Tarian Ule Nugan sebenarnya diinspirasikan daripada aktiviti dalam pekerjaan menanam padi dalam kalangan masyarakat Orang Ulu di Sarawak. Adalah menjadi rutin dalam masyarakat Orang Ulu untuk membuat persiapan pada awal pagi sebelum memulakan perjalanan menggunakan perahu untuk pergi ke sawah. Oleh itu penari lelaki dalam tarian ini selalunya akan membawa sebatang kayu menyerupai kayu penugal yang sering digunakan dalam kerja menanam padi di dataran tinggi.
Semasa menjalankan kerja menanam padi menggunakan kayu penugal kaum wanita perempuan pula akan mengetuk ‘kerebo bulo’ untuk menghasilkan bunyian muzik bagi mengelakkan alamat buruk daripada bunyian burung yang tertentu. Menurut lagenda masyarakat Orang Ulu, bunyian yang dihasilkan oleh ‘kerebo bulo’ juga adalah bertujuan untuk menggalakkan dan mendorong semangat padi supaya tumbuh dengan subur dan mengeluarkan hasil yang baik. Kepercayaan dan alamat serta petanda begitu bermakna dalam kehidupan seharian mereka sebagai masyarakat agraria. Sepanjang proses menanam padi dilakukan, masyarakat Orang Ulu akan saling menolong dalam mengerjakan aktiviti tersebut sambil bermesra dan bergurau senda bagi menghilangkan keletihan dan kepenatan bekerja. Lelaki juga akan melakukan aktiviti berburu menggunakan sumpit bagi memperoleh hasil buruan untuk dibawa pulang. Dengan segala aktiviti seharian dalam pekerjaan menanam padi berlangsung dengan baik, petani Orang Ulu akan pulang ke rumah dengan penuh rasa kegembiraan dan kesyukuran.
-
-
-
Dalam tarian Ule Nugan ini segala aktiviti dan kerja keras serta kegembiraan bekerja di huma diekspresikan dalam gerak tari dan formasi bentuk tari. Tambahan pula aspek kepercayaan dalam kalangan Orang Ulu begitu besar peranannya dalam menentukan corak kehidupan mereka. Bagi mengelak daripada ditimpa bala bencana berikutan kedengaran bunyi burung tertentu sebagai petanda, para petani akan menari mengikut rentak kerebo bulo atau bilah buluh. Muzik yang dihasilkan daripada bilah buluh ini dipercayai dapat mendorong semangat padi supaya menyuburkan tanaman dan mengeluarkan hasil yang baik.
Peralatan bakul rotan dan terendak yang menjadi bahan utama dalam tarian ini mencerminkan aktiviti kaum wanita Orang Ulu pada sebelah petang setelah bekerja seharian di bendang atau huma. Mereka banyak menghasilkan hasil kraf termasuklah tikar rotan, beg, terendak dan hasil kerja daripada manik.
-
i. https://www.instagram.com/kustari_borneo/reel/CsxNP2sAKFi/
ii. https://www.facebook.com/photo/?fbid=1171915162953314&set=a.1171914382953392