TARIAN PIRING LAMBUNG

Seni Persembahan >Tarian

Gambar

12

Video

ada

Pelawat Hari ini

22

Jumlah Pelawat

49

Pengenalan dan sejarah

​Tarian Piring Lambung merupakan satu bentuk tarian tradisional yang berakar umbi dalam budaya masyarakat Negeri Sembilan, Malaysia. Tarian ini adalah hasil adaptasi dan inovasi daripada Tari Piring iaitu sebuah tarian tradisional Minangkabau dari Sumatera Barat, Indonesia. Perkembangan variasi tarian ini sangat berhubung kait dengan penghijrahan masyarakat Minangkabau ke Negeri Sembilan sejak abad ke-14 dan telah membawa bersama mereka pelbagai warisan budaya, termasuk seni tarian yang unik ini. ​


Dalam konteks asalnya, Tari Piring digunakan sebagai ritual untuk mengucapkan syukur kepada dewa-dewa selepas musim menuai yang berjaya. Gerakan tarian yang dinamik dan penuh semangat mencerminkan kegembiraan dan rasa syukur para petani. Di Negeri Sembilan, tarian ini telah disesuaikan dengan budaya tempatan dan sering dipersembahkan dalam majlis perkahwinan serta acara adat lain yang melambangkan kegembiraan dan keberkatan. ​


Pada tahun 2012, Tarian Piring Lambung telah diberi nafas baru dengan penambahan elemen-elemen kontemporari, sekali gus menjadikannya lebih relevan dan menarik bagi generasi masa kini. Gerakan tarian ini melambangkan kehidupan masyarakat Negeri Sembilan yang menekankan nilai-nilai seperti kerjasama, tolong-menolong, dan kesepakatan. Lambungan piring dalam tarian ini khususnya melambangkan kesatuan hati dan semangat bekerjasama, di mana penari perlu mempunyai koordinasi dan persefahaman yang tinggi agar piring yang dilambung tidak jatuh. ​

Setelah itu, pengiktirafan terhadap Tarian Piring Lambung sebagai Warisan Kebangsaan oleh Jabatan Warisan Negara pada tahun 2015 menegaskan kepentingan tarian ini dalam memelihara identiti budaya dan warisan seni masyarakat Negeri Sembilan. Usaha ini memastikan kelangsungan dan penghargaan terhadap seni tradisional yang kaya dengan nilai dan simbolisme budaya. ​

Fungsi dan Peranan

Tarian Piring Lambung memiliki pelbagai fungsi penting dalam masyarakat Negeri Sembilan merangkumi aspek adat, simbolisme budaya, dan pemeliharaan warisan. Pada asalnya, tarian ini merupakan simbol kesyukuran yang berakar daripada amalan masyarakat Minangkabau dengan mempersembahkan tarian piring sebagai tanda penghargaan terhadap hasil tuaian yang melimpah. Namun begitu, dalam konteks budaya Negeri Sembilan, tarian ini diterjemahkan sebagai satu bentuk ekspresi rasa syukur dan kegembiraan, khususnya dalam majlis-majlis keraian dan upacara penting.


Selain itu, Tarian Piring Lambung juga berperanan sebagai pelengkap adat perkahwinan. Ia lazim dipersembahkan untuk meraikan pengantin dan tetamu sebagai tanda penghormatan dan restu kepada pasangan yang mendirikan rumah tangga. Persembahan ini sering kali menjadi kemuncak majlis dan menyemarakkan suasana dengan irama muzik tradisional serta gerak tari yang bersemangat. Di samping itu, ia juga berfungsi sebagai hiburan tradisional yang memperlihatkan warisan seni tari tempatan kepada khalayak, termasuk generasi muda dan  pelancong dari luar.


Tarian ini turut menjadi simbol ketangkasan dan kemahiran di mana gerakan lambungan piring yang dilakukan dengan penuh koordinasi antara pasangan penari menggambarkan keharmonian, persefahaman dan semangat kerjasama kerana ini adalah nilai-nilai yang sangat dihargai dalam masyarakat Negeri Sembilan. Sehubungan dengan itu, ketangkasan penari dalam mengimbangkan dan melambung piring tanpa menjatuhkannya mencerminkan kepakaran dan latihan yang tinggi.


Lebih penting lagi, Tarian Piring Lambung memainkan peranan besar dalam usaha pemeliharaan dan kesinambungan warisan budaya. Sebagai adaptasi kreatif daripada Tarian Piring asal Minangkabau, versi “lambung” ini diangkat sebagai identiti kebudayaan Negeri Sembilan bagi membezakannya daripada versi Indonesia. Pengiktirafan tarian ini sebagai Warisan Kebangsaan oleh Jabatan Warisan Negara pada tahun 2015 menjadi bukti betapa pentingnya peranan tarian ini dalam memelihara identiti dan nilai tradisi masyarakat setempat.



Busana/ Aksesori

Busana dan aksesori yang digunakan dalam Tarian Piring Lambung memperlihatkan gabungan unsur tradisional Minangkabau dan gaya kontemporari masyarakat Melayu Negeri Sembilan. Pemilihan pakaian dan hiasan bukan sahaja bertujuan memperindah persembahan, tetapi juga mengekalkan nilai simbolik dan identiti warisan budaya tempatan.


Bagi penari wanita, mereka lazimnya mengenakan baju kurung atau kebaya labuh yang menampilkan elemen kesopanan, kelembutan, dan kehalusan budaya masyarakat Melayu di Negeri Sembilan. Pakaian ini dihiasi dengan sulaman motif tradisional untuk menambah unsur keanggunan dan warisan. Kain bawah pula terdiri daripada songket atau sarung tenun berwarna-warni yang memperlihatkan corak tradisional Melayu dan Minangkabau. Namun begitu, kadangkala ada penari wanita yang menggunakan seluar untuk memudahkan pergerakan tarian. 


Sementara itu,  busana ini sering digayakan bersama selendang atau samping yang dikenakan di pinggang atau bahu, berfungsi memperindah gerakan tarian dan memberikan kesan dinamik ketika penari beraksi. Rambut penari wanita digayakan dengan sanggul yang turut dihiasi dengan bunga tradisional atau cucuk sanggul sebagai pelengkap busana tradisional. Aksesori tambahan seperti gelang tangan, subang dan rantai turut digunakan untuk menyerlahkan gaya keanggunan klasik.


Bagi penari lelaki, mereka mengenakan baju Melayu Teluk Belanga yang telah diolah mengikut elemen kostum tradisi baju Randai, namun dipadankan dengan potongan moden. Baju ini lazimnya berlengan pendek bagi memberikan lebih keselesaan dan fleksibiliti semasa bergerak. Bahagian bawah pula dipadankan dengan seluar tiga suku, menggambarkan kehidupan petani di Negeri Sembilan dan sesuai dengan asal-usul tarian ini yang berkaitan rapat dengan kegiatan agraria. Penari lelaki turut mengenakan kain samping atau kain songket yang diikat di pinggang, disertai dengan selempang atau tali pinggang hiasan. Sebagai simbol kebanggaan Melayu, mereka juga memakai tengkolok atau tanjak, khususnya Tanjak Silang Bertindih, yang memberikan identiti unik dan menggambarkan status persembahan rasmi dalam konteks budaya.


Kedua-dua penari lelaki dan wanita memegang piring di kedua-dua tangan, yang menjadi elemen paling penting dalam tarian ini. Piring bukan sahaja alat persembahan, tetapi juga simbol keseimbangan, ketepatan, dan kesepakatan – aspek yang mencerminkan falsafah hidup masyarakat Negeri Sembilan yang menekankan kerjasama dan persefahaman.

Peralatan/ Bahan-Bahan

Elemen terpenting dalam tarian ini ialah piring berwarna putih yang dipegang oleh penari di kedua-dua tangan sepanjang persembahan. Piring ini bukan sahaja berfungsi sebagai alat tarian, tetapi juga melambangkan ketangkasan dan kemahiran penari dalam mengendalikannya tanpa terjatuh. ​


Manakala untuk alat muzik yang mengiringi Persembahan Tarian Piring Lambung terdiri daripada:


Rebana

Alat perkusi utama yang mengawal tempo dan mengiringi gerakan penari. ​


Gong

Memberikan panduan irama kepada penari, memastikan keselarasan antara muzik dan gerakan tari. ​



Caklempong
Alat muzik tradisional yang digunakan dalam beberapa persembahan untuk menambah keunikan bunyi dan melodi. ​

Saluang
Sejenis seruling tradisional Minangkabau yang kadangkala ditambah untuk memperkayakan lapisan muzik dan memberikan nuansa melodi yang lembut. 
Namun begitu, sesetengah persembahan tarian Piring Lambung juga turut diiringi dengan beberapa alat muzik yang lain seperti Akordion, Gitar Elektrik ataupun gitar bagi menambahkan nuasai melodi yang bervariasi mengikut konteks persembahan kontemporari masa kini.


Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Tarian ini lazimnya dipersembahkan oleh penari dalam bilangan ganjil, antara tiga hingga tujuh orang ataupun lebih daripada jumlah tersebut. Hal ini kerana, Jumlah ganjil dipercayai membawa keseimbangan dan estetika dalam formasi tarian.  Penari perlu menguasai gerakan yang dinamik dan lincah, termasuk teknik mengayun piring di kedua-dua tangan tanpa menjatuhkannya.


Dari segi pelaksanaan, persembahan Tarian Piring Lambung dimulakan  dengan kemasukan penari secara beriringan ke atas pentas. Penari membawa piring di kedua-dua tangan dan membentuk formasi tertentu, sama ada dalam barisan atau bentuk bulatan, mengikut koreografi yang telah dirancang. Gerakan utama tarian melibatkan hayunan piring yang lincah dan ritma hentakan kaki yang seiring dengan muzik iringan persembahan. Dalam sesetengah versi, penari turut mendentingkan piring menggunakan cincin yang dipakai di jari mereka, menambahkan elemen bunyi yang unik dan menarik dalam persembahan.


Persembahan ini diiringi oleh muzik tradisional yang dimainkan dengan alat seperti rebana, gong, caklempong, dan kadangkala saluang, yang memberikan suasana yang hidup dan bersemangat. Irama muzik biasanya dimulakan dengan tempo perlahan dan secara beransur-ansur meningkat mengikut intensiti tarian, mencipta naratif emosional yang memuncak bersama gerakan fizikal penari.


Bahagian penutup tarian ini amat unik. Persembahan mencapai kemuncaknya apabila penari meletakkan piring ke lantai dan menari di atasnya – satu aksi yang memperlihatkan tahap kecekapan dan keberanian tinggi. Persembahan kemudiannya diakhiri dengan ‘sembah penutup’ sebagai tanda penghormatan kepada penonton atau pasangan pengantin, mengakhiri persembahan dengan nuansa adat yang sopan dan berbudaya. Secara keseuluruhannya, tarian ini mempunyai tujuh ragam gerak yang terdiri daripada;


Gerak Ayun Piring

Gerakan ini dilakukan dengan mengayun piring ke kiri dan kanan secara serentak mengikut rentak muzik. Ia melambangkan keserasian dan semangat kerjasama antara penari, khususnya apabila persembahan dilakukan secara berpasangan.


Gerak Lambungan Serentak

Dalam ragam ini, penari akan melambung piring ke udara dan menangkapnya kembali secara serentak dengan pasangannya. Gerak ini bukan sahaja menguji ketepatan dan kemahiran, tetapi juga melambangkan kesepaduan dan keharmonian antara pasangan penari. Kegagalan dalam gerakan ini boleh mencacatkan keseluruhan persembahan, justeru memerlukan latihan intensif.


Gerak Hentakan Kaki

Setiap hentakan kaki dilakukan mengikut tempo muzik yang semakin meningkat. Hentakan ini bukan sekadar ritma, tetapi melambangkan semangat dan tenaga dalam menzahirkan rasa syukur dan kegembiraan. Ia turut membangkitkan suasana dinamik dalam persembahan.


Gerak Berpusing

Penari akan melakukan pusingan secara individu atau berkumpulan sambil mengayun piring dengan berhati-hati. Pusingan ini dilakukan dengan kemas dan penuh konsentrasi agar piring tidak terjatuh. Gerak ini mencerminkan elemen putaran hidup yang dinamik, fleksibel dan sentiasa berubah.


Gerak Duduk dan Berdiri Semula (Bersilang)

Gerakan ini menuntut ketangkasan tubuh badan apabila penari perlu duduk sambil tetap mengimbangi piring di tangan, sebelum bangkit dengan gerakan mantap dan bertenaga. Ia menzahirkan makna kecekalan dalam menghadapi rintangan dan semangat untuk bangkit semula.


Gerak ‘Menari Atas Piring’

Dalam segmen kemuncak tarian, penari meletakkan piring di lantai dan menari di atasnya. Ini bukan sahaja menguji keberanian dan ketangkasan, tetapi juga dianggap sebagai simbol penutup yang menggambarkan pencapaian dan rasa syukur yang mendalam.


Gerak Sembah Penutup

Sebagai penutup persembahan, penari melakukan gerakan 'sembah', iaitu meletakkan kedua-dua tangan di hadapan dada sambil menundukkan badan ke arah penonton atau tetamu kehormat. Gerakan ini membawa maksud penghormatan dan rasa terima kasih, serta mencerminkan adab sopan masyarakat Melayu yang menutup setiap persembahan dengan penuh tata susila dan nilai budaya.








Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

Bahan Bacaan

Amirudin, M. F. (2024). Koreografi Kontemporari yang Berunsurkan Elemen Tradisi: Tari Piring sebagai Titik Permulaan Penciptaan Contemporary Choreography Incorporating Elements of Tradition: Tari Piring as a Starting Point of Creation. Jurai Sembah, 5(1), 15-22.


Collins, M. (2002). Bongai in Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan. Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, 75(1 (282), 91-114.


Indrayuda, I. (2013). Popularitas Tari Piring sebagai Identitas Budaya Minangkabau. Panggung, 23(3), 298395.


Nor, M. A. M., & Burridge, S. (Eds.). (2020). Sharing identities: Celebrating dance in Malaysia. Taylor & Francis.


Zakaria, A., & Berawi, M. M. (2017). Busana Tradisional Negeri Sembilan (UUM Press). UUM Press.

Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Rosdianah binti Roman

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan
Kompleks JKKN Negeri Sembilan Jalan Sungai Ujong 70200 Seremban NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS

06-767 6793/763 6308 / 761 0593

Kembali Ke Atas