’Limbai’ merupakan tarian tradisional etnik Bajau yang cukup terkenal di daerah Kota Belud, Sabah. Tarian ini dipersembah sebagai acara khas ketika menyambut ketibaan pengantin lelaki yang diarak ke rumah pengantin perempuan. Ia juga sebagai tanda untuk menjemput pengantin lelaki naik ke rumah bagi melakukan istiadat ijab kabul (pernikahan).
Ciri-ciri pergerakan Tarian Limbai
Tarian ’Limbai’ ditarikan secara berpasangan oleh penari lelaki dan penari wanita. Penari wanita akan melambai-lambaikan tangan sambil bergerak ke kiri dan ke kanan. Mereka turut menggerakkan selendang seolah-olah melambai-lambaikannya sebagai simbol untuk mengundang dan mengucapkan selamat datang kepada pengantin lelaki bersama rombongan.
Persembahan Tarian ’Limbai’ sering dipersembahkan bagi mewakili seni budaya masyarakat Bajau Sama di Kota Belud dalam acara-acara yang berkaitan dengan warisan, kesenian dan kebudayaan mereka. Ia juga menjadi tatapan bagi pengunjung-pengunjung tempatan dan pelancong asing bagi mengalu-alukan kehadiran mereka.
Penari wanita akan mengenakan busana lengkap sarempak iaitu pakaian tradisional etnik Bajau Sama yang penuh dengan warna-warni yang melambangkan keunikan masyarakat mereka. Penari wanita menggayakan blaus badu sampit dan kain sarung olos berangkit, bersama perhiasan leher mandapun serta perhiasan kepala sarempak. Penari wanita turut memakai hiasan kepala logam keemasan seperti bentuk tanduk kerbau yang dinamakan timpak. Sementara itu, penari-penari lelaki pula menggayakan baju potongan cekak musang, seluar, samping dan tanjak kain destar.
Persembahan tarian ’Limbai’ akan diiringi alat muzik tetawak ataupun set kulintangan yang menyerupai gong tetapi mempunyai bunyi yang berbeza. Rentak dan alunan muzik boleh diubah menjadi lebih cepat dan penari-penari pula harus mempercepatkan pergerakan tarian mereka bersesuaian dengan muzik yang dimainkan.
i) PUAN MAZHNA BINTI GAGAH
ii) PUAN JUDETH JOHN BAPTIST
i. PUAN MAZHNA BINTI GAGAH
ii. PUAN JUDETH JOHN BAPTIST
iii. Saat, G. (2003). The identity and social mobility of Sama-Bajau. Sari, 21(1), 3-11.
iv. Jubilado, R. C. (2010). On cultural fluidity: The Sama-Bajau of the Sulu-Sulawesi Seas.
v. Azira, N. A. H. (2023). TARIAN LIMBAI: SEBUAH WARISAN TRADISI KAUM BAJAU: Limbai Dance: A Legacy of the Bajau Tradition. Jurnal Borneo Arkhailogia (Heritage, Archaeology and History), 8(1), 119-136.
vi. Hussin, H. (2023). Ritual Dance and Performance in Contemporary Borneo: A Study of the Kadazan and Sama-Bajau Communities of Sabah, Malaysia. In Performing Arts Conference (p. 154).
Nor, M. A. M., & Hussin, H. (2019). Gendering Dance, Gazing Music: Dance Movements, Healing Rituals and Music Making of Sama Bajau and Sama Dilaut of East Malaysia and Southern Philippines. SAMUDERA-Journal of Maritime and Coastal Studies, 1(1), 75-91.