Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
ADAT RESAM DAN BUDAYA MASYARAKAT CHETTI MELAKA: SADANGGU ATAU SADENGGU
Adat Resam
Gambar
4
Video
ada
Pelawat Hari ini
20
Jumlah Pelawat
141
Pengenalan dan sejarah
Adat Sadanggu, juga dikenali sebagai Sadunggu, Sadenggu atau Sandanggu, merupakan salah satu adat penting dalam kalangan masyarakat Chetti di Melaka. Ia adalah sebuah adat resam tradisional yang khusus dijalankan untuk anak gadis sunti yang telah mengalami haid pertama dan menandakan peralihan status daripada kanak-kanak kepada seorang anak dara. Adat ini mengandungi unsur-unsur ritual, keagamaan dan sosial, serta masih diamalkan oleh komuniti Chetti sebagai lambang penghormatan terhadap nilai adat nenek moyang yang diwarisi sejak turun-temurun.
Adat Sadanggu telah diamalkan oleh masyarakat Chetti Melaka sejak beberapa generasi dahulu yang dipercayai telah berusia lebih 200 tahun. Amalan ini adalah seiring dengan penempatan awal masyarakat Chetti yang wujud hasil perkahwinan campur antara pedagang India Selatan (terutamanya Tamil) dengan wanita tempatan Melayu sejak zaman Kesultanan Melaka sekitar abad ke-15.
Walaupun bentuk adat ini mungkin mengalami sedikit perubahan dari segi penyampaian atau adaptasi mengikut zaman, intipati ritual Sadanggu masih kekal bagi menandakan peralihan status gadis sunti kepada seorang anak dara dalam komuniti mereka. Tradisi ini diwarisi secara turun temurun dalam bentuk tradisi lisan dan amalan keluarga yang masih dijalankan secara aktif dalam komuniti kecil Chetti di Kampung Chetti, Gajah Berang, Melaka sehingga ke hari ini.
Mengikut kepercayaan masyarakat Chetti, apabila seorang gadis datang haid buat pertama kali, dia dianggap berada dalam keadaan yang tidak suci dan terdedah kepada gangguan roh-roh jahat. Justeru itu, gadis tersebut perlu dikuarantin di dalam bilik selama 16 hari dan tidak dibenarkan keluar rumah, termasuk untuk ke sekolah atau ke kuil. Keluarga gadis juga tidak dibenarkan mengunjungi kuil, dan kunjungan orang luar ke rumah itu dianggap tidak sesuai kerana diyakini boleh membawa kekotoran rohani.
Oleh yang demikian, Adat Sadanggu bukan sekadar ritual peralihan, tetapi juga satu bentuk identiti budaya dan spiritual masyarakat Chetti yang kaya dengan simbolisme, estetika, dan nilai komuniti. Ia menyerlahkan bagaimana adat dan kepercayaan dihayati secara kolektif oleh keluarga dan komuniti dalam membentuk jati diri anak gadis mereka.
Fungsi utama Adat Sadanggu adalah sebagai mekanisme penyucian rohani dan jasmani bagi seorang gadis yang telah mengalami haid pertama, iaitu fasa awal kedewasaan dalam kehidupan seorang wanita. Dalam kepercayaan masyarakat Chetti, haid pertama dianggap sebagai satu fasa yang membawa “kekotoran” atau “ketidaksucian”, bukan sahaja dari sudut fizikal tetapi juga dari sudut spiritual. Justeru itu, gadis tersebut perlu melalui satu tempoh pengasingan dan pantang larang, diikuti dengan pelaksanaan upacara mandi restu sebagai ritual penyucian diri. Proses ini dianggap penting bagi membersihkan unsur negatif, melindungi gadis daripada gangguan roh-roh jahat serta mempersiapkan dirinya secara spiritual dan sosial untuk bergelar anak dara. Adat Sadanggu menandakan titik tolak perubahan status seorang gadis, sekaligus meneguhkan peranannya dalam masyarakat sebagai wanita yang telah “disucikan” dan sedia menggalas tanggungjawab dewasa.
Peralatan dan bahan-bahan dalam upacara Adat Sadanggu disusun dan digunakan mengikut setiap peringkat proses upacara. Setiap bahan yang digunakan mempunyai signifikan tersendiri, sama ada dari sudut simbolik, spiritual, atau fungsinya dalam menyempurnakan adat tersebut. Berikut merupakan senarai peralatan dan bahan-bahan yang digunakan dalam pelbagai fasa pelaksanaan Adat Sadanggu.
Tempat mandi
Tempat mandi merupakan ruang permulaan yang memainkan peranan penting dalam menyempurnakan fasa penyucian gadis yang diraikan. Antara peralatan utama yang digunakan dalam bahagian ini ialah bangku rendah yang dialas dengan kain dan padi. Bangku ini berfungsi sebagai tempat duduk si gadis semasa upacara mandi restu dijalankan. Penggunaan padi sebagai alas bukan sekadar untuk keselesaan, tetapi membawa makna simbolik yang mendalam, iaitu lambang kesuburan, kemakmuran dan kelangsungan zuriat. Selain itu, turut disediakan tempayan air mandian, iaitu bekas besar untuk menampung air yang telah dicampur dengan bahan-bahan penyucian seperti bunga-bungaan, air mawar, air kunyit dan cendana.
Peralatan mandian
Antara peralatan utama yang digunakan termasuklah tempayan dan cumbu air sebagai bekas air mandian sepanjang upacara berlangsung. Bahan lain ketika proses mandi ini adalah air kunyit yang dipercayai mampu membersihkan tenaga negatif dan memberikan kekuatan dalaman kepada tubuh. Selain itu, turut disediakan air mawar yang melambangkan kelembutan, kasih sayang dan aura positif. Bahagn lainnya adalah serbuk cendana yang digunakan untuk memberikan keharuman, ketenangan, dan elemen sakral dalam proses pembersihan. Disamping itu, air mandian turut dicampur dengan bunga-bungaan wangi, terdiri daripada tujuh jenis bunga pilihan, di mana bunga melur merupakan elemen wajib.
Peralatan upacara memusing
Upacara ini lazimnya dijalankan selepas fasa mandi restu dan berfungsi sebagai satu bentuk ritual pemulihan, perlindungan, serta penetapan kedudukan spiritual gadis yang telah mencapai akil baligh. Antara peralatan utama yang digunakan termasuklah pelita yang melambangkan cahaya petunjuk dan perlindungan daripada kegelapan serta gangguan roh halus. Tahi lembu kering digunakan sebagai simbol unsur bumi dan kesuburan, yang mencerminkan hubungan manusia dengan alam semula jadi.
Turut digunakan dalam upacara ini ialah pelbagai bahan makanan dan keperluan harian seperti sayur-sayuran, buah-buahan, beras, kapur, dan minyak masak — yang masing-masing membawa makna rezeki, kehidupan, kesihatan, dan keseimbangan. Batu giling yang dibalut dengan kain merah pula melambangkan kekuatan dalaman, ketahanan fizikal dan simbol kewanitaan. Sajian tradisional seperti kuih putu dan vade turut disediakan sebagai lambang kemanisan hidup dan kesyukuran.
Elemen lain termasuk kelapa, cumbu yang diisi kelapa serta daun sireh, yang secara tradisionalnya dianggap sebagai bahan penawar, pelindung dan penyuci. Kesemua bahan ini akan digunakan dalam satu pergerakan ritual "memusing" yang dijalankan oleh wanita yang lebih berusia di sekeliling gadis tersebut.
Peralatan merenjis
Peralatan merenjis pula terdiri daripada air mawar dan bunga rampai. Air mawar, yang terkenal dengan keharuman dan kelembutannya, berperanan sebagai elemen penyegar dan penyuci rohani. Manakala bunga rampai, terdiri daripada campuran pelbagai jenis bunga wangi yang dihiris halus dan dicampur dengan air mawar yang digunakan untuk merenjis ke atas kepala dan badan si gadis. Tindakan ini melambangkan pemberian restu, tanda kasih sayang serta harapan agar gadis tersebut menjalani kehidupan yang tenang, sejahtera dan diberkati selepas memasuki fasa kedewasaan.
Keperluan hantaran
Keperluan hantaran merupakan salah satu elemen penting dalam pelaksanaan Adat Sadanggu. Hantaran ini disediakan oleh keluarga si gadis sebagai simbol peralihan status sosial dan fizikal, serta sebagai tanda bahawa gadis tersebut kini telah bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang anak dara dalam masyarakat. Antara komponen utama dalam hantaran ini ialah sepersalinan sari, makanan tradisional dan manisan seperti halwa, kuih tradisional serta buah-buahan. Turut disediakan Kalung malai iaitu kalung bunga segar dan pelbagai aksesori wanita seperti gelang, subang, dan kerongsang turut disertakan bagi menggambarkan persiapan fizikal dan simbolik gadis tersebut dalam memulakan peranan baharunya sebagai seorang anak gadis.
Tempat sembahyang
Ruang ini biasanya disediakan secara khusus dalam rumah keluarga si gadis atau di kawasan yang bersih dan suci, lengkap dengan peralatan sembahyang seperti lampu minyak, gambar atau patung dewa, bunga, kemenyan serta persembahan makanan. Tempat ini menjadi pusat tumpuan doa dan restu sepanjang upacara berlangsung, dan menjadi ruang untuk ahli keluarga memohon perlindungan serta berkat daripada dewa agar gadis yang diraikan sentiasa dilimpahi kesejahteraan selepas melalui fasa peralihan ke alam kedewasaan.
Cupak
Cupak iaitu sejenis alat pengukur tradisional turut digunakan dalam beberapa bahagian upacara sebagai simbol keadilan, ketepatan, dan keseimbangan dalam kehidupan. Dalam konteks Adat Sadanggu, cupak mungkin digunakan secara simbolik dalam penyediaan bahan-bahan upacara seperti beras atau bunga.
Pelita duduk
Pelita duduk pula digunakan sebagai alat pencahayaan dan simbol kesucian dalam ruang upacara. Pelita ini diletakkan di sekitar tempat mandi atau tempat sembahyang bagi menciptakan suasana sakral dan tenteram. Cahaya pelita dipercayai membawa maksud pencerahan, perlindungan daripada roh-roh jahat, dan panduan spiritual dalam kehidupan baharu gadis tersebut.
Pelaksanaan Adat Sadanggu terdiri daripada beberapa peringkat penting yang dijalankan secara teratur dan penuh simbolik iaitu bermula dari fasa penyucian diri hingga kepada pengiktirafan sosial bahawa seorang gadis telah mencapai usia kedewasaan. Setiap fasa mengandungi susunan ritual tersendiri dan dijalankan dalam persekitaran keluarga serta komuniti yang rapat. Berikut adalah tatacara pelaksanaan adat Sadanggu.
Peringkat pertama: Upacara mandi restu
Upacara ini dilakukan pada awal pagi ketika matahari sedang terbit. Tujuan utama upacara ini adalah untuk membuang segala bentuk kekotoran rohani, bala dan gangguan halus yang dipercayai melekat pada gadis tersebut setelah kedatangan haid pertama. Sebelum dimandikan, muka dan tangan gadis disapukan dengan serbuk cendana sebagai simbol penyucian dan penyejukan jiwa.
Air mandian terdiri daripada air kunyit, air mawar dan tujuh jenis bunga pilihan. Proses mandi dilakukan oleh Mama (bapa saudara) dan Ateh (mak saudara) dalam bilangan ganjil iaitu lima, tujuh atau sembilan orang. Air mandian akan dituangkan secara bergilir ke atas bahu kanan, bahu kiri dan seterusnya kepala sebanyak tiga kali menggunakan cumbu. Gadis akan mengenakan baju kurung putih Teluk Belanga serta sanggul rambut sepanjang upacara ini. Setelah selesai, pakaian tersebut akan dibuang sebagai simbolik pembuangan segala unsur negatif.
Peringkat kedua: Jamuan kuih tradisional
Pada peringkat ini, gadis tersebut dijamu dengan putu piring kosong iaitu kuih tradisi masyarakat Chetti. Jamuan ini melambangkan penghargaan dan penghormatan terhadap proses peralihan yang baru dilaluinya.
Peringkat ketiga: Upacara Sadanggu
Gadis sunti akan dihias seperti pengantin dengan sanggul rapi, bunga di sanggul, rantai, gelang dan duduk di atas bangku berhias yang dialas dengan kain dan padi. Peralatan untuk upacara memusing turut disediakan oleh ahli keluarga seperti dulang berisi nasi, air, tahi lembu kering, pelita, padi, putu piring, roti dan anak batu giling. Selain itu, saudara-mara dari pihak bapa dan ibu akan membawa hantaran berupa sari, alat solek, gelang, bunga malai, sikat, cermin, kunyit dan buah-buahan. Semua pemberian ini merupakan simbol sokongan dan restu keluarga kepada si gadis dalam menjalani kehidupan sebagai wanita dewasa.
Peringkat keempat: Bacaan Mantera Penyucian
Proses ini akan diketuai oleh Pandaram iaitu tokoh keagamaan atau ritualis yang bertanggungjawab menyempurnakan bacaan suci. Dalam proses ini, digunakan dulang yang mengandungi air mawar, kumkuma dan santanam, serta bahan tambahan seperti pelita, air cumbu, rumput, cupak, sirih yang dicucuk lidi, lima keping roti, nasi, batu giling dan lima keping putu. Ritual memusing akan dimulakan oleh Mama dan Ateh. Kemudian, upacara inni diikuti oleh para hadirin. Memusing dilakukan sebanyak lima pusingan – tiga kali di hadapan dan dua kali di belakang gadis. Selepas itu, tiga orang wanita dewasa akan menjalankan tugas memasang alatan untuk memusing seperti air kapur dengan kunyit, alas sirih, dan sudem serta meletakkan pottu (tanda) di dahi gadis. Air yang digunakan akan dibuang keluar sebagai simbol pembuangan unsur tidak baik.
Peringkat kelima: Penyerahan Hantaran
Setelah upacara memusing selesai, hantaran diserahkan secara rasmi kepada si gadis. Sari yang dihadiahkan mesti dipakai oleh gadis, dan jika diberikan lebih dari satu (misalnya lima), maka dia perlu bertukar sari mengikut jumlah yang diterima. Bunga malai akan dipakaikan secara bersilang oleh bapa dan ibu saudara sebagai penanda bahawa gadis tersebut belum berkahwin.
Peringkat keenam: Jamuan
Akhir sekali, upacara ditutup dengan jamuan tradisional yang dihadiri oleh ahli keluarga dan tetamu. Antara sajian yang dihidangkan termasuk pulut tekan, seri kaya, tepung komak, putu, serta lauk tradisional seperti pindang ikan, sambal timun, dan sambal telur. Hidangan ini bukan sekadar meraikan si gadis, tetapi turut melambangkan kesyukuran dan keberkatan atas kelangsungan adat warisan yang masih kekal diamalkan dalam komuniti Chetti sehingga hari ini.
Tanapakiam A/P Ratnasamy (Tokoh 1)
Punisha A/P Arunaghiri Pathair ( Tokoh 2)
Sumber Rujukan
Bahan Bacaan
Dhoraisingam, S. S. (2006). Peranakan Indians of Singapore and Melaka: Indian Babas and Nonyas - Chitty Melaka. http://ci.nii.ac.jp/ncid/BA75919650
Moorthy, R. (2020). The evolution of the chitty community of Melaka. Jebat: Malaysian Journal of History, Politics & Strategic Studies, 36. https://ejournals.ukm.my/jebat/article/download/42235/10979
Moorthy, R. (2021). Hybridity and ethnic invisibility of the “Chitty” heritage community of Melaka. Heritage, 4(2), 554–566. https://doi.org/10.3390/heritage4020033
Raghavan, R. (1977). Ethno-racial marginality in West Malaysia: The case of the Peranakan Hindu Melaka or Malaccan Chitty community. Journal of the Humanities and Social Sciences of Southeast Asia, 133(4), 438–458. https://doi.org/10.1163/22134379-90002605
Shukri, S. H. B. M. (2022). Ritual Dalam Adat Sedanggu Bagi Meraikan Fasa Peralihan Hidup Anak Perempuan Dalam Masyarakat Chitti Di Perkampungan Chitti, Melaka (Tesis Doktor Falsafah).
Tokoh (jika ada temu bual tokoh)
Tanapakiam A/P Ratnasamy. (2024). Tokoh Adat Masyarakat Chetti. Temubual pada 8 September 2024.
Punisha A/P Arunaghiri Pathair. (2024). Pewaris Adat Masyarakat Chetti. Temubual pada 8 September 2024.
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Nur Al-Farani binti Rosli
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Melaka
Kompleks JKKN Melaka
Hang Tuah Jaya, Lebuh Ayer Keroh,
75450 MELAKA
06 - 763 6308
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!