TARIAN LILIBU
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Lilibu adalah salah satu daripada tarian tradisional masyarakat etnik Bisaya yang kebanyakannya menetap di daerah Beaufort Sabah. ‘Lilibu’ membawa maksud ‘Nyiru’ iaitu alat yang digunakan untuk menampi padi atau beras. Nama ini diambil kerana ia diilhamkan daripada amalan ‘Muncang’ iaitu kegiatan penanaman padi yang dilakukan secara beramai-ramai oleh penduduk kampung sehingga aktiviti menuai dan menumbuk padi menjadi beras. Kemeriahan musim menuai padi dipaparkan dalam tarian ini dengan aktiviti menuai padi dilakukan secara kerjasama sambil ‘Badaup’ (menyanyi), iaitu mendendangkan lagu puji-pujian ke atas semangat padi dan bagi menzahirkan kesyukuran kerana padi yang ditanam membuahkan hasil. Kaum lelaki secara beramai-beramai melakukan proses menumbuk padi di dalam lesung tumbukan menggunakan batang penumbuk yang dikenali sebagai ‘Batang Alu-Alu’. Hentakan ini menghasilkan irama bunyi yang dipanggil ‘Mengalang’. Sementara wanita pula secara kolektif melakukan aktiviti menampi padi untuk membuang hampasnya menjadi beras.

Fungsi dan Peranan

Suatu ketika dahulu, tarian ini berfungsi sebagai  persembahan untuk memuja semangat padi kerana masyarakat etnik Bisaya ingin merakamkan rasa kesyukuran atas nikmat hasil tuaian yang melimpah ruah. Namun begitu, selepas kepercayaan beragama, tarian ini tidak ditarikan untuk pemujaan roh semata-mata, tetapi ia berperanan sebagai ikon yang menampilkan identiti budaya etnik Bisaya melalui persembahan untuk acara keramaian, pesta kebudayaan, majlis perkahwinan, menyambut tetamu serta persembahan di majlis-majlis rasmi. 

Busana/ Aksesori

Busana penari Lilibu lazimnya menggunakan pakaian tradisional masyarakat etnik Bisaya yang terdiri daripada baju berwarna hitam dengan hiasan les berwarna emas serta manik-manik berjuntai. Baju ini akan dipadankan dengan kain sarung panjang (skirt) untuk penari wanita dan seluar panjang untuk penari lelaki. Kebiasaanya, penari lelaki akan dipakaikan dengan ‘Salindang Songkit’ iatu samping dari material kain songket. Busana ini turut dilengkapkan dengan pemakaian ‘Sawit’ iaitu kain selempang berwarna merah yang dilapisi aluminium berbentuk bulat seakan-akan kepingan syiling perak. Sawit ini dipakaikan secara bersilang pada bahu setiap penari. Namun begitu, keunikan busana tarian ini adalah pada ragam hias aksesorinya yang sarat dan kompleks kerana, penari wanita sahaja mempunyai lebih kurang 12 jenis perhiasan dan lelaki pula mempunyai tujuh jenis.


Bagi aksesori kepala, penari wanita akan dipakaikan dengan ‘Pisanggul’ iaitu gandik kepala dengan juntaian manik atau bunga kecil pada setiap hujung bucu gandik tersebut sehingga ke paras belakang dada. Bersama-sama Pisanggul akan diletakkan ‘Kubamban’ iaitu sejenis hiasan bunga-bungaan yang disusun mengikut bentuk atas kepala penari. Untuk penari lelaki, hiasan kepala hanya menggunakan ‘Tajuk’ iaitu tanjak yang diperbuat daripada kain songket. Selain itu, setiap penari (lelaki dan wanita) wajib dipakaikan hiasan dahi yang dinamakan ‘Sarabang’ iaitu  perhiasan  yang  diperbuat  daripada  perak dan  dipasang mengikut bentuk  kedua-dua  belah  kening  dengan  memaparkan  corak ukiran bintang.


Pada bahagian leher pula, setiap penari juga akan dipakaikan dengan kalungan rantai yang dikenali sebagai ‘Kotol’. Kemudian perhiasan tangan pula dikenali sebagai ‘Golong Longon’ iaitu gelang yang diperbuat daripada perak atau kepingan aluminium berukir dengan cetakan motif bunga. Akhir sekali adalah pemakaian aksesori pinggang penari yang dikenali sebagai ‘Aut’ iaitu tali pinggang besi bewarna emas untuk lelaki dan tali pinggang perak berbentuk bulat untuk penari wanita.


Peralatan/ Bahan-Bahan

Alat muzik yang mengiringi tarian ini terdiri daripada set Kulintangan, Gendang dan Gong meliputi lima jenis gong yang berbeza saiz dan resonan bunyi. Sesetengah persembahan juga akan menggunakan kayu yang dipukul secara bergantian untuk memberikan bunyi seolah-olah seperti hentakan Batang Alu-Alu. Setelah itu, keseluruhan ensembel ini akan diiringi dengan nyanyian (Bedaup) daripada penari. 

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Lazimnya, tarian ini ditarikan secara berpasangan di antara dua sehingga lima pasangan penari. Manakala, corak persembahan tarian ini akan mempamerkan pergerakan seperti menampi padi untuk penari wanita dan pergerakan menumbuk padi oleh penari lelaki. Susunan koreografi persembahan juga, sering mempamerkan pergerakan yang dimulai daripada proses penanaman padi, penuaian sehingga menampi padi. 

Tokoh dan Pencapaian

Risim Aham. Pengerusi, Persatuan Bisaya Bersatu Sabah, Peti Surat 507, 89808 Beaufort, Sabah.

Sumber Rujukan

Misdih, M. (2013). Budaya Tari Bubu Mengalai–Media Konvensional dan Pembentukan Tari Masyarakat Bisaya di Beaufort, Sabah. International Journal of Creative Future and Heritage (TENIAT), 1(1), 167-175.


Misdih, M. (2017). Gerak Tari Dalam Perubatan Tradisi Barasik Masyarakat Bisaya di Beaufort, Sabah. Jurnal Gendang Alam (GA), 7. https://doi.org/10.51200/ga.v7i.1055


Misdih, M. (2019). Interpretasi Bahasa Mantera Upacara Barasik Masyarakat Bisaya di Beaufort, Sabah: Interpretation of Bisaya Mantera in The Barasik Ceremony at Beaufort, Sabah. Jurnal Gendang Alam (GA), 9. https://doi.org/10.51200/ga.v9i.2140


Siti Aidah Lukin. (2012).Bisaya. Dalam Kntayya Mariappan & Paul Porodong (Eds). Siri Etnik Sabah ITBM-UMS: Murut & Pelbagai Etnik Kecil di Sabah. Institut Terjemahan dan Buku Malaysia. Kuala Lumpur.


Lokasi