Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
SEPAK BULU AYAM
Permainan Tradisional
Gambar
6
Video
tiada
Pelawat Hari ini
5
Jumlah Pelawat
5
Pengenalan dan sejarah
Foto 1: Permainan sepak bulu ayam Sumber: Aquatarkus diambil daripada shutterstock.com Sepak bulu ayam yang turut dikenali sebagai Sepak Yem, Chapteh, sepak bulu tangkis atau Tating Lawi merupakan permainan tradisional yang telah lama wujud dan masih dimainkan sehingga kini, khususnya di rantau Asia Tenggara seperti Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, dan Vietnam. Permainan ini biasanya dimainkan oleh kanak-kanak di kampung-kampung, terutama pada waktu petang selepas selesai membantu ibu bapa melakukan kerja harian. Lazimnya, ia lebih digemari oleh kanak-kanak lelaki kerana permainan ini menuntut kemahiran menimbang, kepantasan kaki, serta daya tahan fizikal. Walau bagaimanapun, ia tetap terbuka untuk semua golongan tanpa mengira umur atau jantina. Keunikan permainan ini ialah sifatnya yang ringkas dan fleksibel kerana boleh dimainkan di mana-mana sahaja kawasan lapang seperti halaman rumah, padang sekolah, mahupun jalan kampung. Asal usul permainan ini dapat dikesan lebih 2,000 tahun lalu di China, di mana ia dikenali dengan nama jianzi. Selain itu, permainan ini disebut Tī Jianzi, Tī Jian, atau Jianqiú yang merupakan sukan kebangsaan tradisional masyarakat Cina. Permainan ini dipercayai berkembang daripada permainan purba Cina yang dikenali sebagai Cuju pada zaman Dinasti Han. Prinsip asasnya adalah pemain berusaha mengekalkan bulu tangkis berwajaran berat di udara menggunakan anggota badan, terutama kaki, tanpa menggunakan tangan. Setelah itu, melalui perdagangan dan interaksi budaya, permainan ini tersebar ke seluruh Asia Tenggara dan menerima adaptasi tempatan. Di Filipina misalnya, ia dikenali sebagai Sipa’, di Vietnam sebagai Đá Cầu, di Thailand dengan nama Tek Tuan, di Korea disebut Jegichagi dan di Jepun dipanggi Kemari. Kepelbagaian nama ini membuktikan bahawa meskipun wujud variasi mengikut konteks tempatan, prinsip asas permainan tetap sama. Dalam konteks Malaysia, sepak bulu ayam ini bukan sahaja menjadi permainan harian bagi kanak-kanak satu ketika dahulu, malah telah diangkat sebagai salah satu permainan tradisional dalam kategori ‘Permainan Laman’ yang sering dilakukan dalam acara kebudayaan dan pertandingan sukan rakyat. Ia sering dimainkan pada majlis keramaian, pesta rakyat serta program kebudayaan anjuran kerajaan negeri atau badan kebudayaan. Pengiktirafan ini menjadikan permainan sepak bulu ayam ini, bukan sekadar permainan rakyat biasa, tetapi juga simbol identiti budaya masyarakat Malaysia yang perlu dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Permainan sepak bulu ayam mempunyai pelbagai fungsi dan peranan yang menjadi sebahagian daripada nostalgia identiti permainan tradisional berbilang kaum di Malaysia. Antara fungsi dan peranannya ialah:
Riadah dan hiburan masa lapang
Fungsi utama permainan ini adalah sebagai aktiviti rekreasi yang menyeronokkan dan sihat, terutamanya untuk kanak-kanak dan remaja. Ia sering dimainkan pada waktu petang di kawasan lapang.
Menguji kecekapan dan kemahiran
Tujuan utama dalam permainan ini adalah untuk menimbang bulu ayam seberapa lama dan sebanyak mungkin tanpa membiarkannya jatuh ke tanah. Oleh itu, permainan ini secara tidak langsung telah menguji kecekapan, keseimbangan, ketangkasan pergerakan kaki, dan fokus pemain.
Memupuk semangat kerjasama dalam pasukan
Apabila dimainkan secara berpasukan atau beramai-ramai, permainan ini menggalakkan interaksi sosial, semangat berpasukan, dan toleransi di kalangan pemain. Selain itu, senda gurau dan tawa riang sering mengisi suasana permainan.
Memelihara warisan budaya permainan tradisional di Malaysia
Sebagai permainan warisan, sepak bulu ayam berfungsi untuk mengekalkan dan memperkenalkan budaya masyarakat di Malaysia kepada generasi muda masa kini yang menjadi sebahagian daripada identiti budaya Malaysia.
Sepak bulu ayam pada umumnya adalah menggunakan bahan-bahan yang berbeza mengikut perubahan zaman dan perkembangan material moden. Antara bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan sepak bulu ayam ini adalah seperti yang berikut;
Bulu Ayam / Lawi Ayam
Bulu dari bahagian ekor ayam (3 hingga 5 hela) sering digunakan kerana sifatnya yang lebih panjang, tebal dan kaku, menjadikannya lebih stabil serta mudah melayang di udara.
Sebagai alternatif pada masa kini, bulu ayam digantikan dengan plastik yang dicarik-carik kerana kaedah ini lebih praktikal, tahan lama, tidak mudah rosak, dan mudah diperoleh.
Tapak/Pemberat
Kepingan getah tebal yang dipotong berbentuk bulat (diameter kira-kira 4 cm).
Secara tradisional, getah yang digunakan adalah daripada getah skrap atau tiub tayar yang digam berlapis-lapis.
Tapak ini berfungsi sebagai asas, tempat bulu dilekatkan, dan memberikan kestabilan semasa ditimbang.
Pemberat Kecil (Jarum/Paku)
Sebatang paku pendek dan sederhana besar atau jarum yang dicucuk menembusi tengah-tengah tapak getah.
Fungsinya adalah sebagai pemberat tambahan untuk memastikan bulu ayam jatuh lurus ke bawah dan sebagai tempat untuk mengikat pangkal bulu-bulu ayam tersebut.
Bahan Pengikat/Pelekat
Getah gelang atau getah skrap dan gam kuat (jika perlu). Ini digunakan untuk mengikat pangkal bulu ayam dengan kemas pada paku dan tapak getah.
Gelanggang permainan
Permainan ini pada asasnya tidak memerlukan gelanggang khas kerana ia boleh dimainkan secara bebas di pelbagai tempat seperti halaman rumah, padang rumput, lantai simen, atau dewan serbaguna.
Apa yang penting, kawasan permainan tersebut mestilah cukup luas, rata, dan selesa bagi membolehkan pemain bergerak dengan baik.
Dalam konteks pertandingan, gelanggang biasanya ditetapkan secara lebih formal sama ada dalam bentuk bulatan atau segi empat bagi menentukan kawasan permainan yang sah.
Permainan sepak bulu ayam sangat mudah dari segi peraturan dan tujuannya, tetapi memerlukan kemahiran dan latihan yang efektif. Tujuan utama permainan ini adalah untuk menimbang (menyepak ke atas) bulu ayam tersebut sebanyak mungkin tanpa membiarkannya jatuh ke tanah atau terkena tangan. Berikut adalah cara atau kaedah permainannya.
Bilangan pemain
Sepak Bulu Ayam adalah permainan yang sangat fleksibel dan boleh dimainkan oleh sebarang bilangan pemain sama ada secara indvidu, bedua atau berkumpulan.
Jika bermain secara individu, maka pemain akan cuba menimbang bulu ayam itu seberapa banyak dan seberapa lama yang mungkin secara bersendirian untuk mencatatkan rekod peribadi.
Jika bermain secara berkumpulan, maka pemain akan berdiri dalam bulatan dan bergilir-gilir menimbang bulu ayam tersebut. Tujuannya adalah untuk mengekalkan bulu ayam di udara untuk tempoh yang paling lama atau jumlah timbangan keseluruhan yang paling banyak, dengan setiap pemain menyumbang timbangan mereka.
Permulaan Permainan
Jika bermain secara berkumpulan atau beramai-ramai, undian dijalankan dahulu untuk menentukan giliran siapa yang akan mula-mula menimbang.
Pemain akan melambungkan bulu ayam itu ke udara dengan tangan, kemudian dengan cepat akan mula menimbangnya menggunakan kaki sebelum ia jatuh.
Teknik Menimbang (Menyepak)
Pemain dikehendaki menimbang bulu ayam menggunakan bahagian kaki, terutamanya pada tepi tumit kaki (atau tumit bahagian dalam), tepi kaki sebelah dalam (seperti teknik sepak raga).
Kadangkala, pemaian juga boleh menggunakan lutut, dada, atau kepala untuk menahan atau menyambut bulu ayam, tetapi timbangan yang diterima kiraan mata biasanya mesti dilakukan dengan kaki.
Peraturan "Mati"
Pemain secara individu dikira "mati" atau hilang giliran (permainan berakhir untuknya pada pusingan itu) jika bulu ayam jatuh ke tanah, bulu ayam terkena tangan.
Jika bermain beramai-ramai, pemain seterusnya akan mengambil giliran dan saling bersambutan antara satu sama lain.
Penentuan Pemenang
Mata dikira berdasarkan jumlah timbangan yang berjaya dilakukan secara berturut-turut (tanpa henti atau mati) dalam satu giliran.
Pemain yang berjaya melakukan jumlah timbangan terbanyak secara keseluruhan, atau dalam beberapa pusingan yang dipersetujui, akan diisytiharkan sebagai juara.
Sumber Rujukan
Bahan Bacaan
Ali, M. (2023). Meningkatkan koordinasi mata tangan dan kaki anak melalui permainan tradisional. Journal of Sport Science and Tourism Activity, 2(2), 61–67.
Ibrahim, M. F., Pei, G. K., Hashim, H. A., & Hamzah, N. A. (2023). Pendekatan pengajaran Teaching Games for Understanding melalui permainan tradisional. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.
Iordanis, S. (2002, February 14). History of shuttlecock sport. Archived May 12, 2008. Retrieved August 20, 2008, from https://web.archive.org/web/20080512110541/http://www.jianzi.org/history.html
Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia. (n.d.). Tating Lawi. Retrieved September 8, 2025, from https://www.komunikasi.gov.my/en/program-semasa/65-bahankpkk/dokumen/537-tating-lawi
Memori Kedah. (n.d.). Sepak bulu ayam: Permainan tradisional. Retrieved from https://www.memori-kedah.com/
Memori Kedah. (n.d.). Tating Lawi: Permainan tradisional Kedah. Retrieved September 8, 2025.
Tokarski, W., Zhu, W., & Zarotis, G. F. (n.d.). Transcultural movement and sport research: The contribution of traditional Chinese movement and sports culture for modern sport. Retrieved from https://www.researchgate.net/publication/303388040
Zulkipli, M. Z. (2023, December 16). Kaki hantu, Tating Lawi antara permainan kian lenyap. Berita Harian. Retrieved from https://www.bharian.com.my/hujung-minggu/lain-lain/2023/12/1187719/kaki-hantu-tating-lawi-antara-permainan-kian-lenyap
Tokoh (jika ada temu bual tokoh)
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Encik Yufazli Yusof
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perak
Kompleks JKKN Perak,
Lot 20561@20565 Jalan Caldwell,
Off Jalan Raja Di Hilir,
30350 Ipoh,
PERAK DARUL RIDZUAN
05-253 7001 / 05-254 1027
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!

Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris



