Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
ADAT MEMINANG DAN ADAT BERTUNANG
Adat Resam
Gambar
0
Video
tiada
Pelawat Hari ini
312
Jumlah Pelawat
4779
Pengenalan dan sejarah
Adat meminang dan bertunang dalam masyarakat Melayu Kelantan merupakan sebahagian daripada warisan budaya yang memperlihatkan keluhuran budi, kesantunan dan nilai kekeluargaan yang amat dijunjung tinggi dalam masyarakatnya. Walaupun adat ini telah melalui pelbagai proses perubahan mengikut zaman, asasnya tetap berpaksikan kepada nilai Islam yang menggalakkan penyatuan melalui perkahwinan, di samping adat Melayu tempatan yang mementingkan kesopanan, kehormatan dan penghormatan antara dua keluarga. Proses meminang dan bertunang bukan sahaja berfungsi sebagai persediaan kepada ikatan perkahwinan, tetapi juga melambangkan pertautan silaturrahim yang lebih luas antara keluarga serta komuniti.
Pada zaman dahulu, masyarakat Kelantan tidak begitu menekankan adat pertunangan dalam proses perkahwinan. Bagi mereka, adalah lebih baik mempercepatkan urusan dengan terus melangsungkan perkahwinan selepas peminangan. Terdapat ungkapan bahawa “hari ini bertunang, esok kahwin”, yang menggambarkan pandangan bahawa menyimpan lama-lama ikatan pertunangan tidak baik, malah boleh menimbulkan fitnah. Walau bagaimanapun, hal ini tidak bermakna adat pertunangan asing dalam budaya Kelantan. Ia tetap diamalkan, cuma tidak terlalu ditonjolkan atau dipanjangkan tempohnya seperti dalam sesetengah masyarakat Melayu di negeri lain.
Namun begitu, seiring dengan perkembangan semasa telah menunjukkan bahawa majlis pertunangan di Kelantan kini semakin mendapat perhatian. Generasi muda mula meraikannya dengan lebih gah, termasuk dengan hiasan ala pelamin, busana sedondon, serta hantaran yang disusun indah. Fenomena ini menunjukkan bagaimana adat boleh berubah dan menyesuaikan diri mengikut peredaran masa serta pengaruh luar, tanpa menjejaskan nilai teras yang terkandung di dalamnya. Walaupun begitu, majoriti masyarakat Kelantan masih mengekalkan suasana sederhana dalam pertunangan mereka, dengan menekankan pada keikhlasan dan simbolik pemberian tanda berbanding kemewahan.
Satu ciri yang membezakan adat pertunangan di Kelantan dengan negeri lain ialah keutamaan pada barangan hantaran berbanding makanan. Jika di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia, hantaran berupa makanan tradisional seperti kuih-muih adalah lumrah, tetapi, masyarakat Kelantan lebih mengutamakan pemberian barangan seperti kain, persalinan atau barang berharga lain. Perbezaan ini mencerminkan kepelbagaian dalam amalan adat Melayu, yang meskipun berakar daripada nilai yang sama, namun mempunyai variasi pelaksanaan mengikut konteks negeri dan budaya setempat.
Adat meminang pula merupakan satu proses yang berlaku selepas adat merisik. Selepas keyakinan diperoleh bahawa gadis yang dipilih sesuai dijadikan menantu, pihak keluarga lelaki akan menghantar orang tua-tua atau wakil berpengalaman untuk menyampaikan hasrat peminangan kepada keluarga pihak perempuan. Proses ini dilaksanakan dengan penuh tertib, adab, dan bahasa yang halus, sering kali dimulakan dengan ucapan berpantun yang mencerminkan keindahan budaya Melayu dalam menyampaikan hajat dengan sopan dan indah.
Foto 1: Pertemuan antara dua keluarga dalam proses meminang
Sumber: Zariffarhan.blogspot.com
Sumber Rujukan
Bahan Bacaan
Baharin Ilias, Mohd Usairi Mohamed Zainuddin, Md. Riduan Muhamad, Nik Yusnita Nik Ahmed & Fatimah Muhd Shukri (2016). Beberapa Aspek Adat Resam Melayu Kelantan. Kota bharu: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan
Syed Alwi Sheikh Al-Hadi (1980). Adat Resam dan Adat Istiadat Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Tokoh (jika ada temu bual tokoh)
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Encik Wan Mohd Rosli bin Wan Sidik
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kelantan
Kompleks JKKN Kelantan
Lot 1993, Seksyen 49,Tanjong Chat,
15200, Kota Bharu,
KELANTAN DARUL NAIM
09-741 7000





