Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
TARIAN ‘BERASIK’ DALAM PERUBATAN TRADISI ETNIK BISAYA
Seni Persembahan >Tarian
Gambar
6
Video
ada
Pelawat Hari ini
9
Jumlah Pelawat
96
Pengenalan dan sejarah
Tarian ‘Berasik’ merupakan sebahagian daripada perubatan tradisional masyarakat
Bisaya di Beaufort, Sabah. Ia adalah sebuah ritual yang digunakan untuk
menghalau gangguan makhluk halus yang dipercayai menyebabkan penyakit atau
gangguan kepada individu. Upacara ini diketuai oleh seorang bomoh yang dikenali
sebagai babalian, yang memainkan peranan penting dalam ritual penyembuhan.
Tarian ini bukan sekadar gerakan fizikal tetapi juga melibatkan bacaan mantera
serta penggunaan alat muzik dan peralatan khusus untuk memanggil semangat
serta mengembalikan keseimbangan rohani pesakit.
Masyarakat Bisaya percaya bahawa penyakit tertentu berpunca daripada
gangguan roh orang mati atau makhluk halus yang dikenali sebagai mitogom. Oleh
itu, tarian Berasik bukan sekadar persembahan budaya, tetapi juga memiliki unsur
spiritual yang mendalam, di mana babalian berinteraksi dengan alam ghaib dalam
usaha menyembuhkan pesakit. Lazimnya, pelaku ritual tersebut akan bergerak
dengan cara berputaran atau mengelilingi tugu “Sokuban”, iaitu sejenis tugu tinggi yang digantung dari tiang atap rumah hingga ke lantai. Sokuban ini dihias dengan
dedaunan yang diambil dari kawasan perkuburan, pelbagai jenis bunga seperti
bunga kertas, cempaka, dan melur, serta mayang pinang. Elemen hiasan ini
dipercayai sebagai tempat semangat roh bergantung atau berpaut. Sehubungan
itu, ketika upacara dimulakan, para penari akan menarikan tarian Berasik secara
berputar mengelilingi Sokuban, sebagai satu bentuk pemujaan terhadap semangat
roh berkenaan.
Secara tradisional, tarian Berasik memainkan peranan penting dalam menangani
gangguan makhluk halus. Ia dipercayai mampu mengusir roh jahat yang
mengganggu pesakit, sekaligus membantu memulihkan semangat dan
keseimbangan rohani individu yang terkena gangguan. Selain itu, tarian ini juga
berperanan dalam menjalin perjanjian dengan entiti ghaib, memandangkan dalam
kepercayaan masyarakat Bisaya, menjaga hubungan baik dengan dunia roh
adalah penting untuk mengelakkan sebarang gangguan yang boleh membawa
musibah. Lebih daripada sekadar ritual perubatan, Tarian Berasik turut
mencerminkan warisan seni persembahan masyarakat Bisaya yang diwarisi turun-
temurun. Ia menjadi simbol identiti budaya dan kepercayaan tradisional yang
masih dihormati dan dihayati oleh generasi masa kini.
Busana penari tarian Berasik lazimnya menggunakan pakaian tradisional masyarakat etnik Bisaya yang terdiri daripada baju berwarna hitam dengan hiasan
les berwarna emas serta manik-manik berjuntai. Baju ini akan dipadankan dengan
kain sarung panjang (skirt) untuk penari wanita dan seluar panjang untuk penari
lelaki. Kebiasaanya, penari lelaki akan dipakaikan dengan ‘Salindang Songkit’ iatu
samping dari material kain songket. Busana ini turut dilengkapkan dengan
pemakaian ‘Sawit’ iaitu kain selempang berwarna merah yang dilapisi aluminium
berbentuk bulat seakan-akan kepingan syiling perak. Sawit ini dipakaikan secara
bersilang pada bahu setiap penari. Namun begitu, keunikan busana tarian ini
adalah pada ragam hias aksesorinya yang sarat dan kompleks kerana, penari
wanita sahaja mempunyai lebih kurang 12 jenis perhiasan dan lelaki pula
mempunyai tujuh (7) jenis.
Bagi aksesori kepala, penari wanita akan dipakaikan dengan ‘Pisanggul’ iaitu
gandik kepala dengan juntaian manik atau bunga kecil pada setiap hujung bucu
gandik tersebut sehingga ke paras belakang dada. Bersama-sama Pisanggul akan
diletakkan ‘Kubamban’ iaitu sejenis hiasan bunga-bungaan yang disusun mengikut
bentuk atas kepala penari. Untuk penari lelaki, hiasan kepala hanya menggunakan
‘Tajuk’ iaitu tanjak yang diperbuat daripada kain songket. Selain itu, setiap penari
(lelaki dan wanita) wajib dipakaikan hiasan dahi yang dinamakan ‘Sarabang’ iaitu
perhiasan yang diperbuat daripada perak dan dipasang mengikut bentuk
kedua-dua belah kening dengan memaparkan corak ukiran bintang.
Pada bahagian leher pula, setiap penari juga akan dipakaikan dengan kalungan
rantai yang dikenali sebagai ‘Kotol’. Kemudian perhiasan tangan pula dikenali
sebagai ‘Golong Longon’ iaitu gelang yang diperbuat daripada perak atau
kepingan aluminium berukir dengan cetakan motif bunga. Akhir sekali adalah
pemakaian aksesori pinggang penari yang dikenali sebagai ‘Aut’ iaitu tali pinggang
besi bewarna emas untuk lelaki dan tali pinggang perak berbentuk bulat untuk
penari wanita. Selain itu, semua penari lelaki dan wanita akan membawa props
sapu tangan yang berwarna-warna terdiri daripada warna hijau, merah dan
kuning.
Alat Muzik
Irama atau muzik yang mengiringi persembahan tarian ini dikenali sebagai “rentak
Berasik,” dan dimainkan menggunakan ensembel instrumen tradisional yang terdiri daripada gong, kulintangan, dan gendang. Set gong yang digunakan merangkumi
lima jenis, iaitu gong “Maginsarok,” gong “Mangilambat,” gong “Managongo,”
Canang 1, serta Canang 2. Sementara itu, instrumen kulintangan terdiri daripada
lapan hingga sepuluh unit anak kulintangan, diiringi pula oleh paluan kompang
yang diketuk menggunakan dua kayu pemukul yang dikenali sebagai “Tabuh” atau
“Baloh”. Kebiasaannya, pengendali alat muzik ini ialah golongan lelaki yang
disebut sebagai kumpulan “Bagandang” khususnya dalam kalangan belia.
Peralatan Ritual
1. Sangkuban
Struktur dihiasi bunga-bungaan dan daun kelapa sebagai tempat
persembahan kepada makhluk halus.
2. Hidangan Ritual
Beras kuning, semangkuk air, telur, halia merah, ketupat, sirih dan pinang.
3. Biduk
Perahu kecil yang melambangkan perjalanan spiritual makhluk halus
Tarian ini dipersembahkan secara berpasangan antara penari lelaki dan wanita, dengan jumlah pasangan biasanya antara empat (4) hingga lapan (8) pasangan.
Pergerakan asas tarian ini menekankan gerakan tangan yang melambai-lambai,
menyerupai pergerakan burung Simpapataan (dikenali sebagai burung murai),
yang dilaksanakan dalam formasi pola lantai berbentuk bulatan. Dalam
membentuk formasi ini, terdapat tujuh (7) variasi gerakan tarian Berasik yang
digunakan.
Variasi pertama, Tangan Melambai, melibatkan pergerakan melambaikan tangan
secara lembut sambil memegang sapu tangan yang diangkat sehingga paras
pinggang. Variasi kedua, Silat Gayung, memperlihatkan pergerakan silat yang
tangkas dengan posisi tubuh bergerak ke samping kanan dan kiri. Seterusnya,
Insud-Insud merujuk kepada gerakan menyeret kaki secara bergantian ke samping
kiri atau kanan, dengan tapak kaki diseret dalam bentuk bukaan "V", iaitu tumit
kaki bertemu manakala bahagian hujung ibu jari dijarakkan sejengkal. Variasi
keempat, Itik Berenang Maju, menampilkan gerakan menyamping ke kanan sambil
kedua-dua tangan diletakkan ke sisi bahagian kiri pada paras pinggang.
Variasi kelima, Itik Berenang Mundur, pula melibatkan gerakan menyamping ke kiri
dengan tangan berada di sisi bahagian kanan separas pinggang. Seterusnya,
Liput-Liput merujuk kepada pergerakan pusingan setempat dengan langkah-
langkah kecil ke hadapan dan ke belakang. Akhir sekali, Gakud Manukad
memperlihatkan postur tubuh menunduk sambil kaki disilangkan dalam bukaan
satu atau dua kaki lebar, di mana sekiranya kaki kanan berada di hadapan, kaki
kiri akan disilangkan ke belakang, dan sebaliknya. Kesemua ragam asas yang
dinyatakan ini menjadi asas kepada pergerakan tarian, namun dalam
perkembangan kontemporari, pelbagai variasi gerak dan pengolahan baharu turut
diperkenalkan bagi menjadikan persembahan ini lebih menarik serta relevan untuk
tatapan umum.
Nama Informan: Tuan Hj Piting b. Abus
b) Alamat (Isi yang berkaitan): Laman Seni, Tuan Jamil bin Mijin, Kg Tarat
Padas Damit, 89800 Beaufort, Sabah
Sumber Rujukan
Bahan Bacaan
Misdih, M. (2013). Budaya Tari Bubu Mengalai–Media Konvensional dan
Pembentukan Tari Masyarakat Bisaya di Beaufort, Sabah. International
Journal of Creative Future and Heritage (TENIAT), 1(1), 167-175.
Misdih, M. (2017). Gerak Tari Dalam Perubatan Tradisi Barasik Masyarakat
Bisaya di Beaufort, Sabah. Jurnal Gendang Alam (GA), 7.
https://doi.org/10.51200/ga.v7i.1055
Misdih, M. (2019). Interpretasi Bahasa Mantera Upacara Barasik
Masyarakat Bisaya di Beaufort, Sabah: Interpretation of Bisaya Mantera in
The Barasik Ceremony at Beaufort, Sabah. Jurnal Gendang Alam (GA), 9.
https://doi.org/10.51200/ga.v9i.2140
Mukam, N. A., & Jusilin, H. (2019). Representasi Budaya Dalam Rekaan
Bentuk Busana Perkahwinan Masyarakat Bisaya Di Beaufort, Sabah: The
Representation of Culture in the Design of Wedding Costume for Bisaya
Community in Beaufort, Sabah. Jurnal Gendang Alam (GA), 9.
https://doi.org/10.51200/ga.v9i.2139\
Siti Aidah Lukin. (2012).Bisaya. In Kntayya Mariappan & Paul Porodong
(Eds). Siri Etnik Sabah ITBM-UMS: Murut & Pelbagai Etnik Kecil di Sabah.
Institut Terjemahan dan Buku Malaysia. Kuala Lumpur.
Tokoh (jika ada temu bual tokoh)
Tuan Hj Piting b. Abus. Laman Seni, Tuan Jamil bin Mijin, Kg Tarat Padas
Damit, 89800 Beaufort, Sabah.
Tuan Jamil bin Mijin. Laman Seni, Tuan Jamil bin Mijin, Kg Tarat Padas
Damit, 89800 Beaufort, Sabah.
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Encik Hassanal Redzuan
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah
Kompleks JKKN Sabah,
Jalan Tasik off KM4 Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu
SABAH
088-205070
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!