Pada mulanya, Dabus adalah seni mempertahankan diri. Tarian Dabus, yang berpusatkan pada konsep kepahlawanan, memerlukan kecerdasan, ketangkasan, keperwiraan dan kegembiraan. Salah satu tarian tradisional Perak ialah dabus, yang bertahan sejak lebih 300 tahun. Kesenian ini biasanya dipersembah dalam majlis keramaian kerana ia menggabungkan muzik, nyanyian, tarian dan keberanian.
Lagu Dabus
Baju putih, serban putih
Lalu dibawa pergi sembahyang
Baju putih, serban putih
Lalu dibawa pergi sembahyang
Allah kasih Muhammad kasih
Rasulullah terlalu sayang
Allah kasih Muhammad kasih
Rasulullah terlalu sayang
Pada masa kini, kesenian Dabus berfungsi sebagai salah
satu seni persembahan untuk tontonan masyarakat umum.
Pakaian Penari
Pakaian penari-penari mirip kepada pakaian pahlawan.
Sepasang pakaian penari lelaki yang lengkap terdiri daripada sepasang seluar
panjang, baju melayu telok belanga berlengan paras siku, sampin, tanjak dan
sehelai selempang. Untuk kelihatan lebih gagah, pakaian ini diperbuat daripada
kain berwarna hitam. Warna hitam ini ada kaitannya dengan unsur-unsur
kekebalan.
Pakaian penari wanitanya pula mirip kepada pakaian
srikandi, berseluar rencong Aceh, berbaju kurung cekak musang, bersampin,
berselerapang dan berbengkung. Pakaian ini lebih dikenali sebagai pakaian
Puteri Perak.
Pakaian Pemuzik
Pemuzik biasanya berpakaian baju Melayu sedondon lengkap
dengan sampin dan memakai songkok atau pun tengkolok. Pada masa lalu, pemuzik
memakai pakaian sama seperti penari tetapi tanpa selempang.
Pakaian Khalifah
Khalifah dabus biasanya berbaju hitam, berseluar panjang dan memakai ikat kepala (semutar) atau bertengkolok ikatan 'getam pekasam’. Walau bagaimana pun, cara berpakaian telah berubah mengikut peredaran masa. Pada masa kini, khalifah memakai pakaian dalam warna yang lebih cerah dan tidak terbatas kepada warna hitam sahaja
Permainan dabus tradisional yang mempunyai unsur-unsur
ritual ini tidak dapat dipisahkan dengan jampi serapah. Bagi memperkuat
keberkesanan jampi serapah ini, beberapa peralatan dan bahan turut digunakan
dalam upacara perubatan tradisional.
Bahan-bahan yang diperlukan adalah seperti berikut:
·
Kemenyan
·
Bertih
·
Beras kunyit
·
Tepung
tawar
·
Air penawar
bisa (pemulih)
Kemenyan
Kemenyan
amat penting dalam segala upacara atau majlis yang berkaitan dengan perubatan
tradisional. Kemenyan ini dibakar di dalam sebuah bekas khas yang disebut
perasap. Sebelum permainan dabus dimulakan, kemenyan diasapkan di sekeliling
gelanggang. Kemenyan ini juga digunakan bagi mengasap peralatan-peralatan
persembahan seperti anak dabus dan penari-penari sebelum mereka masuk ke
gelanggang.
Bertih dan beras kunyit
Bahan-bahan
ini digunakan untuk menabur dan menyiram seluruh gelanggang dan kawasan
sekelilingnya bagi menjauhkan segala gangguan yang tidak diingini.
Tepung Tawar
Air tepung
tawar direnjis seperti menabur bertih dan beras kunyit. Renjisan air tepung
tawar ini diperbuat daripada campuran daun-daun pilihan seperti daun kabung,
daun sepulih, daun setawar daun sambar dan daun ati-ati hitam. Daun-daun ini
dirangkaikan dalam satu ikatan sebesar ibu jari dan direndamkan di dalam sebuah
mangkuk yang berisi air.
Daun-daun itu
dipilih berdasarkan kepada sumpahan daun itu sendiri. Umpamanya daun sepulih
bertindak sebagai pemulih, daun setawar sebagai penawar dan daun kabung serta
daun sambar adalah sumpahan bagi makhluk halus.
Air penawar bisa
Air penawar
bisa pula penting bagi membasuh luka-luka dan menawarkan bisa-bisa besi pada
lengan penari-penari akibat tikaman anak-anak dabus. Campuran bahan-bahan air
penawar bisa ini terdiri daripada hirisan umbut pisang, daun setawar yang
diramas, daun sirih serta hirisan batang serai. Seperti bahan-bahan lain, air
penawar bisa ini juga dijampi.
Ragam persembahan dan peralatan Dabus
Terdapat empat ragam tari dalam Dabus Tanjung Bidara Langkah lerek, Lang sewah, Lompat chin chin dan Tikaman pahlawan. Ragam-ragam tari ini diiringi oleh paluan rebana dabus dan lagu atau nasyid dabus. Uniknya, tarian-tarian ini menggunakan sepasang alat tajam yang dinamakan ‘anak dabus’. Dalam persembahan yang berunsur ritual ini, penari-penari mencucuk anak dabus ke lengan mereka hingga berdarah. Seorang khalifah akan memainkan peranan menawar bisa akibat tusukan anak dabus dengan cara menjampi, membasuh dan menepuk luka tersebut dengan air penawar bisa.
Mat Rosnan bin Hashim
Beliau
merupakan pengerusi pertubuhan dan sering mengadakan persembahan Dabus sekitar
Perak. Peranan sebagai khalifah dalam persembahan. Beliau juga merupakan tenaga
pengajar dan rujukan kepada kesenian Dabus di Perak.
i. Bahan Bacaan
a) Zinitulniza Abdul Kadir. (2018). Tarian Dabus Rebana
& Busana Puteri Perak. Selangor : Attin Press Sdn. Bhd
Isi
Kandungan : Tarian dabus dipercayai mula berkembang di Perak sejak lebih 200
tahun dahulu. Uniknya, ia bukan persembahan sekadar mempamerkan gerak tari
indah dan nyanyian merdu muzik berlagu, sebaliknya, ia tarian yang mempamerkan
keberanian dan kemampuan
luar
biasa bermain besi tajam, menari sambil menikam diri menggunakan bilah dabus.
b) Mastika. (3 Ogos
2022). DABUS: Tarian Pahlawan Perak Yang Memerangi Penjajah. Utusan Tv. Diambil
Daripada
https://utusantv.com/2022/08/03/dabus-tarian-pahlawan-perak-yang-memerangi-penjajah/
Isi
Kandungan : DABUS merupakan tariah pahlawan dari negeri Perak. Diceritakan pada
zaman dahulu, tarian ini hanya dimainkan oleh orang lelaki sahaja dan
dipersembahkan kepada tetamu di istana bagi memperlihatkan keberanian pahlawan
Perak.
c) Ahmad Johari. (22 April 2015). Tusukan besi Dabus rasa
jarum, bertukar teruja - Penari. Kosmo Digital. Diambil Daripada
https://www.kosmo.com.my/2023/09/25/perak-angkat-semula-tarian-dabus/
Isi
Kandungan : TARIAN Dabus bukan sekadar tarian kerana ada maksud di sebalik
tarian ini yang kurang diketahui. Ia sebenarnya adalah tarian perang yang
mengikut gerak langkah pahlawan dulu kala. Lenggok tarinya jika diamati tidak
ubah seperti orang sedang bersilat dan dalam kelembutan ia boleh mengundang
bahaya.
ii. Tokoh (jika ada temu bual tokoh)
Mat
Rosnan bin Hashim