Kaum Melanau merupakan salah sebuah suku kaum yang terbesar di Sarawak dan tinggal di kawasan pinggir pantai meliputi kawasan Matu Daro, Rejang, Mukah dan beberap daerah lain. Sebahagian daripada mereka adalah beragama Islam dan Kristian malah terdapat juga kalangan yang mengamalkan kepercayaan animisme memuja semangat Ipok iaitu manifestasi kekuatan dan kuasa alam. Ipok dalam kepercayaan kaum Melanau terdiri daripada Ipok Laut, Ipok Balau yakni hutan, Ipok Sarauang yakni langit dan Ipok Iyang yakni tanah.
Dalam bidang perubatan tradisional, kaum Melanau percaya bahawa seseorang boleh jatuh sakit akibat daripada ketidakseimbangan badan dan tenaga alam melalui gangguan semangat jahat. Justeru, wujud Adat Bebayuh iaitu amalan perubatan animisme kaum ini bagi menyembuhkan penyakit yang dihidapi.
-
-
-
Hari Pertama
Setelah dimaklumkan bahawa terdapat seseorang telah jatuh sakit dan diminta kepada bomoh untuk membantu merawatnya, bomoh akan memulakan upacara secara bersendirian di rumahnya pada sebelah malamnya. Dalam upacara bersendirian ini bomoh akan berinteraksi dengan semangat ghaib untuk memohon pertolongan dan tawar menawar agar diberikan kebenaran untuk mengadakan upacara Bebayuh kepada pesakit.
Hari Kedua
Pada hari kedua ini upacara rawatan akan bermula dengan melibatkan pesakit dan bomoh. Rawatan boleh dijalankan d di rumah bomoh atau di rumah pesakit bergantung kepada permintaan dan kesesuaian kedua-dua pihak. Pada malam itu juga bomoh memaklumkan keluarga pesakit mengenai bahan-bahan dan permintaan oleh semangat ghaib untuk meneruskan rawatan. Kesemua permintaan dan bahan tersebut perlu disediakan untuk meneruskan rawatan pada malam keesokannya. Pada ketika ini, Tarian Seladai akan dipersembahkan.
Hari Ketiga
Pada hari ketiga ini, bahan-bahan untuk upacara Bebayuh akan diserahkan kepada bomoh. Bahan yang diperlukan terdiri daripada mayang pinang, pucuk mentel, isem pisai iaitu daun palas kering yang dianyam seperti mayang pinang, bunga melur, dupa, gendang genayang, lilin, dan serpihan kaca di atas kain putih. Dupa akan dibakar bagi memulakan upacara dengan bacaan mantera menggunakan bahasa semangat iaitu semangat penjaga bomoh itu sendiri. Sambil itu, bomoh akan memukul gendang genayang yang digunakan untuk mengesan penyakit yang sedang dihidapi oleh pesakitnya. Lilin pula akan dinyalakan di dalam gendang yang kemudian diletakkan di atas muka bomoh. Para pemuzik lain pula memainkan tadak, gendang tabuan, kulintangan, beduk, tetawak gong dan canang semasa upacara ini dijalankan.
Sebaik sahaja upacara mengesan penyakit selesai dan berjaya, lilin tersebut akan ditelan oleh bomoh sementara mayang pinang pula akan diulit pada tubuh badan pesakit. Dalam keadaan inilah semangat Ipok akan memasuki badan pesakit dan upacara merawat akan berlangsung. Pesakit kemudiannya akan memijak serpihan kaca yang ditabur di atas kain putih. Seterusnya, tarian seladai akan mula ditarikan oleh tujuh orang lelaki dan tujuh orang perempuan yang belum berkahwin. Semasa persembahan itu, bomoh akan membawa isem pesai mengelilingi penari.
Hari Keempat Sehingga Hari Keenam
Kegiatan dan upacara pada malam keempat sehingga ke malam keenam adalah sama seperti malam yang kedua. Dalam tempoh masa itu,pesakit perlu mematuhi pantang larang khusus iaitu tidak boleh memakan ikan pari dan ikan yu, selain mengelakkan diri daripada memakan kacang dan telur.
Hari Ketujuh
Malam yang ketujuh merupakan malam yang terakhir iaitu malam upacara pemutus ubat. Bagi menjamin kemujaraban rawatan bomoh ini, pesakit perlu menyediakan pengeras khas iaitu butiran emas, sebatang lembing kecil yang diperbuat daripada tulang untuk makanan semangat ghaib, dan seekor ayam hidup. Dengan itu, berakhirlah acara Berbayuh iaitu rawatan tradisional yang dilakukan oleh bagi merawat penyakit mistik dalam kaum Melanau tradisi.
-
i. Bahan Bacaan
Abdillah Haji Dolhan. (1966). Melanau culture : Bebayuh : Traditional Melanau Healing Ritual. Pustaka Negeri Sarawak. https://pustaka.librarynet.com.my/Angka.sa2/pnssibu/OpacBibDetail.htm?bibId=679501
Abdul Walid Ali, Awangko Hamdan & Hishamuddin Siri. (2020). Peranan Topeng Sagu Melanau untuk Kaul di Sarawak, Borneo. Borneo International Journal, 2(4), 26-36. https://www.researchgate.net/publication/345310126_Peranan_Topeng_Sagu_Melanau_untuk_Kaul_di_Sarawak_Borneo