Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
MONGIGOL MENGALAI
Seni Persembahan >Tarian
Gambar
3
Video
tiada
Pelawat Hari ini
103
Jumlah Pelawat
1699
Pengenalan dan sejarah
Mongigol Mengalai adalah tarian tradisional yang diwarisi oleh masyarakat etnik Kadazan-Dusun dari suku Dusun Tinagas. Suku ini kebanyakannya mendiami kawasan Sungai hulu Sugut yang merupakan kawasan berbukit meliputi persimpangan daerah Ranau, Kota Marudu dan Labuk-Sugut di utara Sabah. ‘Mongigol’ bermaksud ‘menari’ yang khusus ditarikan oleh kaum wanita sahaja, sementara ‘Mengalai’ pula, khusus ditarikan oleh lelaki secara solo yang diapit oleh penari-penari wanita tersebut.
Asalnya tarian ini berfungsi sebagai persembahan dalam ritual pemujaan semangat padi yang dikenali sebagai ritual Magavau atau Maga'au. Upacara ini diadakan sekali setahun pada sambutan perayaan Pesta Kaamatan sebagai menandakan rasa kesyukuran terhadap ‘Bambazon’. Walau bagaimanapun, fungsinya kini menjadi lebih luas meliputi pelbagai acara keramaian seperti majlis perkahwinan, sambutan orang kenamaan, dan pelbagai pesta-pesta atu perayaan budaya. Tarian bukan sahaja sebagai sebuah bentuk persembahan tarian semata-mata, tetapi ia menggambarkan keharmonian dan kerjasama serta menghormati budaya dan kepercayaan tradisional suku etnik Dusun Tinagas.
Penari wanita mengenakan pakaian tradisional berupa baju labuh berwarna hitam atau warna indigo yang dikenali sebagai ‘Lapoi Rinninggitan’. Ia diperbuat daripada kain ‘Asap’ iaitu kain sutera dengan reka bentuk baju memanjang ke belakang dan dipadangkan dengan skirt yang dikenali sebagai ‘Tapi’. Baju ini mempunyai keunikan tersendiri kerana ia dihiasi dengan sulaman jalur dekoratif merah dan putih dan ada sesetengahnya dengan hiasan sulaman bunga-bungaan. Sulaman tersebut kebiasaannya terbahagi kepada tiga jenis iaitu;
1. ‘Binuluntung’ – Jalur melintang bewarna merah (Kesumba) dan berwarna putih (Balasu).
2. ‘Sinorongipon’ – Corak geometri segi tiga
3. ‘Nundalo’ – Corak jala ikan
Busana lelaki pula lebih ringkas kerana ia hanya terdiri daripada ‘Lapoi’ iaitu baju hitam berlengan Panjang yang dipadankan Bersama ‘Soruwai’ iaitu seluar Panjang. Keistimewaan baju ini akan dipakaikan dengan ‘Sopilang’ iaitu selempang kain batik atau kain tenunan. Manakala aksesori yang digunapakai hanyalah ‘Sigar’ iaitu tanjak sebagai hiasan kepala.
Persembahan ini diiringi oleh dua alat muzik utama, iaitu Kulintangan dan gong. Gong yang digunakan terdiri daripada enam jenis, yang terbahagi kepada dua kategori: tiga gong besar dan tiga gong kecil. Walaupun begitu, setiap gong ini memiliki saiz dan resonan bunyi yang berbeza-beza, memberikan variasi nada yang unik dalam iringan muzik.
Kategori gong kecil terdiri daripada ‘Salasakon’ menghasilkan tempo yang pantas, ‘Poloniton’ menghasilkan rentak sinkopasi (tidak sekata), dan ‘Kolimbongbongon’ pula mencerminkan pola rentak beraneka yang rumit. Manakala, kategori gong besar adalah terdiri daripada ‘Polian’, ‘Sunduron’, dan ‘Bogilon’ yang akan menghasilkan bunyi resonan lebih dalam. Gong ini dimainkan dengan dua batang kayu (pokoritik), satu memukul bahagian tengah (bass) dan satu lagi menghasilkan bunyi "bong bong" pada sisi gong.
Pada kebiasaanya tarian ini akan ditarikan oleh lima hingga enam penari perempuan dan diingiri oleh satu ada dua orang penari lelaki. Gerak asas utama tarian ini tertumpu kepada permainan tangan dan tapak kaki. Penari wanita lazimnya akan membuat formasi barisan lurus sambil melakukan pergerakan tarian dengan lengan yang tergantung santai di sisi badan. Bahu mereka akan dipusing dari sisi dalam ke sisi luar dan gerak ini dikenali sebagai ’Sumirid’.
Sementara itu, langkah kaki mereka pula adalah menapak pendek dan rendah yang tidak diangkat tinggi dari tanah serta tidak pula berjalan menggunakan hujung jari kaki. Sebaliknya, kaki kiri dan kaki kanan akan bergantian untuk membuat tekanan pada tumit dan tapak kaki secara berdekatan agar menghasilkan langkah menyeret yang anggun.
Berbeza dengan penari wanita, penari lelaki juga turut melakukan gerakan sumirid, tetapi dengan kuakan tangan yang lebih besar yang dilakukan bergantian di antara tangan kiri dan tangan kanan. Langkah kaki juga akan menjadi lebih luas dan lompatan mereka lebih tinggi berbanding wanita. Jika menari secara solo, penari lelaki biasanya berada di bahagian hadapan dalam formasi lurus. Namun, jika menari secara berpasangan, salah seorang akan berada di posisi paling belakang, membentuk susunan apitan antara bahagian hadapan dan belakang.
-
Sumber Rujukan
Pugh-Kitingan, J. (2014). Balancing the human and spiritual worlds: ritual, music, and dance among Dusunic societies in Sabah. Yearbook for Traditional Music, 46, 170-190. https://doi.org/10.5921/yeartradmusi.46.2014.0170
Pugh-Kitingan, J. (2012). Gong ensemble music of the dusun tinagas of sabah through the gaze of movement. Yearbook for Traditional Music, 44, 149-165. https://doi.org/10.5921/yeartradmusi.44.0149
Sri Ningsih Sukirman. (2020). Asal Usul Tarian Tradisional Pelbagai Budaya Di Luar Dan Di Sabah: The Various Traditional Origins of Cultural Dance Outside and in Sabah. Jurnal Gendang Alam (GA), 10(2). https://doi.org/10.51200/ga.v10i2.2843
Pangayan, V. B. (2023). Tarian Pinakang Etnik Kimaragang Di Sabah: Analisis Makna dan Falsafah (Tesis Doktor Falsafah).
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Puan Nurshahrinna Syahrial
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah
Kompleks JKKN Sabah,
Jalan Tasik off KM4 Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu
SABAH
088-205070
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!





