
‘ombak laut’, dan ‘gajah beranak’. Pada masa kini, terdapat beberapa
perubahan dalam tarian ini iaitu penari memakai pakaian penuh bertutup, dan
daripada posisi duduk bersimpuh kepada posisi badan yang sedikit bangun.
Tarian Asyik merupakan salah satu tarian tradisional di
negeri Kelantan yang perlu dikekalkan dan dipelihara keasliannya agar tidak
lenyap dalam peredaran zaman moden.
Pada masa dahulu, tarian Asyik sering dipersembah di
hadapan Raja dan Permaisuri, serta semasa majlis perkahwinan seperti acara
malam berinai besar di istana. Namun
demikian, pada masa kini tarian Asyik sering dipersembah dalam majlis keramaian
negeri dan negara.
Tarian Asyik ditarikan oleh penari wanita sahaja. Busana persembahan tarian Asyik adalah menggunakan gabungan kain dan aksesori yang seragam bertujuan untuk memberikan gaya anggun dan sebagai pemanis dan penaik seri kepada para penari.
Alatan dan aksesori yang digunakan adalah seperti:
1) Kepala memakai pemeleh, bunga jurai, cucuk sanggul, dokoh, bunga melur
2) Perhiasan di telinga memakai subang.
3) Penari menggunakan sehelai kain sarung songket yang dipakai di pinggang sebagai kain dengan ikatan ombak beralun, manakala sehelai kain panjang dibelit di dada dengan ikatan kemban.
4) Leher memakai rantai logam emas bernama kalung susun tiga dan pelapik kain baldu yang menutupi dada yang dipanggil 'La' yang diperbuat daripada manik-manik.
5) Bahu memakai selendang panjang yang menggambarkan sayap seekor burung
6) Pinggang memakai sehelai selendang yang diselitkan di pending.
7) Tangan memakai gelang emas
Tiada prop yang digunakan dalam tarian Asyik.
Manakala peralatan
muzik yang digunakan ketika persembahan adalah rebab, gambang dan gedombak.
Persembahan tarian Asyik ini dipersembahkan secara
berkumpulan dan hanya ditarikan oleh penari perempuan sahaja.
i. Bahan
Bacaan: Siri Asas Tarian Melayu Tarian Asyik (Mohd Hairul Anuar Bari), 2022
ii. Informan:
Janora Aladdin bin Jauhar