Keunikan komuniti Kayan di Sarawak adalah kerana memiliki telinga yang panjang dan bertatu. Semakin panjang telinga seseorang wanita Kayan, maka semakin cantik wanita tersebut dipandang dalam komunitinya.
Untuk mendapatkan telinga yang panjang ini, telinga kaum wanita akan dibebankan dengan pemberat anting yang diperbuat daripada timah. Anting-anting ini dikenali sebagai ‘sabau’ dan ‘lungin’. Bagi kaum lelaki pula telinga yang ditebuk dibahagian atas dan bawah akan dihiasi dengan taring beruang yang telah dianyam dengan manik yang dikenali sebagai “udeng”.
Pada masa kini, busana tradisi etnik Kayan sering dipakai sewaktu majlis-majlis keramaian dan sambutan perayaan etnik Kayan. Selain itu, busana tradisional lelaki juga sering menjadi set barangan hantaran kepada pengantin perempuan.
Busana wanita
Busana tradisional kaum wanita Kayan sangat menarik dan unik kerana ia diperbuat daripada manik-manik halus yang dijahit mengikut ukiran ekeng (motif atau lukisan tradisi Orang Ulu) yang berwarna-warni.Kelengkapan busana wanita Kayan ialah:
• Basung iaitu baju tanpa lengan.
• Ta’ah iaitu sarung
• Leku iaitu gelang tangan yang biasanya diperbuat daripada buluh dan tulang-tulang binatang.
• Teba’ang Inu iaitu rantai manik daripada manik-manik besar yang berwarna-warni.
• Iseng iaitu anting yang diperbuat daripada perak atau suasa yang digantung ditelinga kaum wanita Kayan.
• Tesa dijadikan sebagai tali pinggang yang dibuat dari manik-manik besar yang berwarna-warni.
• Lavung Sae’ ialah perhiasan kepala yang dihias dengan manik dan bulu kambing yang berwarna-warni.
• Bilang Inu iaitu selendang yang diperbuat daripada anyaman manik.
Busana lelaki
Busana tradisional kaum lelaki Kayan sarat dengan ciri-ciri kepahlawanan, sesuai dengan amalan Ngayau (memotong kepala) pada zaman dahulu. Kelengkapan busana kaum lelaki terdiri daripada:
• Sunung merupakan baju yang diperbuat daripada kulit binatang seperti kulit kambing.
• Teba’ang Inu iaitu rantai manik daripada manik-manik besar yang berwarna-warni.
• Lavung Kirieng adalah perhiasan kepala yang diperbuat daripada rotan dan dihiasi dengan bulu kambing dan bulu burung kenyalang.
• Tesa dijadikan sebagai tali pinggang yang dibuat dari manik-manik besar yang berwarna-warni.
• Bah Kabo merupakan sirat berwarna hitam dengan rekaan manik-manik.
• Tabin Inu diperbuat daripada rotan dan dihiasi dengan manik-manik kecil dan dipakai dibahagian punggung seorang pahlawan.
• Malat Buk merupakan parang yang dihias dengan bulu kambing.
• Kelebit Kalung iaitu perisai.
i. Jeffery Jalong (2001). Kalong: Seni Motif Tradisi Orang Ulu. Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia