PERMAINAN CAPLONG (BEDIL BULUH)

Permainan Tradisional

Gambar

4

Video

tiada

Pelawat Hari ini

1

Jumlah Pelawat

1

Pengenalan dan sejarah

                                                                   

Foto 1: Permianan Caplong (Bedil Buluh)

       Foto 1: Permainan Caplong (Bedil Buluh)

           Sumber: Amsalib Pisali


Permainan Caplong merupakan salah satu khazanah warisan permainan tradisional yang amat dikenali dalam kalangan masyarakat Melayu, terutamanya di kawasan luar bandar dan kampung. Permainan ini juga dikenali dengan nama Bedil Buluh atau Caplom di sesetengah negeri yang melambangkan kreativiti dan kepintaran kanak-kanak dahulu dalam memanfaatkan sumber alam sekitar untuk tujuan rekreasi. Berbeza dengan permainan moden yang dibeli, Caplong menuntut pemainnya untuk membina sendiri alat permainan daripada bahan mentah, sekali gus menyemai nilai kerajinan dan kemahiran tangan sejak usia muda.


Caplong ialah alat tembak-menembak ringkas yang direka menggunakan sebatang buluh atau paip PVC sebagai badan utama, dan dipadankan dengan batang pelocok yang lebih kecil sebagai penolak. Keunikan Caplong terletak pada prinsip fizik yang mudah namun berkesan, iaitu memanfaatkan tekanan udara yang terperangkap di dalam ruang buluh untuk memberikan momentum kepada peluru. Peluru yang biasa digunakan ialah buah cenerai yang kecil dan keras, namun ia juga boleh digantikan dengan gumpalan kertas basah yang dimampatkan. Apabila pelocok dihentak dengan kuat, tekanan udara yang dihasilkan akan menolak peluru keluar dengan pantas, lalu menghasilkan bunyi letupan kecil yang nyaring seperi “Cap Lom”. Maka daripada bunyi inilah yang menjadi punca asal-usul nama permainan tradisional ini.


Tujuan utama Caplong dimainkan adalah untuk menjalankan simulasi permainan perang olok-olok, di mana kanak-kanak dapat berimaginasi sebagai wira yang mempertahankan atau menyerang kubu. Permainan ini selalunya dimainkan secara berkumpulan, melibatkan elemen strategi, kerjasama, dan taktik sembunyi-sembunyi yang menyeronokkan. Selain menguji ketangkasan berlari dan bersembunyi, Caplong juga menguji kecekapan sasaran dan ketepatan tembakan pemain. Melalui permainan ini, kanak-kanak belajar tentang kemahiran dalam membina alat, serta kemahiran sosial dalam berinteraksi dan membentuk pasukan.


Lebih daripada sekadar hiburan, permainan Caplong memainkan peranan penting dalam konteks sosiobudaya masyarakat tradisional. Ia berfungsi sebagai medium komunikasi dan interaksi sosial yang merapatkan hubungan persahabatan, melangkaui batas usia. Aktiviti pembinaan Caplong yang sering dilakukan secara bergotong-royong mengajar nilai perkongsian ilmu dan kesabaran. Caplong juga menjadi saksi kepada sejarah kehidupan desa, yang mana sumber hiburan utama diperoleh secara kreatif daripada alam semula jadi menggunakan buluh dan buah cenerai yang bukan daripada teknologi yang kompleks.


Walau bagaimanapun, Caplong kini berdepan dengan cabaran kelestarian akibat arus pemodenan dan perkembangan teknologi digital. Minat terhadap permainan berasaskan fizikal ini semakin berkurangan, menjadikannya terdedah kepada kepupusan. Oleh itu, usaha-usaha untuk memperkenalkan semula Caplong melalui aktiviti kebudayaan, program komuniti, dan pameran warisan adalah penting. Melalui inisiatif ini, generasi muda dapat menghargai nilai sejarah, seni kraf tangan, dan prinsip sains yang terkandung dalam permainan tradisional ini agar memastikan Caplong terus menjadi permainan warisan yang sangat nostalgik dalam ingatan masyarakat Malaysia.



Fungsi dan Peranan

Secara umumnya, permainan caplong ini mempunyai beberapa fungsi dan kepentingan utama iaitu;


  1. Aktiviti riadah dalam mengisi masa lapang kanak-kanak

Caplong menyediakan saluran untuk kanak-kanak berseronok, beriadah di luar rumah, dan mengisi masa lapang kanak-kanak di kampung atau kawasan desa. Ia melibatkan larian, bersembunyi, dan pergerakan fizikal yang aktif, menyumbang kepada kecergasan fizikal mereka. 


  1. Memupuk interaksi sosial

Permainan ini selalunya dimainkan secara berkumpulan dan berpasukan. Ia menggalakkan kerjasama seperti membentuk pasukan dan strategi, komunikasi (memberi arahan), dan toleransi (menerima kekalahan atau kemenangan) dalam kalangan pemain.


  1. Meningkatkan kemahiran motor dan kreativiti

Pembinaan Caplong itu sendiri adalah proses pembelajaran. Kanak-kanak belajar tentang kemahiran kraf tangan seperti mengukur, memotong, dan melicinkan buluh. Ini meningkatkan kemahiran dan mendorong kreativiti dalam mencipta alat permainan sendiri. 


  1. Latihan kemahiran kognitif dan strategi

Sebagai permainan tembak-menembak dan simulasi perang, ia memerlukan pemain merancang strategi, mencari sasaran, dan membuat keputusan yang pantas. Ini membantu perkembangan kemahiran kognitif (berfikir) dan ketangkasan mental kanak-kanak.


  1. Melatih kecekapan sasaran

Permainan ini memperkenalkan konsep tekanan udara dan daya tujah. Pemain belajar bahawa tolakan yang kuat akan menghasilkan tekanan udara yang tinggi, lantas menghasilkan tembakan yang lebih laju dan bunyi yang lebih kuat. Secara tidak langsung, ia melatih koordinasi mata dan tangan, serta ketepatan pemain dalam menembak sasaran yang bergerak atau statik.


Peralatan/ Bahan-Bahan

Alat permainan Caplong ini amat mudah untuk disediakan kerana hanya menggunakan bahan-bahan semula jadi seperti batang buluh. Bagi menghasilkan sebuah Caplong yang sangat baik, berikut adalah bahan-bahan yang boleh digunakan;


  1. Buluh (Badan Caplong)

Ini adalah komponen utama yang berfungsi sebagai laras senapang atau badan Caplong. Biasanya, buluh yang dipilih adalah jenis yang kecil, lurus, dan mempunyai ketebalan dinding yang sesuai, tidak terlalu tebal dan tidak terlalu nipis serta panjangnya adalah sekitar 20 hingga 40 cm. 


  1. Batang Buluh Kecil (Pelocok)

Pelocok adalah batang yang berfungsi untuk menolak peluru ke dalam Caplong. Ia mesti lebih kecil daripada lubang buluh utama, tetapi mempunyai diameter yang cukup besar untuk memampatkan udara di dalamnya dan perlu lurus dan licin.


  1. Buah Cenerai (Peluru)

Buah cenerai adalah bahan peluru yang paling popular. Buah cenerai ialah sejenis buah hutan kecil yang mempunyai diameter yang hampir sama dengan lubang buluh dan membolehkan ia dimuatkan dengan kemas ke dalam lubang buluh. Namun begitu, buah cenerai ini boleh digantikan dengan bahan alternatif lain seperti kertas basah dan biji getah yang bersaiz kecil.


Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Permainan Caplong dimainkan melalui dua peringkat utama, iaitu peringkat persediaan (memuatkan peluru) dan peringkat aksi (menembak). Setiap langkah memainkan peranan penting dalam menghasilkan tekanan udara yang cukup untuk melepaskan peluru.


Peringkat Persediaan (Memuatkan Peluru)


Pada peringkat ini, pemain perlu menyediakan dua biji peluru untuk mencipta ruang udara yang terperangkap di dalam Caplong.


  1. Memasukkan Peluru Pertama

  • Ambil sebiji peluru (buah cenerai atau gumpalan kertas basah).

  • Masukkan ke dalam lubang Caplong dari bahagian hadapan.

  • Peluru pertama bertindak sebagai penghalang udara di bahagian belakang.


  1. Menolak Peluru Pertama ke Belakang

  • Gunakan pelocok untuk menolak peluru tersebut jauh ke dalam buluh sehingga hampir ke hujung belakang.

  • Menempatkan peluru pertama di kedudukan tetap supaya ruang udara dapat terbentuk di hadapan.


  1. Memasukkan Peluru Kedua

  • Ambil peluru kedua dan masukkan ke dalam mulut Caplong (bahagian hadapan).

  • Peluru kedua ialah peluru utama yang akan ditembak keluar.


  1. Mewujudkan Ruang Udara Terperangkap

  • Pada tahap ini, terdapat ruang udara di antara peluru pertama (belakang) dan peluru kedua (hadapan).

  • Ruang udara inilah yang mencipta tekanan apabila dimampatkan dan menghasilkan peluru yang jauh ditempak mengenai sasaran.


Peringkat Aksi (Menembak)

Setelah Caplong dimuatkan dengan betul, pemain bersedia untuk melepaskan tembakan.


  1. Membidik Sasaran

  • Halakan Caplong ke arah sasaran, sama ada lawan dalam permainan perang atau sasaran statik seperti tin bagi menentukan ketepatan tembakan.


  1. Menolak Pelocok dengan Pantas

  • Letakkan pelocok di bahagian belakang peluru kedua.

  • Tolak pelocok ke hadapan dengan kuat dan sepantas mungkin.

  • Tolakan laju ini memampatkan udara secara mendadak.


  1. Proses Tembakan

  • Tolakan pantas menyebabkan ruang udara terperangkap antara dua peluru dimampatkan secara ekstrem.

  • Tekanan udara yang tinggi akan mengatasi geseran peluru hadapan.


Konteks Permainan Berkumpulan (Perang-Perang)

Apabila Caplong dimainkan dalam bentuk permainan kumpulan, peraturannya lebih menyeronokkan:


  • Pemain dibahagikan kepada dua pasukan.

  • Setiap pasukan mencari tempat berlindung dan menyerang pihak lawan dari jarak selamat.

  • Tembakan menggunakan peluru lembut (buah kecil atau kertas basah).

  • Pemain yang terkena peluru dianggap “kena” atau “out”, mengikut peraturan yang dipersetujui.

  • Semakin banyak kumpulan membidik dan kena pada sasaran, maka kumpulan itu akan menang mengikut hitungan baki ahli kumpulan yang masih tidak terkena tembakan.

Sumber Rujukan


  1. Bahan Bacaan

Sulaiman, R., Rahim, A., Zahari, S. S., Roslan, N. F., Tarmizi, M. S. H. A., Ismail, A., & Saad, M. H. (2023). Visual thinking from children's traditional games through cultural social concepts. International Journal of Art and Design, 7(2), 139–150.

Zahari, S. S., Roslan, N. F., Ahmad Tarmizi, M. S. H., Ismail, A., Mohd Salleh, A. N. R., & Saad, M. H. (2023). Pemikiran visual daripada permainan tradisional kanak-kanak menerusi konsep sosial budaya. International Journal of Art and Design (IJAD), 7(2), 141–152.

Young Tourism One Love. (2013, July). Permainan Caplong: Dulu budak-budak kena kreatif! Retrieved from https://youngtourismonelove.blogspot.com/2013/07/permainan-caplong-dulu-budak-budak-kena.html


  1. Tokoh (jika ada temu bual tokoh)


Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
Dapatkan Arah

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Encik Yufazli Yusof

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perak
Kompleks JKKN Perak, Lot 20561@20565 Jalan Caldwell, Off Jalan Raja Di Hilir, 30350 Ipoh, PERAK DARUL RIDZUAN

05-253 7001 / 05-254 1027

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!