Muzik Bangsi merupakan permainan muzik yang biasanya dimainkan oleh masyarakat tradisi pada waktu lapang khususnya ketika berehat selepas waktu bekerja. Muzik ini juga sering dimainkan untuk hiburan ahli keluarga ketika berehat bersama-sama di ruang tamu rumah. Dalam keadaan lain, muzik Bangsi juga dimainkan dalam upacara khusus iaitu bagi tujuan perubatan dan majlis kenduri-kendara.
Muzik ini akan mula dimainkan selepas ketua adat atau ketua Gawai melakukan upacara pembukaan dengan menyempurnakan acara patik nabur atau sadih sanggar dan sadih ancak iaitu memohon restu daripada semangat ghaib. Acara ini dilakukan bagi mengiringi bacaan jampi mantera untuk memohon rezeki dan pada masa yang sama memohon menolak bala dan memohon perlindungan daripada semangat ghaib yang disebut Kamang Triyu agar mereka terhindar daripada roh jahat.
-
-
Alat muzik utama Bangsi menyerupai seruling tetapi diperbuat daripada batang pokok padi. Sementara itu, muzik Nineng tidak banyak digunakan dalam adat istiadat dan upacara khusus, sebaliknya lebih kepada aktiviti bertujuan hiburan sahaja.
Nineng sebenarnya merupakan alat muzik dari jenis bertali yang diperbuat daripada buluh betong. Nineng berbentuk bulat dengan kepanjangan lebih kurang 42 sentimeter dan ukuran lilitnya 28 milimeter. Pada setiap hujung buluh akan ditebuk lubang dan dipasangkan tali yang tegang agar boleh menghasilkan bunyi apabila diketuk mengikut irama tertentu.
Kedua-dua muzik ini merupakan media hiburan individu bagi etnik Bidayuh pada zaman dulu kerana pada masa tersebut masih belum terdapat media hiburan yang canggih dan pelbagai seperti pada hari ini. Dalam keadaan serba kekurangan itu, suku kaum Bidayuh sering mengisi masa lapang dengan menggunakan kreativiti mencipta alat hiburan. Dengan kata lain, suku kaum Bidayuh berupaya menghasilkan alat-alat muzik yang menarik menerusi kebijakan dan pengetahuan dalam mengamati bunyi alam sekeliling dan corak kehidupan harian mereka.
Kini, penggunaan kedua-dua alat muzik ini sudah tidak lagi meluas dan popular. Jika ditinjau, didapati hanya segelintir sahaja ahli masyarakat Bidayuh di kampung-kampung yang masih terlibat dalam pembuatan dan permainan alat muzik ini.
-
-
i. Bahan Bacaan
https://jurcon.ums.edu.my/ojums/index.php/ejk/article/view/2516
https://www.scribd.com/document/353864737/Sejarah-Asal-Usul-Bidayuh