TARIAN BELOTAH
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Belotah adalah tarian rakyat negeri Perak yang dikaitkan dengan persawahan. Semasa musim menuai padi, bahan ini sering digunakan. Padi yang telah dituai diletakkan di atas pelantar dengan bilah-bilah batang pinang yang diikat dengan rotan di lantai. Pelantar ini boleh memuatkan sepuluh hingga lima belas orang sekaligus. Mereka akan memijak padi dalam bentuk bulatan sambil berbalas pantun dan nyanyian. Dalam suasana melotah ini, usik mengusik berlaku, terutamanya antara teruna dan dara. Acara Belotah memberi peluang kepada anak-anak muda untuk mencari pasangan hidup.

 

Tarian Belotah dan Sewang mempunyai persamaan. Penari yang juga bertindak sebagai penyanyi akan menyanyikan lagu Lotah secara beramai-ramai sambil mengelilingi dan "mengirek" gemal padi. Apabila penari menjerit, pelantar akan bergesel. Bunyi yang dihasilkan oleh henjutan itulah yang menjadi bunyi yang mengiringi nyanyian penari. Lagu ini dimainkan dengan para penari menghenjut pelantar padi sambil mengayun kaki mereka dua kali ke depan dan dua kali ke belakang.

 

Seni kata lagu Tarian Lotah pendek:

Bila ditutuh sayang ditebang

Lemah lembut akor kayu akor

Hendak lah indang indang lah tuan

Ha ha hai

Ha ha hai

Ha ha hai

Lotah lotah de lang le

Lemah lembut akar kayu le

Lotah de lang le

Nak mengikat batang keladi

Lotah lotah de lang le

Lembut kayu pelanto

Nak menimang padi

Semangat padi

Lotah lotah de lang le

Lotah lotah de lang le

Gunung tunggul gunung keramat

Hai ya ya ye

Dapat dilihat dari tebing tinggi

Lotah lotah de lang le

Kami di sini mengucap selamat

Hai ya ya ye

Pada tuan

Yang datang ke mari

Lotah de lang le

Lotah de lang le

Fungsi dan Peranan

Pada masa kini, kesenian Belotah berfungsi sebagai salah satu seni persembahan untuk tontonan masyarakat umum.

Busana/ Aksesori

Tiada pakaian khusus untuk persembahan Belotah. Pakaian yang dipakai oleh para penari adalah pakaian harian sahaja. Walau bagaimanapun, bagi tujuan persembahan acara rasmi, mereka memakai pakaian baju Melayu lengkap dengan samping dan tanjak. Penari perempuan pula mengenakan baju kurung Kedah dengan kain batik.

Peralatan/ Bahan-Bahan

Kelengkapan yang diperlukan adalah pelantar, gemal padi, nyiru dan tikar. Lantai pelantar diperbuat daripada bilah-bilah batang pinang yang diikat dengan rotan. Pelantar ini boleh memuatkan 10 – 15 orang dalam satu-satu masa.

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Para penari akan memijak padi dalam bentuk bulatan sambil berbalas-balas pantun dan diselangi dengan sebutan “Lotah… Lotah… hei lah… le!” Terdapat dua jenis pantun Belotah iaitu Lotah Panjang dan Lotah Pendek. Suasana melotah ini penuh dengan kegembiraan dan kemesraan di mana berlakunya usik mengusik terutama di antara teruna dan dara.

Tokoh dan Pencapaian

a) Mohd Radzi bin Abdul Manaf.


Beliau merupakan setiausaha pertubuhan dan sering mengadakan persembahan Belotah sekitar Perak. Peranan sebagai penggerak Belotah dalam persembahan. Beliau juga merupakan tenaga pengajar dan rujukan kepada kesenian Belotah di Perak.

Sumber Rujukan

i.      Bahan Bacaan

a)    Azam, Zaharul & Shuradi. (2013) Muzik Tradisi Tari Rakyat Perak : Suatu Pendekatan Etnomuzikologi. Malaysian Music Journal. Diambil Daripada

https://ejournal.upsi.edu.my/index.php/MJM/article/view/647/424

Isi Kandungan : Lotah atau Belotah merupakan sejenis tarian berserta nyanyian beramai-ramai ini bersifat ritual magis yang memuja semangat padi. Tarian ini dari segi konsepnya ada persamaan dengan tarian Sewang yang diamalkan dalam kalangan orang-orang asli di perak. Tarian Lotah telah wujud pada awal kurun ke 19.

b)    Keratan Akhbar (1979). Lotah- tarian tradisi yang telah dibaharui. Diambil daripada

http://perakgateway.utp.edu.my/repo/347/1/1951_41.pdf

Isi Kandungan : Lotah mula ditarikan di Kampun Tanjung Bidara dalam daerah Perak Tengah kira-kira seratus tahun yang lalu. Apa yang menakjubkan tarian ini asalnya hanya disertai oleh orang lelaki sahaja bagi menunjukkan kerja mengirik padi ini tugas orang lelaki sahaja. Perubahan telah dilakukan dengan membawa masuk gadis-gadis mengambil bahagian bagi bertujuan untuk pesta mencari jodoh.

 

ii.    Tokoh (jika ada temu bual tokoh)

Mohd Radzi bin Abdul Manaf

Lokasi