BUSANA TRADISIONAL BAJU BODO BUGIS
Busana Tradisional

Pengenalan dan sejarah

          Salah satu busana tradisi masyarakat Bugis di Selangor adalah Baju Bodo yang dipakai ketika majlis tertentu seperti dalam persembahan tarian atau sebagai baju pengantin perempuan. Baju Bodo ini turut digayakan dalam persembahan-persembahan tarian etnik Bugis Sulawesi Selatan yang berhijrah ke negeri Selangor, seperti Tarian Poja, Tarian Patenun, Tarian Madupa Bosara dan sebagainya.

           Untuk majlis perkahwinan, Baju Bodo yang digayakan diperbuat daripada kain sutera atau songket yang dihias dengan manik. Hiasan renda ditambah mengikut kreativiti si penjahit dan juga mengikut peredaran zaman. Lebih menarik lagi, baju terbabit dipakai dengan pelbagai hiasan berwarna emas dari kepala hingga ke hujung kaki, sekali gus menampakkan kemewahan si pemakai.


Ciri-ciri dan maksud warna Baju Bodo

          Setiap warna Baju Bodo yang dipakai dalam majlis perkahwinan adat Bugis menggambarkan peringkat umur atau status si pemakai.

·         Warna jingga dipakai gadis berumur 10 hingga 14 tahun.

·         Merah pula dipakai oleh mereka yang berusia 17 hingga 25 tahun.

·         Warna ungu dipakai oleh janda.

·         Warna putih bagi inang dan dukun.

·         Warna hijau dipakai oleh wanita daripada golongan bangsawan dan kini menjadi pilihan warna utama dalam majlis perkahwinan etnik Bugis.

·         Bentuk pola jahitan Baju Bodo adalah bersegi empat dan kedua-dua sisi lengan dipotong pendek sehingga ke siku.

Fungsi dan Peranan

Pemakaian Baju Bodo ini adalah salah satu cara untuk menyanjung dan mengekalkan identiti etnik Bugis, supaya warisan ini tidak hilang ditelan zaman. 

Busana/ Aksesori

Kain yang sering digunakan untuk Baju Bodo adalah dari jenis kain sarung sutera yang dinamakan Lipa Sabbe atau Lipa Garusu. Lipa adalah kain sarung sutera utama yang memiliki lipatan kipas pada sisi kiri dan belakang kain yang dipakai sebelum menyarungkan Baju Bodo. Bahagian sisi kiri dan belakang Baju Bodo akan diselitkan ke dalam kain sarung bagi menampakkan lipatan kipas tersebut. Aksesori yang turut dipakai adalah:

·         Mahkota  (Bando)

·         Bunga goyang cucuk sanggul hiasan di kepala

·         Kalung Panjang Pecah Sembilan atau dokoh (Geno Ma Bule)

·         Gelang Tangan (Tigero Tedong)

·         Subang atau anting-anting (Bangkarak)

·         Tali pinggang (Salipi)

Sumber Rujukan

i.      Bahan Bacaan :

Saleh, N.S Rosli , M.S., Syamsuri, A.S (2022) Budaya Masyarakat Bugis Dalam Aspek Perkahwinan, Komunikasi dan Makanan Warisan. Kajian Malaysia: Journal of Malaysia studies, 40(2)

ii. Tokoh: Temu Bual bersqama Encik Mohamad Romazi bin Nordin pada 26/9/2023 

Lokasi