Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
BERTANGAS
Adat Resam
Gambar
7
Video
tiada
Pelawat Hari ini
17
Jumlah Pelawat
257
Pengenalan dan sejarah
Secara umumnya, terdapat dua jenis utama bertangas, iaitu tangas kering dan tangas basah. Tangas kering dilakukan dengan menggunakan batu sungai yang dipanaskan selama kira-kira satu jam di atas api kecil. Setelah itu, batu panas tersebut akan ditaburkan dengan serbuk tangas yang terdiri daripada campuran herba terpilih. Asap yang terhasil daripada gabungan herba dan batu panas inilah yang akan menghangatkan bahagian sulit wanita. Kaedah ini dianggap lebih ringkas dan sesuai bagi mereka yang tidak tahan dengan wap yang terlalu panas. Sementara itu, tangas basah pula menggunakan air panas yang dididihkan bersama daun dan herba terpilih. Wap daripada rebusan tersebut kemudian digunakan sebagai ‘sauna herba’ untuk bahagian sulit dan tubuh badan. Kaedah ini memberikan kesan seperti mandi wap yang menyegarkan kerana wap herba akan meresap terus ke dalam liang roma.
Oleh yang demikian, kedua-dua jenis bertangas ini mempunyai fungsi dan perananmnya yang tersendiri. Berikut adalah fungsi atau peranan bertangas mengikut pandangan etnoperubatan Melayu dan fungsi sosialnya:
Kesihatan dalaman wanita
Antara fungsi utamanya ialah membantu menyihatkan rahim dan faraj. Wap herba daripada proses bertangas dipercayai mampu mengecutkan rahim selepas bersalin, mengeluarkan sisa darah nifas atau haid yang masih tertinggal, serta menguatkan otot-otot faraj. Hal ini menjadikannya rawatan tradisional yang dekat dengan keperluan wanita, terutama dalam tempoh berpantang. Selain itu, bertangas juga berperanan menyingkirkan angin dan toksin dalam badan. Proses wap panas membantu membuka liang roma, manakala penggunaan herba seperti daun sirih, kunyit hidup, manjakani, dan rempah ratus bertindak sebagai agen detoksifikasi semula jadi yang memberi kesegaran pada tubuh.
Penjagaan diri
Dari segi penjagaan kebersihan, bertangas turut berfungsi menghilangkan bau kurang menyenangkan. Ia membantu menyeimbangkan flora semula jadi di kawasan intim sambil memberikan kesegaran melalui aroma herba yang digunakan. Malah, amalan ini juga berkesan untuk mengurangkan bau badan, justeru meningkatkan keyakinan diri seseorang wanita. Selain itu, haba daripada wap herba bertindak melancarkan peredaran darah ke kawasan peranakan dan seluruh badan, sekaligus membantu mengurangkan rasa lenguh, sakit pinggang, atau sengal urat yang sering dialami oleh wanita selepas bersalin atau kerana faktor keletihan harian.
Kesejahteraan tubuh dan emosi
Dari perspektif psikologi, bertangas memberikan kesan ketenangan dan kesejahteraan emosi. Prosesnya yang tenang serta aroma herba yang menenangkan membantu meredakan tekanan dan keletihan mental. Bagi wanita moden yang sibuk dengan kerjaya dan tanggungjawab keluarga, pengalaman bertangas menyerupai terapi spa tradisional yang menyegarkan tubuh dan minda. Lebih daripada itu, amalan ini juga dikaitkan dengan kesuburan dan kitaran haid wanita. Dilakukan secara berkala, bertangas dipercayai dapat membantu mereka yang mengalami masalah haid tidak teratur, merawat keputihan, dan menguatkan kesihatan rahim, seterusnya menyokong kesuburan dan fungsi reproduktif.
Fungsi Sosial (Proses Perkahwinan)
Selain peranan dalam penjagaan kesihatan, bertangas juga mempunyai fungsi sosial dan budaya dalam masyarakat Melayu. Di sesetengah komuniti di Malaysia, ia menjadi sebahagian daripada proses tradisi perkahwinan yang dilalui oleh calon mempelai, sama ada lelaki mahupun perempuan. Amalan ini bukan sekadar ritual, tetapi dianggap penting untuk mengurangkan bau badan agar pasangan kelihatan bersih dan segar pada hari perkahwinan.
Terdapat kepercayaan bahawa selepas menjalani proses bertangas, peluh yang keluar daripada badan pengantin tidak lagi berbau busuk, sebaliknya menjadi lebih wangi atau sekurang-kurangnya berbau ringan. Hal ini amat signifikan kerana pengantin akan bersanding di hadapan khalayak ramai sebagai “raja dan ratu sehari”. Oleh itu, bertangas berfungsi bukan sahaja dari segi perubatan tradisional dan kesihatan, tetapi juga sebagai satu simbol persiapan diri dan penyucian menjelang fasa penting dalam kehidupan seseorang individu.
-
Dalam tradisi perubatan Melayu, bahan atau ramuan yang digunakan dalam bertangas lazimnya dibezakan mengikut dua kaedah utama, iaitu bertangas basah dan bertangas kering. Kedua-dua kaedah ini menggunakan herba pilihan yang hampir sama, namun cara penyediaannya berbeza mengikut tujuan rawatan. Berikut adalan bahan-bahan untuk penyediaan bertangas;
Bahan-Bahan Bertangas Basah (Rebusan Herba / Wap Herba)
Ramuan ini digunakan dengan cara direbus bersama air panas sehingga mengeluarkan wap.
Daun sirih – membersih, antiseptik dan mengurangkan keputihan.
Kunyit hidup – anti-radang, memberi kesegaran dan mengurangkan bau badan.
Serai wangi – melancarkan peredaran darah serta memberi aroma harum.
Halia – menghangatkan tubuh dan membuang angin.
Manjakani – menguatkan rahim dan mengetatkan otot faraj.
Limau purut – memberikan bau harum semula jadi.
Daun pandan atau inai – memberi bau harum semula jadi.
Rempah ratus (cengkih, kayu manis, bunga lawang) – membantu detoksifikasi serta menambahkan aroma.
Semua bahan ini direbus dalam periuk berisi air sehingga mendidih, dan wapnya digunakan untuk proses bertangas.
Bahan-Bahan Bertangas Kering (Asap Herba / Serbuk Tangas)
Ramuan ini digunakan bersama batu sungai panas untuk menghasilkan asap.
Batu sungai – dipanaskan terlebih dahulu sebagai medium wap/asap.
Serbuk tangas (campuran herba kering seperti daun sirih, manjakani, halia kering, kunyit kering).
Akar kayu tradisional (contohnya kacip fatimah, akar serapat) – untuk kesihatan rahim dan tenaga dalaman.
Rempah kering (cengkih, kayu manis, lada hitam) – untuk keharuman dan sifat detoksifikasi.
Serbuk tangas ditaburkan ke atas batu sungai yang dipanaskan sehingga mengeluarkan asap herba yang digunakan dalam proses bertangas kering.
Amalan bertangas juga boleh dilakukan dengan dua kaedah utama, iaitu tangas kering dan tangas basah. Kedua-duanya menggunakan ramuan herba tradisional yang sama, tetapi berbeza dari segi penyediaan dan teknik.
CARA BERTANGAS KERING
Langkah 1: Penyediaan Batu
Pilih beberapa biji batu sungai bersaiz sederhana.
Basuh hingga bersih bagi membuang kotoran.
Jemur sehingga kering supaya lebih mudah dipanaskan.
Langkah 2: Pemanasan Batu
Susun batu dalam kuali besi atau periuk tanah liat (lebih sesuai jika menggunakan periuk tanah liat).
Panaskan di atas api kecil atau bara selama kira-kira 1 jam sehingga cukup panas.
Langkah 3: Penyediaan Serbuk Tangas
Keringkan bahan-bahan herba seperti daun sirih, kunyit hidup, halia, manjakani, dan akar kayu dengan cara menjemur atau mengeringkan di bawah matahari.
Setelah kering, tumbuk atau kisar halus bersama rempah ratus seperti kayu manis, cengkih, dan bunga lawang.
Ayak halus untuk mendapatkan serbuk yang sekata.
Simpan dalam bekas kedap udara untuk digunakan bila perlu.
Langkah 4: Proses Bertangas
Masukkan batu sungai panas ke dalam bekas tahan panas atau boleh terus menggunakan periuk tanah liat yang telah dipanaskan.
Taburkan serbuk tangas di atas batu tersebut.
Biarkan asap herba terhasil secara semula jadi.
Langkah 5: Kaedah Duduk
Duduk di atas bangku khas yang mempunyai lubang di bahagian tengah, atau gunakan baldi besar yang sesuai.
Selubungkan kain tangas, kain tebal atau kain batik di sekeliling tubuh supaya asap herba terperangkap dan meresap ke bahagian intim serta tubuh.
Tempoh rawatan bertangas disarankan dilakukan selama 15 hingga 30 minit. Sepanjang proses, pastikan suhu wap atau asap berada pada tahap yang selesa agar tidak menimbulkan rasa terbakar atau ketidakselesaan. Jika pada bila-bila masa terasa terlalu panas, hentikan rawatan serta-merta bagi mengelakkan iritasi atau kecederaan pada kulit.
CARA BERTANGAS BASAH
Langkah 1: Penyediaan Herba
Sediakan bahan segar seperti daun sirih, kunyit hidup, serai wangi, halia, manjakani, daun pandan atau daun inai.
Tambahkan rempah ratus seperti cengkih, kayu manis, dan bunga lawang untuk menambahkan aroma serta khasiat.
Langkah 2: Merebus Herba
Masukkan semua bahan ke dalam periuk berisi air secukupnya.
Rebus sehingga air mendidih dan mengeluarkan aroma herba.
Langkah 3: Penyediaan Bekas
Tuangkan air rebusan ke dalam bekas tahan haba seperti periuk tanah atau menggunakan periuk rebusan yang masih sesuai panas.
Pastikan wap panas masih keluar semasa digunakan.
Langkah 4: Proses Bertangas
Duduk di atas bangku khas yang berlubang atau baldi sesuai supaya wap naik ke bahagian intim.
Tutup tubuh dengan kain penutup tangas atau kain tebal agar wap herba terperangkap dan meresap ke seluruh badan.
Langkah 5: Kaedah Duduk
Duduk di atas bangku khas yang mempunyai lubang di bahagian tengah, atau gunakan baldi besar yang sesuai.
Selubungkan kain tangas, kain tebal atau kain batik di sekeliling tubuh supaya asap herba terperangkap dan meresap ke bahagian intim serta tubuh.
Tempoh rawatan bertangas disarankan dilakukan selama 20 hingga 40 minit. Sepanjang proses, pastikan suhu wap atau asap berada pada tahap yang selesa agar tidak menimbulkan rasa terbakar atau ketidakselesaan. Jika pada bila-bila masa terasa terlalu panas, hentikan rawatan serta-merta bagi mengelakkan iritasi atau kecederaan pada kulit. Selepas Bertangas, lap badan dengan tuala bersih. Elakkan mandi dengan air sejuk serta-merta untuk mengekalkan kesan haba dan khasiat herba.
-
Sumber Rujukan
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!

Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris



