Adat Makan Tahun merupakan sebuah acara tahunan yang biasanya diadakan antar bulan Mei hingga Julai. Jamuan penuh kemeriahan ini diadakan bagi tujuan memanifestasikan rasa kesyukuran kepada Tuhan atas rezeki yang dikurniakan. Dalam konteks Orang Ulu, tumpuan diberikan kepada penghasilan tanaman padi yang merupakan hasil tani yang sangat penting iaitu sebagai tanaman makanan utama. Oleh itu, selain bersyukur atas hasil yang begitu baik, upacara ini juga diharapkan dapat memastikan hasil yang banyak dapat dinikmati pada tahun-tahun yang akan datang. Sehingga kini, upacara makan tahun masih tetap diadakan meskipun terdapat dalam kalangan kaum Orang Ulu yang tidak lagi mengusahakan tanaman padi.
-
-
-
Sebelum Upacara Makan Tahun
Pada peringkat awal perancangan, kebiasannya ketua kampung , penghulu dan Jawatankuasa Keselamatan (JKK) Kampung akan berkumpul dan berbincang untuk menentukan tarikh upacara makan tahun diadakan. Seringkjali juga perjumpaan ini diadakan pada hari kelepasan terutamanya hujung minggu pada hari Ahad. Syarat utama pemilihan tarikh untuk acara ini ialah tarikh yang dipilih hendaklah tidak bertembung dengan tarikh makan tahun yang telah ditetapkan oleh pihak kampung lain.
Setelah bersetuju akan tarikh yang ditetapkan, ketua kampung akan mengadakan kutipan derma atau mengumpul usin daripada setiap rumah di kampung brkenaan. Kutipan derma ini biasanya dilakukan lebih awal sekitar seminggu sebelum majlis makan tersebut. Nilai atau jumlah pemberian derma oleh penduduk kampung adalah adalah bergantung kepada keikhlasan dan kemampuan setiap penghuni rumah. Hasil kutipan derma ini kemudiannya dibelanjakan untuk membeli peralatan dan perkakas memasak, bahan mentah dan ramuan masakan serta minuman sepanjang sambutan acara makan tahun diadakan.
Dalam kemeriahan sambutan acara ini, biasanya dua hingga tiga ekor kerbau berserta beberapa ekor ayam disembelih sebagai pembuka dan pemula upacara. Biasanya kaum lelaki akan bertugas untuk menyembelih dan melapah serta menyediakan daging kerbau dan ayam untuk dimasak. Sementara itu, kaum wanita pula bergotong royong dalam menyediakan segala persiapan untuk memasak manakala penduduk kampung yang lain turut membantu membuat persiapan majlis. Sering kali wanita yang berkemahiran memasak akan diupah untuk memasak dan menyediakan segala hidangan yuang diperlukan.
Menu sajian adalah bergantung kepada cita rasa dan persetujuan bersama penduduk kampung. Sungguhpun begitu, makanan tradisional Orang Ulu iaitu umbut pisang, umbut sawi, daging masak kicap dan sayur lembidin masak tumis adalah hidangan wajib yang mesti ada untuk dijamu pada hari terebut.. Turut disediakan ialah kelupis yang menjadi menu utama untuk hidangan tetamu iaitu dalam jumlah antara lima hingga enam biji dalam sesisir. Sebagai hiburan sepanjang acara, penduduk kampung dihidangkan dengan persembahan bergendang oleh sekumpulan wanita yang memukul gendang dan bernyanyi pihak sambil berjual pantun kepada sekumpulan lelaki yang bertandak mengikut alunan rentak gendang.
Upacara Semasa Adat Makan Tahun
Sebagai tanda bermulanya majlis makan tahun, sebuah pondok atau teratak khas dibina sebagai tempat untuk penduduk kampung berkumpul bagi menjalankan upacara khusus iaitu upacara persemahan. Acara pertama ini diketuai oleh pawang berkemahiran khas. Sebaik sahaja beberapa batang kayu dipacakkan ke tanah oleh penduduk kampung, pawang akan mula membaca mantera bagi memohon supaya majlis berjalan lancar dan terhindar daripada mala petaka. Setelah itu, penduduk yang berkumpul di teratak tersebut akan dihidangkan dengan lima jenis makanan tradisional yang wajib dihidangkan semasa upacara ini. Makanan tersebut ialah kelupis, wajik, penyaram, pisang dan inti. Sejajar dengan ajaran agama Islam yang dianuti kebanyakan orang Kedayan, majlis bacaan tahlil dan doa selamat turut diadakan pada acara ini.
Secara tradisinya kesemua makanan semasa majlis ini dihidangkan di dalam tapak atau pinggan yang besar seperti dulang secara berkelompok. Hadirin yang ikut serta akan makan dengan cara duduk bertelut dan bersila di atas tikar mengkuang sambil bermesra sesama mereka sendiri. Namun, akibat perubahan dalam sistem sosial masyarakat, kini sistem layan diri dan makan di atas kerusi meja menjadi popular dalam kalangan penduduk kampung.
Selepas Acara Makan Tahun
Setelah selesai berdoa dan menikmati hidangan, biasanya ketua kampung yang mewakili penduduk kampung keseluruhannya akan menyampaikan ucapan ringkas bagi menyatakan rasa terima kasih kepada yang penduduk kampung terlibat. Sebelum meninggalkan majlis dan bersurai, hadirin akan dibekalkan buah tangan berupa makanan seperti kelupis, wajik, pisang, inti dan penyaram sebagai tanda penghargaan dan terima kasih. Konsep pemberian makanan ini sebenarnya bermula daripada budaya dan gaya hidup masyarakat tradisi sebelum ini. Sebagai tradisi dalam masyarakat, rasional pemberian makanan kepada hadirin adalah dengan alasan mereka akan melalui perjalanan yang jauh dalam jarak antara kampung. Justeru, perjalanan tersebut akan mengambil masa yang panjang untuk sampai ke destinasi. Dengan adanya makanan yang dibekalkan, hadirin boleh mengalas perut semasa dalam perjalanan pulang. Sehingga kini pemberian buah tangan sebegini masih kekal menjadi pelengkap dan penutup majlis.
Setelah selesai upacara makan tahun dan kesemua tetamu beredar meninggalkan majlis, penduduk kampung biasanya akan mengadakan kerja bergotong-royong. Mereka akan saling membantu dalam membersihkan teratak dan mengemas segala kelengkapan dan peralatan yang telah digunakan semasa majlis. Hal ini bertujuan untuk memastikan teratak dalam keadaan teratur seperti sediakala.
-
i. Bahan Bacaan
Mastura Ismail. (1 Ogos, 2023). Pelbagai aktiviti menarik sempena Pesta Makan Tahun Kedayan. Utusan Borneo Online. https://www.utusanborneo.com.my/2023/08/01/pelbagai-aktiviti-menarik-sempena-pesta-makan-tahun-kedayan
Mohamad Maulanan Magiman, et. al. (2021). Kajian Komunikasi Ritual dalam Makan Tahun Masyarakat Kadayan di Sarawak. ANP Journal of Social Science and Humanities, 2(2), 104-111. https://journalarsvot.com/index.php/anp-jssh/article/view/70/121
Mohamad Maulanan Magiman & Othman Yatim. (2012). Simbol dalam Makan Tahun Masyarakat Kadayan, Sarawak. Jurnal Melayu, 9, 259-287. https://www.researchgate.net/publication/281202360_Simbol_dalam_Makan_Tahun_Masyarakat_Kadayan_Sarawak