Zapin adalah seni tari Melayu yang berasaskan kesenian
Arab-Parsi dan telah disesuaikan dengan elemen kesenian Melayu. Zapin yang
diambil daripada terma Arab iaitu ’zafn' bermaksud ‘tarian’ (Kamus Besar
Arab-Melayu, Dewan Bahasa Pustaka: Kuala Lumpur). Tarian Zapin Salor dikatakan
telah dibawa masuk ke Kampung Salor, Pasir Mas, Kelantan sekitar tahun 1900
oleh pedagang-pedagang Arab yang berniaga dan berdakwah di sini. Tarian ini
asalnya diperkenal oleh seorang saudagar yang bernama Sheik Muhammad yang kemudiannya
diketengahkan lagi oleh seorang koreografer tempatan yang bernama Tengku
Mahmud.
Tujuan asal Tarian Zapin Salor adalah untuk mengisi masa
lapang para pedagang dan pendakwah yang berdagang ke negeri ini. Gerak tarinya
berbeza sedikit daripada tarian-tarian
zapin yang terkenal di Johor. Zapin Salor hanya mempunyai empat ragam
pergerakan iaitu ‘siku keluar’, ‘semerah’, ‘gelambang’ dan ‘wainab’ atau
‘Mokwan Jenab’. Gerak tarinya adalah berasaskan gerak kaki penari-penarinya.
Pada masa dahulu,
zapin ini tidak begitu popular kerana pergerakan yang terlalu perlahan. Namun
pada masa kini, Zapin Salor mula diminati kerana telah diolah menjadi lebih
tangkas dan ditarikan oleh penari lelaki sahaja, walaupun ada kalanya turut
disertai penari wanita.
Tarian Zapin Salor
merupakan tarian Melayu tradisional dan warisan sebenar negeri Kelantan yang
wajar dipelihara, dipertahan dan diperjuang demi untuk diteruskan
penghayatannya oleh generasi masa kini.
Pada masa kini, tarian Zapin Salor sering dipersembah di
majlis-majlis keramaian sebagai hiburan kepada orang ramai.
Penari lelaki memakai baju Melayu cekak musang,
bersamping dan bertanjak Getam Budu. Busana penari lelaki diserikan lagi dengan
pemakaian bengkung yang disematkan dengan pending dan keronsang pada tanjak.
Namun begitu, pemakaian aksesori pending dan keronsang ini tidaklah diwajibkan.
Penari perempuan pula memakai baju kurung atau kebaya kurung. Aksesori tambahan
mereka ialah rantai dan dokoh yang bertujuan menaikkan seri pada penari.
Antara alat muzik yang
selalunya mengiringi persembahan tarian Zapin Salor ialah terdiri daripada arkodian,
Violin, Gambus, Rebana dan Marwas.
Persembahan tarian Zapin Salor ini dipersembahkan secara
berkumpulan dan boleh ditarikan sama ada lelaki sahaja atau pun percampuran
penari perempuan dan lelaki.
i.
Bahan
Bacaan: Tokoh Tarian Zapin Salor dan Zapin Hanuman Salor Mahu Pertahankan
Warisan Bangsa Untuk Generasi Muda (Universiti Malaysia Kelantan), 2020
Dewan Bahasa Pustaka.
(2000). Kamus Besar Arab-Melayu: Kuala Lumpur.
Ibnu Manzuur. (1994).
Lisaanul Arab.
Mu’jam Asasi