Si Tubau adalah salah satu tarian tradisional bagi masyarakat etnik Iranun di Sabah yang kebanyakannya menetap di daerah Kota Belud, Kota Marudu dan Tuaran. Nama tarian ini diambil daripada istilah “Tubau” yang bermaksud “kain tenun” iaitu sebuah hasil seni tekstil yang menjadi kebanggaan etnik Iranun. Kain tenun ini dihasilkan untuk menjadi baju, skirt, tuala, selendang dan seluar. “Si Tubau” pula secara khusus merujuk kepada “Si Tukang Tenun”, iaitu individu yang mahir dalam seni menenun kain tradisional ini. Disebabkan itu, kebanyakan pergerakan dalam tarian ini mempamerkan gerak-gerak seperti seseorang yang sedang menenun kain.
Secara tradisi, tarian ini berfungsi sebagai persembahan untuk mengiringi adat berbalas pantun ketika ketibaan rombongan pengantin lelaki ke rumah pihak perempuan. Pantu biasanya dimulakan oleh pihak keluarga pengantin perempuan, yang menyerahkan selendang Si Tubau kepada pihak pengantin lelaki sebagai simbolik permulaan adat berbalas pantun. Sesi ini berlanjutan sehingga salah satu pihak tidak mampu membalas pantun, menandakan selesainya adat tersebut dan tamatnya persembahan tarian Si Tubau.
Penari akan memakai busana tradisional etnik Iranun yang dikenali sebagai ‘Malaboro’ dan ia diperbuat daripada material kain tenunan yang dikenali sebagai kain ‘Mugah’. Busana ini terdiri daripada baju yang dikenali sebagai ‘Sinipak’ iaitu baju yang mempunyai belahan pada bahagian tangan sehingga ke siku. Baju ini, masing-masing dipadankan dengan skirt panjang bagi perempuan dan seluar panjang bagi lelaki.
Kelengkapan aksesori terdiri daripada hiasan leher iaitu ‘Mandapun’ yang diperbuat daripada kepingan tembaga atau alumnium yang berwarna emas dan dijahit pada kain baldu hitam. Pada bahagian pinggang pula, akan dipakaikan tali pinggang yang disebut ‘Sabitan Bobutulan’ untuk kaum lelaki dan ‘Sabitan’ untuk kaum perempuan. Manakala, untuk hiasan kepala wanita akan dipakaian ‘Sinisip’ atau dikenali juga sebagai ‘Sarimpak’ yang turut diperbuat daripada kepingan aluminium nipis yang dicat warna emas. Berbeza dengan penari lelaki, mereka akan dipakaikan dengan ‘Sigar’ iaitu tanjak yang diperbuat daripada kain dastar.
Persembahan ini akan diiringi dengan nyanyian lagu khas ’Si Tubau’ yang liriknya menceritakan tentang gambaran kehidupan etnik Iranunsebagai sebuah masyarakat yang berkasih sayang. Intipati lagu tersebut juga turut menjelaskan bahawa masyarakat Iranun perlu bersatu hati antara satu sama agar mereka terus hidup dalam kesejahteraan. Sementara itu, alat muzik yang digunakan terdiri daripada Kulintangan, Bebandir (Canang) dan gong.
Pada asalnya, tarian hanya ditarikan oleh kaum wanita sahaja, iaitu dalam lingkungan empat hingga lapan orang penari. Namun kini, ia ditarikan secara berpasangan dengan kaum lelaki di antara dua hingga empat pasangan. Cara persembahannya adalah mempamerkan gerakan proses menenun kain, yang dimulakan dengan penyusunan benang, memasukkan benang ke dalam alat tenunan, hingga menghasilkan corak pada kain. Setiap gerak tari membawa maksud simbolik tentang ketelitian, keindahan, dan kesabaran dalam seni tenunan.
Puan Hajah Pandian Hj Sulaiman. a) Persatuan Sari Tari Kreatif Iranun Sabah, 89150 Kota Belud, Sabah. 01 November 2024.
Lokman Abdul Samad & Asmiaty Amat. (2012). Iranun. Dalam Kntayya Mariappan & Paul Porodong (Eds). Siri Etnik Sabah ITBM-UMS: Murut & Pelbagai Etnik Kecil di Sabah. Institut Terjemahan dan Buku Malaysia. Kuala Lumpur.
Saidatul Nornis. (2018). Ngalai: Ritual Penyembuhan dalam Kalangan Orang Bajau di Kota Belud, Sabah. Akademika 88(3), 101-112. doi: 10.17576/akad-2018-8803-09.
Taim, M. A., & Amat, A. (2022). Sumaranun dance: Movement changes from medical ritual to dance movement. Imaji Jurnal Seni Dan Pendidikan Seni, 20(1), 47–57. https://doi.org/10.21831/imaji.v20i1.45189