Dalam masyarakat Cina, perkahwinan dianggap sebagai satu titik permulaan yang penting dalam kehidupan seseorang. Ia merupakan salah satu aspek utama dalam memperkukuhkan serta mengekalkan institusi keluarga. Hal ini jelas menunjukkan bahawa keturunan dapat diwariskan dari satu generasi ke generasi seterusnya. Perkataan perkahwinan dalam bahasa Cina ialah 婚姻 (pinyin: hūn yīn). Pada asalnya, perkahwinan tradisional Cina sering diatur oleh keluarga yang berminat untuk menggabungkan hubungan.
Dalam pemikiran Konfusianisme, perkahwinan dianggap sebagai perkara yang sangat penting kerana ia melibatkan penyatuan dua keluarga dan memberi kesan kepada masyarakat. Menurut tradisi budaya Cina, perkahwinan antara dua individu dengan nama keluarga yang sama dianggap sebagai inses. Dari sudut pandang keluarga yang berpegang kepada ajaran Konfusianisme, perkahwinan menghubungkan keluarga-keluarga yang memiliki nama keluarga berbeza serta memastikan kesinambungan keturunan klan bapa. Oleh itu, manfaat dan kelemahan sesuatu perkahwinan memberi kesan kepada seluruh keluarga, bukan hanya kepada pasangan yang terlibat. Dari perspektif sosial, suami isteri dilihat sebagai unit asas masyarakat Cina.
Struktur adat resam sebelum perkahwinan di dalam masyarakat Cina adalah
Adat Merisik
Upacara Meminang
Adat Pertunangan
Upacara meminang dalam adat perkahwinan Cina berfungsi sebagai langkah formal untuk mengesahkan persetujuan antara dua keluarga mengenai perkahwinan yang dirancang. Fungsi utamanya adalah untuk membincangkan dan menyelaraskan hal-hal penting seperti mas kahwin, tarikh perkahwinan, jumlah meja untuk jamuan, dan syarat-syarat lain yang perlu dipenuhi. Ia juga menjadi simbolik dalam memperkukuhkan hubungan antara dua keluarga serta menetapkan jaminan komitmen dalam hubungan perkahwinan yang akan berlangsung. Upacara ini menandakan permulaan proses rasmi ke arah perkahwinan yang sah dalam tradisi masyarakat Tionghua.
Upacara peminangan hanya akan dilakukan setelah kedua-dua pihak berpuas hati dengan latar belakang keluarga masing-masing. Seorang wakil akan dihantar ke rumah gadis untuk membincangkan hal-hal berkaitan perkahwinan. Ibu pengantin perempuan akan berbincang dengan wakil tersebut mengenai jumlah mas kahwin, bilangan meja untuk jamuan makan, serta pemilihan hari yang paling sesuai untuk majlis.
Dalam upacara peminangan, pihak lelaki tidak akan berunding atau tawar-menawar untuk mengelakkan daripada menjatuhkan maruah. Semua keputusan yang telah dipersetujui akan dimaklumkan kepada ibu bapa pihak lelaki. Ibu bapa lelaki kemudian akan berbincang dengan anak mereka untuk memenuhi segala permintaan dari pihak perempuan. Setelah kedua-dua keluarga saling mengenal dan bersetuju dengan perkahwinan, barulah adat pertunangan diadakan.
Bahan Bacaan:
Alisya Mazni Binti Putri Wirdany Elvyna Mazlan Binti Idi Sopan, Nurnisa Dalili Binti Chung Ee Xuang Ridwan Taufik, Nur Ain Binti A. Rahman, Nurain Najiha Binti Zainurin, Tan An Qi Muhamad Yusof Bin Alam, Nasuha Binti Zainudin Muhammad Adam Rosyeed Bin Mohd Fadzli. (20232). Adat Perkahwinan Masyarakat. Majalah Adat Perkahwinan Masyarakat Cina. Cina.https://online.anyflip.com/qmrsk/eqdf/mobile/
Nurmaizatulakma Matdam. (2014). Adat Perkahwinan Dalam Masyarakat Cina Kajian Kes Di Kelantan. Jabatan Pengajian Asia Timur, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, 2013/2014.
Zuraiha Binti Mohd Zain Noraini Binti Sulaiman Siti Aishah Binti Othman.Adat Resam Masyarakat Malaysia - Upk Ptsb. Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah
Tokoh (jika ada temu bual tokoh) - Tiada -