HADRAH PERAK
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Persembahan Hadrah merupakan kesenian tradisional yang berasal dari Timur Tengah yang berkembang seiring dengan penyebaran agama Islam secara meluas pada awal abad ke-14 di rantau Nusantara. Seni ini kemudiannya menjadi sinonim dengan masyarakat Melayu, khususnya di kawasan utara Semenanjung Malaysia, termasuk Perlis, Kedah, dan Perak. Di negeri Perak, sejarah perkembangan Hadrah bermula apabila penggiat seni Hadrah dari Kedah, iaitu Tok Che Mat dan Mat Ali yang memperkenalkan kesenian ini ke daerah Selama pada tahun 1949. Sejak itu, Hadrah berkembang ke seluruh negeri Perak dan diakui sebagai salah satu identiti budaya yang penting di negeri ini.


Secara umum, persembahan Hadrah mempamerkan ensembel yang terdiri daripada elemen nyanyian, paluan gendang atau rebana, jenaka, dan juga tarian. Walau bagaimanapun, dalam konteks seni persembahan Hadrah di Perak, ia dikategorikan sebagai muzik tradisional yang hanya menggabungkan elemen nyanyian dan paluan rebana sahaja tanpa melibatkan unsur jenaka atau tarian.  Jika ia dipersembahkan untuk tarian, maka persembahannya adalah disebut Tarian Hadrah. Keunikan ini menjadikan Hadrah Perak lebih tertumpu kepada aspek muzik dan lirik, mengekalkan elemen tradisional yang bersesuaian dengan nilai-nilai budaya tempatan.


Selain itu, identiti Hadrah Perak sering dikategorikan sebagai sebuah kesenian Islam. Pandangan ini berasaskan kepada asal-usulnya yang dikaitkan dengan budaya Arab-Parsi, serta kandungan lirik lagunya yang mengandungi kalimah Arab yang memuji kemuliaan Nabi Muhammad S.A.W. Elemen-elemen ini menegaskan hubungan seni Hadrah dengan nilai-nilai keislaman, menjadikannya sebagai medium yang bukan sahaja memperkayakan warisan budaya, tetapi juga mencerminkan penghormatan terhadap tradisi keagamaan. Dengan latar belakang sejarah dan ciri khas ini, Hadrah Perak terus dihayati sebagai salah satu seni tradisional yang penting dalam masyarakat Melayu, khususnya di negeri Perak.


Fungsi dan Peranan

Hadrah Perak secara tradisinya berfungsi sebagai elemen muzik yang mengiringi pelbagai amalan tradisi Melayu dan majlis-majlis keagamaan seperti menyambut kelahiran bayi, majlis cukur jambul, majlis berkhatan, dan majlis perkahwinan. Irama dan rentaknya yang dinamik tidak hanya berfungsi untuk menceriakan suasana tetapi juga mencerminkan rasa syukur dan kegembiraan dalam acara tersebut.


Dalam perkembangan terkini, fungsi Hadrah Perak telah meluas dan tidak lagi terhad kepada amalan tradisional sahaja. Tetapi, ia juga turut berperanan sebagai ensembel iringan kepada persembahan kesenian termasuklah dalam tarian tradisional Hadrah, di mana elemen muziknya menyokong gerakan penari dengan irama yang harmonis. Selain itu, persembahan Hadrah juga turut digunakan dalam persembahan Zapin, memanfaatkan rentak dan tingkah irama yang serasi dengan dinamik tarian tersebut. Peranan ini menjadikan Hadrah Perak sebagai medium seni yang fleksibel, menyesuaikan dirinya dengan keperluan seni persembahan moden sambil mengekalkan akar tradisionalnya.


Busana/ Aksesori

Seni persembahan ini tidak mempunyai sebarang busana atau kostum khusus ketika ia dipersembahkan. Namun, dalam sesuatu majlis yang bersifat rasmi, pemain Hadrah Perak lazimnya akan mengenakan baju seragam Melayu Lengkap bersamping dan bersongkok sebagai kaedah mempamerkan budaya masyarakat Melayu.

Peralatan/ Bahan-Bahan

Alat muzik yang digunakan dalam persembahan Hadrah Perak hanyalah menggunakaan alat muzik Rebana. Ia adalah alat muzik pergendangan yang dikategorikan dalam kumpulan membranofon iaitu gendang satu muka. Rebana mempunyai ukuran diameter antara 10 inci hingga 13 inci dan tinggi di antara empat (4) hingga lima (5) inci yang diperbuat daripada dua bahan utama iaitu kayu dan kulit haiwan seperti kerbau atau lembu.


Nyanyian bagi persembahan Hadrah pula lazimnya menggunakan lagu yang digubah khusus dengan elemen syair pujian kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW. Lagu-lagu syair ini dinyanyikan secara beramai-ramai, mencipta rentak melodi yang harmoni dan menjadi identiti unik bagi seni hadrah. Lirik lagu hadrah terbahagi kepada dua kategori utama: nyanyian Hadrah Asal yang menggunakan bahasa Parsi, dan nyanyian dalam bahasa Melayu mencerminkan adaptasi budaya tempatan yang digunakan dalam majlis perkahwinan.


Lirik Lagu Hadrah Perak ’Serame’


Sarame la e khazan,

Khazan si sare-sare,

Khoban le sarame, sarame,

Ya Rasul Sare khoban,

Lesa rome,

E sa rapa bara be a,

Be a rawa,

Ya Rasul sare Khode,

Lesa rome.


Lirik Lagu Hadrah untuk Pengantin ’Assalamulaikum’

Assalamualaikum,

Selamat sejahtera,

Hadrah Seri Mawar,

Nak bermula,

Tabik la encik,

Tuan semua,

Tabik la berdengar,

Kesenian lama,

Tabik la encik,

Kalau lah ada,

Silap dan salah,

Mintak la ampun serta la maaf...


Lirik Lagu Hadrah untuk Pengantin ’Selamat Datang Pengantin’

Selamat datang,

Kami la ucapkan,

Kepada pengantin,

Yang cantik rupawan, (2x)

Sambut la pengantin,

Yang baik la budi,

Sudi melawat majlis la kami. (2x)


Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Persembahan muzik Hadrah Perak secara tradisionalnya dilaksanakan oleh kumpulan lelaki yang terdiri daripada 15 hingga 20 orang atau lebih. Nyanyian dan memainkan alat muzik Rebana dipersembahkan secara beramai-ramai dan bersahutan. Seorang pemimpin nyanyian akan mengetuai kumpulan, diikuti oleh ahli-ahli lain yang menyahut lagu hadrah sambil memukul Rebana. Formasi persembahan secara tradisional berbentuk bulatan dalam posisi duduk bersila. Namun begitu, dalam konteks persembahan rasmi, susunannya diubah kepada formasi berdiri mengikut barisan yang lebih teratur dan kemas, biasanya melibatkan satu (1) hingga tiga (3) barisan.


Persembahan ketika memainkan alat muzik Rebana terbahagi kepada tiga jenis, iaitu ”Rebana Peningkah”, ”Rebana Penyelang” dan ”Rebana Pelalu”. Rebana peningkah, berperanan mendahului persembahan yang mempunyai nada bunyi lebih tinggi dan dihiasi dengan ”genta tembaga” di sekeliling baluh bagi menghasilkan bunyi loceng apabila rebana dipalu. Rebana Penyelang pula memainkan pukulan di antara pukulan peningkah, manakala Rebana Pelalu memainkan pukulan asas dengan mengikuti rentak Peningkah dan Penyelang. 

Teknik permainan Rebana hanya menggunakan tangan tanpa alat pemukul khas, di mana pemain merapatkan jari ketika memukul bahagian tepi rebana dan merenggangkan jari ketika memukul bahagian tengah. Dalam permainan ini, pukulan utama yang digunakan ialah pukulan “Hadrah” dengan kiraan satu, satu, dua, satu (1,1,2,1) dan bertukar dengan kiraan dua, satu (2,1) di antara bahagian panjang dan pendek.

Dengan kombinasi pukulan yang bervariasi dan teknik nyanyian, persembahan Hadrah Perak bukan sahaja menyerlahkan keindahan muzik tradisional Melayu tetapi turut memainkan peranan penting dalam memupuk semangat kebersamaan, mempertahankan warisan budaya, dan memperkenalkan nilai-nilai tradisional kepada generasi muda.


Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

Bahan Bacaan

Daud, M. Z., & Abd Wahid, M. S. N. (2019). Persembahan hadrah di Sarawak: Pendekatan etnografi komunikasi. Sains Humanika, 11(2).


Nadzri Mohamad & Ahmad Kamal Mohd. Yusop. (2023). Pendokumentasian Rebana Perak Sebagai Satu Warisan Muzik Tradisional Negeri Perak. Jurnal Tuah, 69-75


Nawani, M. F. (2013). Pewarisan Permainan Rebana Perak di Kampung Sungai Air Tawar. UNIMAS. 


Rahman, M. L. A., Rahman, N. S. A., & Majid, A. N. A. (2024). Warisan Persembahan Hadrah di Utara Semenanjung Malaysia: di Sebalik Pengekalan Tradisi dan Perubahan [The Legacy of Hadrah Performance in Northern Peninsular Malaysia: Preservation of Tradition and Change]. BITARA International Journal of Civilizational Studies and Human Sciences (e-ISSN: 2600-9080), 7(2), 1-16.


Saaid, S. A., & Malek, M. R. (1995). Kesenian dan Hiburan Tradisional. Kuala Lumpur: Penerbit Prisma Sdn. Bhd. 


Tokoh (jika ada temu bual tokoh)

En. Nazri, Kumpulan Rebana Hadrah Perak Puspasari, 32600 Kampung Gajah, Perak.


En. Abdul Rahman Bin Mat Akib,  Kumpulan Hadrah Seri Cahaya Bulan, D/A 268, Kampung Gua Petai, 34100 Selama, Perak.


Lokasi