Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
PRINSIP ASAS PERUBATAN TRADISIONAL ORANG ASLI
Permainan Tradisional
Gambar
4
Video
tiada
Pelawat Hari ini
15
Jumlah Pelawat
47
Pengenalan dan sejarah
Foto 1: Orang Asli Pulau Carey
Sumber: Fiqah diambil daripada shutterstock.com
Orang Asli di Malaysia merupakan penduduk asal Semenanjung Tanah Melayu yang telah mendiami kawasan ini jauh sebelum kedatangan masyarakat Melayu dan penjajah Barat. Mereka diiktiraf sebagai sebahagian daripada Bumiputera Malaysia dan tergolong dalam tiga kumpulan utama iaitu Negrito, Senoi dan Melayu Proto, yang secara keseluruhannya merangkumi 18 suku kaum dengan identiti, bahasa, dan kepercayaan yang berbeza.
Kumpulan Negrito terdiri daripada suku Bateq, Kensiu, Kintak, Lanoh, Jahai, Mendriq dan Che Wong, yang lazimnya mendiami kawasan hutan di bahagian utara Semenanjung seperti Kelantan dan Perak. Kumpulan Senoi, iaitu kumpulan terbesar dalam kalangan Orang Asli, termasuk etnik Temiar, Semai, Semoq Beri dan Jah Hut, yang kebanyakannya tinggal di kawasan pedalaman Perak, Pahang dan Kelantan. Sementara itu, kumpulan Melayu Proto terdiri daripada etnik Jakun, Temuan, Semelai, Orang Kuala, Orang Kanaq dan Orang Seletar, yang mendiami kawasan selatan Semenanjung seperti Johor dan Pahang.
Setiap kumpulan mempunyai keunikan tersendiri, contohnya suku Bateq yang terkenal dengan kepercayaan terhadap roh penjaga tanah, suku Temiar dengan sistem sosial dan ritual penyembuhan berasaskan spiritual hutan, manakala suku Jakun dan suku Temuan pula masih mengekalkan kepercayaan animisme yang menekankan keharmonian antara manusia dan alam. Walaupun perbezaan budaya dan amalan wujud antara setiap kumpulan, keseluruhan masyarakat Orang Asli berkongsi satu falsafah hidup yang berpaksikan kepada hubungan erat dengan alam semula jadi serta warisan spiritual yang kaya dengan nilai-nilai kearifan tempatan.
Oleh yang demikian, sistem budaya dan amalan ini menjadi pengaruh besar kepada sistem perubatan tradisional mereka. Secara asasnya, terdapat lima prinsip-perinsip perubatan tradisional kumpulan Orang Asli di Malaysia iaitu;
Prinsip Holisme (Keseimbangan Menyeluruh)
Prinsip holisme dalam perubatan Orang Asli menekankan bahawa kesihatan manusia bergantung pada keseimbangan menyeluruh antara badan, minda dan roh, serta hubungan harmoni dengan alam sekitar. Kesihatan dianggap tercapai apabila aspek fizikal, mental dan spiritual berada dalam keadaan seimbang, manakala penyakit pula dilihat sebagai gangguan terhadap keseimbangan ini. Dalam konteks ini, alam hutan bukan sahaja menjadi sumber ubat-ubatan semula jadi, tetapi turut dianggap sebagai entiti hidup yang mempunyai peranan langsung dalam menentukan kesejahteraan manusia. Justeru, cara manusia berinteraksi dengan alam, sama ada memelihara atau mengganggunya akan mempengaruhi keadaan kesihatan, seterusnya mengukuhkan keyakinan bahawa keseimbangan individu tidak dapat dipisahkan daripada keseimbangan dengan alam semula jadi.
Prinsip Kosmologi dan Spiritual (Gangguan Roh)
Prinsip kosmologi dan spiritual dalam perubatan Orang Asli berpaksikan kepercayaan bahawa dunia roh dan kuasa ghaib mempunyai pengaruh langsung terhadap kesihatan manusia, menjadikannya salah satu elemen penting yang membezakan sistem penyembuhan tradisional daripada perubatan moden. Dalam kerangka ini, banyak penyakit ditafsirkan sebagai kesan gangguan spiritual, sama ada akibat perbuatan makhluk halus, roh jahat, sumpahan, atau pelanggaran pantang larang yang berkaitan dengan adat dan alam. Oleh itu, pawang atau bomoh (Tok Halak/Tok Batin) memainkan peranan penting sebagai perantara antara dunia nyata dan alam roh. Mereka bertanggungjawab mengenal pasti punca gangguan spiritual yang menyebabkan penyakit serta memulihkan kembali hubungan pesakit dengan dunia roh melalui ritual, jampi, atau upacara tertentu, bagi mengembalikan keseimbangan dan kesejahteraan pesakit.
Prinsip Kekuatan Tumbuhan Hutan (Farmakopeia Tradisional)
Prinsip kekuatan tumbuhan hutan dalam perubatan tradisional Orang Asli menegaskan bahawa hutan hujan merupakan sumber utama yang menyediakan bahan-bahan perubatan semula jadi untuk merawat pelbagai penyakit. Masyarakat Orang Asli memiliki pengetahuan mendalam tentang tumbuhan, termasuk akar, daun, kulit kayu dan getah, yang diwarisi secara turun-temurun dan dikenali sebagai etnobotani. Setiap tumbuhan dipercayai mempunyai khasiat tersendiri, justeru hutan dianggap sebagai farmasi semula jadi yang sentiasa tersedia. Dalam amalan rawatan, bahan-bahan herba ini digunakan melalui pelbagai kaedah seperti sapuan topikal, air rebusan untuk diminum, atau ritual mandi herba yang digabungkan dengan aspek spiritual. Kesemuanya mencerminkan kebergantungan rapat masyarakat Orang Asli kepada alam sebagai sumber penyembuhan serta kepercayaan bahawa kesejahteraan manusia berakar pada hubungan harmoni dengan persekitaran semula jadi.
Prinsip Upacara dan Ritual (Pemulihan Semangat)
Prinsip upacara dan ritual dalam perubatan tradisional Orang Asli menegaskan bahawa amalan ritual bukanlah sekadar adat atau formaliti budaya, tetapi merupakan kaedah penyembuhan aktif yang berfungsi untuk memulihkan keseimbangan spiritual pesakit. Upacara seperti sewang atau tarian penyembuhan dijalankan sebagai proses penyucian untuk mengusir roh jahat atau tenaga negatif yang dipercayai mengganggu pesakit atau seluruh kampung. Dalam masa yang sama, ritual ini juga bertujuan memulihkan semangat pesakit iaitu unsur penting dalam kepercayaan Orang Asli yang dianggap boleh hilang atau dicuri oleh makhluk halus, menyebabkan seseorang jatuh sakit. Melalui jampi, nyanyian, gerak ritual dan interaksi dengan dunia spiritual, bomoh berusaha memanggil kembali semangat tersebut agar tubuh dan roh pesakit kembali bersatu, seterusnya memulihkan kesihatan secara menyeluruh.
Prinsip Kesepaduan Masyarakat
Prinsip kesepaduan masyarakat dalam perubatan tradisional Orang Asli menegaskan bahawa proses penyembuhan bukanlah tanggungjawab individu semata-mata, tetapi merupakan usaha kolektif seluruh komuniti. Dalam banyak upacara penyembuhan, khususnya ritual berskala besar, ahli keluarga dan penduduk kampung turut serta bagi memberikan sokongan emosi, spiritual dan sosial kepada pesakit. Kehadiran komuniti yang bersolidariti bukan sahaja mengukuhkan keyakinan pesakit terhadap proses rawatan, malah membantu mempercepatkan pemulihan melalui rangsangan moral dan psikologi. Prinsip ini mencerminkan pandangan hidup Orang Asli bahawa kesejahteraan seseorang tidak dapat dipisahkan daripada kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.
Justeru itu, dapat kita fahami di sini, prinsip-prinsip asas perubatan tradisional Orang Asli di Malaysia dapat dijelmakan dalam lima prinsip iaitu Kes;erasian dengan Alam; Konsep Roh dan Semangat; Peranan Bomoh, Pawang atau Tok Batin/Tok Halak; Penggunaan Herba dan Ramuan Semula Jadi; serta Ritual dan Simbolisme dalam Rawatan. Sistem kepercayaan dan rawatan ini membentuk sebahagian penting daripada identiti budaya dan struktur sosial masyarakat Orang Asli. Penyakit tidak dianggap sebagai tanggungjawab individu semata-mata, tetapi sebagai urusan komuniti yang mencerminkan keseimbangan sosial keseluruhan. Walaupun kini pengaruh perubatan moden semakin meluas, asas falsafah dan prinsip perubatan tradisional masih diamalkan dalam komuniti Orang Asli itu sendiri.
Sistem perubatan tradisional Orang Asli berfungsi bukan sahaja sebagai kaedah penyembuhan, tetapi juga sebagai kerangka sosial, budaya dan kosmologi yang mengatur hubungan antara manusia, alam dan dunia roh. Setiap prinsip yang menjadi asas kepada amalan ini memiliki fungsi dan peranan tersendiri yang saling melengkapi. Berikut ialah huraian terperinci tentang fungsi dan peranan utama setiap prinsip tersebut.
Fungsi dan Peranan Prinsip Holisme (Keseimbangan Menyeluruh)
Prinsip holisme berfungsi sebagai kerangka diagnostik yang luas, membolehkan penyembuh melihat penyakit bukan hanya melalui tanda fizikal tetapi juga melalui aspek emosi, sosial dan spiritual pesakit. Melalui fungsi ini, penyembuh dapat mengenal pasti punca penyakit yang mungkin berkait dengan tekanan hidup, konflik sosial, atau gangguan hubungan dengan alam. Dari sudut peranan, prinsip ini memandu penyembuhan secara menyeluruh yang merangkumi badan, minda dan roh. Rawatan tidak hanya tertumpu pada penghapusan simptom, tetapi pada pemulihan keseimbangan dalaman dan hubungan individu dengan alam.
Fungsi dan Peranan Prinsip Kosmologi dan Spiritual (Gangguan Roh)
Prinsip kosmologi dan spiritual berfungsi memberikan penjelasan etiologi kepada penyakit, khususnya penyakit yang sukar dijelaskan menggunakan logik perubatan moden. Melalui kerangka ini, masyarakat memperoleh kefahaman tentang sebab musabab sesuatu penyakit. Misalnya kerana pelanggaran pantang larang, gangguan makhluk halus, atau kemurkaan roh alam. Peranannya pula adalah memberikan autoriti dan kuasa penyembuhan kepada pawang atau tok halak/tok batin. Melalui ritual, mantera dan hubungan dengan dunia spiritual, penyembuh memperoleh legitimasi cara untuk membetulkan gangguan spiritual yang menimpa pesakit. Proses ini juga mencetuskan keyakinan psikologi yang penting dalam membantu pesakit menerima dan mempercayai rawatan.
Fungsi dan Peranan Prinsip Kekuatan Tumbuhan Hutan (Farmakopeia Tradisional)
Prinsip ini berfungsi sebagai sumber farmaseutikal semula jadi yang menyediakan ubat-ubatan murah, mudah diperolehi dan serasi dengan biologi tubuh masyarakat Orang Asli kerana ia datang daripada persekitaran yang sama. Fungsi ini sangat penting dalam komuniti terpencil yang kurang akses kepada rawatan moden. Peranannya pula ialah memastikan pengetahuan etnobotani diwariskan secara berterusan. Setiap generasi diajar mengenai jenis tumbuhan yang boleh dimakan, bersifat terapeutik, atau beracun. Proses pewarisan ilmu ini bukan sahaja menjamin kelangsungan perubatan tradisional, tetapi turut menyumbang kepada pemeliharaan biodiversiti melalui penghargaan terhadap flora hutan.
Fungsi dan Peranan Prinsip Upacara dan Ritual (Pemulihan Semangat)
Prinsip upacara dan ritual berfungsi sebagai mekanisme psikologi dan sosial yang membantu mengurangkan kegelisahan, trauma dan ketakutan pesakit serta keluarganya. Melalui ritual seperti sewang, muzik, mantera dan tarian, masyarakat bersama-sama menyalurkan sokongan moral yang melegakan pesakit secara emosi. Dari segi peranan, ritual bertindak sebagai kaedah terapeutik yang menggabungkan elemen bunyi, gerak, dan spiritual. Ia membantu menstabilkan kembali keadaan mental pesakit, memulihkan semangat yang hilang, serta menghubungkan kembali individu dengan dimensi kosmologi yang dipercayai mempengaruhi kesihatan mereka.
Fungsi dan Peranan Prinsip Kesepaduan Masyarakat
Prinsip ini berfungsi sebagai rangka sokongan emosi kepada pesakit agar mereka tidak berasa terasing semasa menghadapi penyakit. Melibatkan komuniti dalam upacara penyembuhan memastikan pesakit dirawat dalam suasana penuh solidariti dan kasih sayang, yang memberi kesan positif kepada pemulihan psikologi dan fizikal. Peranannya merangkumi aspek pencegahan sosial, kerana masyarakat turut bertanggungjawab memulihkan keharmonian apabila penyakit dianggap berpunca daripada konflik atau pelanggaran pantang larang. Melalui penglibatan kolektif, komuniti memastikan kesejahteraan sosial terpelihara dan mengelakkan penyakit serupa berulang pada masa hadapan.
Berbanding perubatan moden yang bergantung kepada teknologi tinggi dan peralatan klinikal, perubatan tradisional Orang Asli menumpukan penggunaan bahan semula jadi, peralatan ritual, dan objek simbolik yang mempunyai nilai kosmologi dan spiritual. Setiap material membawa fungsi tersendiri dalam proses penyembuhan, sama ada sebagai bahan farmaseutikal, medium ritual, atau alat pemulihan semangat. Secara umum, bahan-bahan ini boleh dikategorikan kepada tiga kumpulan utama seperti berikut;
Item Berasaskan Tumbuhan (Bahan Mentah Perubatan)
Bahan berasaskan tumbuhan merupakan komponen asas dalam farmakopeia tradisional Orang Asli. Masyarakat ini memiliki pengetahuan terperinci tentang kegunaan herba, akar kayu, daun, dan kulit kayu yang dikumpulkan terus dari hutan, berdasarkan pengalaman turun-temurun.
Herba, Akar dan Kulit Kayu
Antara bahan yang biasa digunakan termasuk kunyit, halia, akar pahit, dan daun tertentu yang dipercayai mempunyai sifat anti-radang, penawar racun, atau penguat semangat. Bahan-bahan ini diproses dalam pelbagai bentuk seperti air rebusan sebagai tonik, tampalan (poultice) untuk kecederaan luar, atau campuran herba untuk mandi rawatan.
Minyak Kelapa atau Minyak Herba
Minyak digunakan sebagai medium pembawa untuk mengurut atau menyapu kawasan yang sakit. Ramuan herba tertentu akan dicampurkan ke dalam minyak untuk meningkatkan keberkesanan terapeutik, terutamanya bagi rawatan lenguh badan, bengkak, atau gangguan rohani.
Buluh atau Daun Pisang
Buluh dan daun pisang berfungsi sebagai bekas semula jadi untuk mencampur, menyimpan, atau membungkus bahan perubatan. Ia serasi dengan ekologi setempat dan mudah dilupuskan tanpa mencemarkan alam.
Peralatan Ritual dan Upacara
Dalam banyak kes, penyembuhan Orang Asli melibatkan ritual dan amalan spiritual, terutamanya apabila penyakit dikaitkan dengan gangguan roh atau kehilangan semangat. Oleh itu, peralatan ritual memainkan peranan penting dalam menyokong tugas pawang atau bomoh.
Bahan Rittual (Akar atau Kayu Istimewa)
Kayu atau akar tertentu dianggap mempunyai kuasa spiritual. Ia digunakan oleh pawang untuk “menyedut”, “menarik keluar”, atau mengalihkan penyakit dari tubuh pesakit. Alat ini melambangkan kuasa intervensi spiritual dalam proses rawatan.
Beras Kunyit
Campuran beras dan kunyit digunakan sebagai agen penyucian untuk menabur di sekeliling pesakit atau kawasan kampung. Ia berfungsi menghalau unsur negatif serta membersihkan ruang rawatan daripada pengaruh jahat.
Kemenyan
Damar atau getah wangi yang dibakar menghasilkan asap yang dipercayai dapat memanggil roh baik dan menghalau roh jahat. Selain fungsi spiritual, asap kemiyan juga menyediakan atmosfera sakral yang memudahkan pawang memasuki keadaan separa sedar (trance).
Alat Muzik Tradisional (Seperti Gendang dan Buluh diketuk) dan Tarian
Muzik merupakan elemen penting dalam upacara Sewang dan ritual penyembuhan. Irama berulang membantu menyatukan komuniti, memberi kekuatan emosi kepada pesakit, dan membawa pawang ke keadaan trans untuk berkomunikasi dengan dunia roh.
Item Simbolik dan Kosmologi
Selain bahan fizikal, perubatan Orang Asli turut bergantung kepada objek simbolik yang membawa makna spiritual dan kosmologi yang mendalam.
Air Suci atau Air Jampi
Air biasa yang dibacakan mantera atau jampi digunakan untuk menyucikan pesakit secara spiritual melalui minuman, mandian, atau renjisan. Ia dipercayai dapat menguatkan semangat dan melindungi tubuh daripada gangguan.
Batu atau Objek Kecil Simbolik
Dalam sesetengah ritual, pawang “mengeluarkan” objek seperti batu, jarum, atau serpihan kayu daripada tubuh pesakit. Objek ini melambangkan “peluru” sihir atau gangguan roh yang menjadi punca penyakit, dan penyingkirannya menandakan penyembuhan telah berlaku.
Tali atau Benang (Azimat Perlindungan)
Selepas rawatan, tali atau benang tertentu diikat pada pergelangan tangan atau leher pesakit sebagai tangkal pelindung. Ia berfungsi mengekalkan keseimbangan spiritual pesakit dan menghalang semangatnya daripada diganggu semula.
Pelaksanaan perubatan tradisional Orang Asli berlangsung melalui proses bertahap yang berasaskan prinsip holisme, kosmologi dan spiritual. Rawatan biasanya diketuai oleh pawang atau bomoh (tok halak/tok batik) yang bertindak sebagai pengamal utama, perantara dunia roh, dan penjaga keseimbangan komuniti. Kaedah pelaksanaannya melibatkan pemerhatian teliti, penggunaan herba, ritual penyembuhan, serta langkah pencegahan selepas rawatan. Secara umumnya, proses ini dapat dibahagikan kepada empat fasa utama seperti berikut.
Diagnostik (Mengenal Pasti Punca Penyakit)
Proses rawatan bermula dengan fasa diagnostik yang luas, melangkaui sekadar pemeriksaan fizikal. Pawang akan menilai keadaan tubuh pesakit sambil mengajukan soalan berkaitan latar kehidupan, termasuk sama ada pesakit melanggar pantang larang, mengalami perubahan emosi, terlibat dalam konflik sosial, atau berdepan kejadian ganjil di hutan.
Dalam kes penyakit yang dianggap berat atau tidak dapat dijelaskan, pawang akan melakukan upacara menurun atau perundingan roh. Melalui keadaan separa sedar (trance), pawang berkomunikasi dengan roh pembantu untuk mengenal pasti punca sebenar penyakit sama ada daripada gangguan makhluk halus, unsur sihir, atau kemurkaan entiti alam. Setelah punca dikenalpasti, pawang menetapkan bentuk rawatan yang sesuai, sama ada fizikal, spiritual, atau gabungan kedua-duanya.
Penyediaan Ubat Herba (Rawatan Fizikal)
Jika penyakit dikenal pasti berpunca daripada faktor fizikal seperti demam, luka, atau sakit perut, rawatan herba akan digunakan. Bahan-bahan seperti akar, kulit kayu, dan herba khas dikumpulkan terus dari hutan mengikut pengetahuan ethnobotany yang diwarisi turun-temurun.
Bahan ini kemudiannya diproses mengikut keperluan sama ada direbus menjadi tonik, ditumbuk untuk dijadikan tampalan (poultice), ataupun dijadikan ramuan mandian herba. Walaupun merupakan rawatan fizikal, air rebusan atau bahan herba tersebut biasanya didodoikan dengan mantera oleh pawang untuk menambah kekuatan spiritual dan meningkatkan keberkesanan penyembuhan.
Ritual Penyembuhan (Rawatan Spiritual)
Jika gangguan spiritual dikenal pasti sebagai punca penyakit, rawatan ritual akan menjadi kaedah utama. Ritual yang paling terkenal dalam masyarakat Orang Asli ialah Sewang, iaitu upacara penyembuhan yang menggabungkan tarian berulang, nyanyian tradisional, dan irama gendang yang dimainkan secara berterusan.
Ritual ini berfungsi untuk mencipta suasana spiritual yang mendalam sehingga pawang dapat memasuki keadaan trance dan berhubung dengan roh penyembuh. Selain itu, bahan ritual seperti kemenyan (kemiyan) dibakar untuk menghasilkan asap penyucian yang dipercayai dapat menghalau roh jahat dan membersihkan ruang.
Dalam sesetengah ritual, pawang menggunakan jari, mulut atau pembarangan (kayu istimewa) untuk melakukan perbuatan simbolik “menarik keluar” penyakit daripada tubuh pesakit. Kadang-kala, objek kecil seperti batu atau serpihan kayu ditunjukkan kepada komuniti sebagai lambang fizikal kepada “gangguan” yang telah dibuang.
Pemulihan dan Pencegahan (Langkah Susulan)
Setelah rawatan utama selesai, pesakit melalui fasa pemulihan dan pencegahan untuk memastikan keseimbangan fizikal dan spiritual dapat dipertahankan. Pesakit atau ahli keluarga biasanya diarahkan untuk mematuhi pantang larang tertentu yang melibatkan makanan, pergerakan, atau tingkah laku sosial. Pantang larang ini bertujuan menguatkan semangat pesakit, mengelakkan gangguan baharu, dan mencegah penyakit berulang.
Sebagai langkah perlindungan tambahan, pesakit juga diberikan azimat atau tangkal, selalunya dalam bentuk tali atau benang yang telah dijampi, untuk dipakai pada pergelangan tangan atau leher. Tanggkal ini berfungsi sebagai pelindung spiritual sepanjang tempoh pemulihan.
Secara keseluruhan, kaedah pelaksanaan perubatan tradisional Orang Asli melibatkan integrasi menyeluruh antara diagnosis fizikal dan spiritual, rawatan menggunakan herba, ritual penyembuhan yang bersifat kosmologi, serta langkah pemulihan jangka panjang. Kaedah ini mencerminkan pandangan dunia Orang Asli yang menekankan keseimbangan, hubungan dengan alam, dan kepentingan komuniti dalam proses penyembuhan.
Sumber Rujukan
Bahan Bacaan
Abdullah, M. S., Khalid, N. N., & Hassan, M. S. (2021). Masalah kesihatan Orang Asal: Satu sorotan literatur. Organised By, 20.
Kardooni, R., Kari, F. B., Yahaya, S. R. B., & Yusup, S. H. (2014). Traditional knowledge of Orang Asli on forests in Peninsular Malaysia. Indian Journal of Traditional Knowledge, 13(2), 238–291.
Lambin, R., Abdul Wahab, N., Mustapha, R., Goh, S. C., Abdullah, R., & Md Sharif, M. P. (2019). Sustainability of Orang Asli indigenous knowledge and practices of green technology in medicine. Journal of Asian Vocational Education and Training, 2, 74–89.
Lambin, R., Wahab, N. A., Choo, G. S., Mustapha, R., & Abdullah, R. (2018). A case study of Orang Asli indigenous knowledge in traditional medicine. International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences, 8(4), 998–1010.
Lokman, A., Simin, H., & Hashim, S. S. (2020). Healing power: Traditional herb remedies of the Orang Asli Temiar in RPS Kuala Betis. Journal of Ethnopharmacology, 250, 112–120.
Munusamy, S., Sandran, L., & Ramli, F. Z. A. (2024). Indigenous traditional healthcare practices and acceptance of mainstream healthcare services: A case study in Gombak Orang Asli village, Malaysia. In Reviving and Re-Writing Ethics in Social Research for Commoning the Community (pp. 227–247). IGI Global Scientific Publishing.
Nik Musa’adah, M., Norbaiah, M. Y., Firdaus, K., Siti Nur Aisyah, M. H., Mazura, M. P., Fadzureena, J., ... & Norini, H. (n.d.). Perubatan tradisional: Bukan sekadar jampi. In Bridging Traditional Knowledge & Natural Products Innovations Towards Wellness and Shared Prosperity (p. 35).
Ong, H. C., Lina, E., & Milow, P. (2012). Traditional knowledge and usage of medicinal plants among the Semai Orang Asli at Kampung Batu 16, Tapah, Perak, Malaysia. Studies on Ethno-Medicine, 6(3), 207–211.
Saub, R., & Jaafar, N. (2001). A dental-anthropological study of health and illness behaviour among Orang Asli of the Semai tribe: The perspective of traditional healers. Medical Journal of Malaysia, 56(4), 401–407.
Tokoh (jika ada temu bual tokoh)
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Encik Yufazli Yusof
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perak
Kompleks JKKN Perak,
Lot 20561@20565 Jalan Caldwell,
Off Jalan Raja Di Hilir,
30350 Ipoh,
PERAK DARUL RIDZUAN
05-253 7001 / 05-254 1027
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!

Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris


