PERGENDANGAN DHOL
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Dhol dan Bhangra bermula sebagai pengisian perayaan meraikan musim menuai dan vaisakhi. Selepas pembentukan Punjab pada tahun 1947, ia mulai menjadi persembahan pentas. Tarian Punjabi yang dipersembahkan pada ketika itu mengikuti rentak Dhol dikenali sebagai Bhangra. Tradisi ini semakin meluas ke segenap rantau dan berkembang menjadi sebuah tarian rakyat yang unik dipanggil Bhangra dan kini dipersembahkan pada setiap perayaan besar di Utara India. Lagu-lagu iringan terdiri daripada bait-bait ringkas yang ditulis dalam bahasa Punjabi dipanggil boliyah. Lagu - lagu yang dimainkan berkaitan perayaan menuai, kasih sayang, patriotisme dan kekeluargaan.

Dalam muzik rakyat Punjabi, alat muzik dhol yang bersaiz kecil sedikit dipanggil dholki, hampir sering digunakan sebagai alat muzik utama. Namun pada masa kini dhol  sering digunakan, dengan atau tanpa dholki. Dhol merupakan sejenis alat muzik yang menghasilkan bunyian yang rancak yang boleh membuatkan orang menari.Muzik pergendangan tradisional Dhol yang dikatakan berasal dari daerah Punjabi, India, merupakan sebuah kesenian kaum Punjabi atau Sikh di Malaysia. Dhol adalah gendang laras bermuka dua yang kebanyakannya dimainkan untuk mengiringi tarian Punjabi tradisional seperti ‘Bhangra’ dan ‘Giddha’. Pergendangan Dhol juga ditemui di wilayah Punjab di Pakistan dan utara India, seperti di negeri Punjab, Himachal Pradesh, Haryana, dan Delhi. Pergendangan Dhol telah menjadi salah satu elemen dalam amalan-amalan pengikut agama Sikh. Pergendangan Dhol juga berfungsi untuk memandu minda penganut yang mencari ketenangan rohani. Seiring dengan perkembangan zaman, kini ia dipersembah secara meluas dalam upacara kaum Punjabi. Walaupun Bhangra bermula hanya sebagai sebahagian daripada perayaan  menuai, namun ia akhirnya menjadi sebahagian daripada pelbagai majlis keraian seperti perkahwinan dan sambutan tahun baharu.

Fungsi dan Peranan

Persembahan muzik Pergendangan Dhol WP Kuala Lumpur ini sering dipersembah ketika majlis rasmi berkaitan seni budaya dan warisan di  dalam dan luar negara, juga dalam majlis perayaan dan acara-acara lain.

Busana/ Aksesori

Para pemain pergendangan Dhol yang terdiri daripada lelaki dan wanita memakai pakaian tradisional masyarakat Punjabi. Pemain lelaki memakai kurta, iaitu kemeja panjang paras lutut dan lazimnya diperbuat daripada kain kapas atau linen. Manakala bagi wanita, mereka mengenakan pakaian salwar kameez atau baju Punjabi yang terdiri daripada blaus panjang yang dipadankan dengan seluar panjang yang longgar, serta tudung kepala yang sesuai warnanya.

Kaum lelaki turut memakai serban atau turban (dastar) tetapi dalam bentuk lebih tebal, lonjong ke depan dan seragam bentuknya. Kain serban berkenaan berukuran lima meter. Pemakaian serban dalam kalangan penganut Sikh amat berkait rapat dengan kepercayaan agama mereka. Penganut lelaki Sikh dilarang memotong rambut dan wajib memakai turban atau dastar agama Sikh, agar rambut yang panjang mudah diurus. Bagaimanapun, kaum wanita tidak perlu memakainya.

Peralatan/ Bahan-Bahan

Alat muzik ini diperbuat daripada kayu, loyang, kulit kambing dan besi. Gendang Dhol dimainkan dengan menggunakan dua batang kayu yang dibuat dari kayu buluh dan pokok jambu. Kayu pokok jambu digunakan untuk bermain bahagian bass instrumen, yang dikenali sebagai gaidagga dalam bahasa Punjabi. Gaidagga merujuk kepada  bentuk lengkung atau suku bulat di hujung gendang. Sementara itu kayu buluh yang dikenali sebagai itihli adalah jauh lebih tipis dan fleksibel untuk digunakan bagi memainkan notasi instrumen atau melodi dan irama yang bernada lebih tinggi. 

Tokoh dan Pencapaian

Kumpulan Dhol Alliance Entertaiment sering diundang untuk membuat persembahan di majlis-majlis perkahwinan dan juga festival-festival peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa.

Sumber Rujukan

      i.        Bahan Bacaan

·         Buku The Oxford Handbook of Sikh Studies oleh Pashaura Singh dan Louis E. Fenech terbitan Oxford University Press

·         E-book Dhol Federation : First Book How To Play Dhol

Lokasi