Awang Batil ialah gelaran penglipur lara di negeri Perlis. Lipur lara merupakan sejenis seni tradisi lisan dan menariknya, Awang Batil hanya terdapat di negeri Perlis. Pada mulanya lipur lara ini dikenali dengan nama ‘Awang Belanga’ kerana menggunakan belanga sebagai muzik iringannya. Sungguhpun demikian, disebabkan bahagian belakang belanga dipenuhi arang, maka penglipur lara telah menggantikan belanga dengan batil, iaitu bekas air yang diperbuat daripada tembaga. Bunyi tembaga juga lebih mersik berbanding belanga. Semenjak itulah penglipur lara ini dipanggil ‘Awang Batil’.
Dahulunya, Awang Batil mengembara dari sebuah kampung ke sebuah kampung dan dari sebuah rumah ke sebuah rumah, terutama di rumah yang mengadakan kenduri perkahwinan, untuk mempersembahkan cerita- ceritanya. Kebiasaannya, Awang Batil membuat persembahan di pondok kecil yang tingginya tiga hingga empat meter. Penonton pula duduk mengelilingi pondok tersebut untuk mengikuti ceritanya. Demikianlah cara berhibur masyarakat Melayu sejak zaman-berzaman sebelum kewujudan teknologi. Awang Batil memusakai banyak cerita rakyat. Ada kisah dalam cerita rakyat yang bersiri-siri dan bersambung-sambung. Lazimnya, orang kampung akan mendengar cerita-cerita tersebut sehingga berlanjutan ke beberapa malam. Elemen jenaka diselitkan dalam penceritaannya sambil memukul batil menggunakan jari-jemari. Pada babak tertentu, Awang Batil memakai dua topeng secara bergilir-gilir bagi menceritakan watak 'Hulubalang' atau 'Ahli Nujum'. Topeng diperbuat daripada kayu yang biasanya dicat merah dan putih. Watak 'hulubalang' dan 'wak nujum' yang ditampilkan oleh Awang Batil secara solo dalam bentuk penyamaran dengan mengenakan topeng kayu berwarna merah sambil memukul alat muzik inilah yang menjadi ciri unik dalam persembahan Awang Batil ini. Persembahan Awang Batil kemudiannya mula berkembang dengan alat-alat muzik lain antaranya biola, serunai, rebana dan gendang terinai.
Sebelum memulakan sesebuah persembahan cerita, Awang Batil terlebih dahulu menjalankan upacara tradisi iaitu memenuhkan air dalam batil kemudian menyapu ke kepala dan mukanya. Dia menyuap pinang tiga piak, kemenyan diasapkan dan batil diriba lalu bermulalah persembahan Awang Batil. Upacara ini memakan masa kira-kira setengah jam. Adat ini disebut sebagai bertabik atau memberi salam kepada tuan rumah, kepada gurunya dan meminta dijauhkan daripada mara bahaya.
Hei! Riuh rendah gegak gempita,
Inilah hamba nak mula cerita,
Demikianlah permulaan sesebuah cerita Awang Batil. Antara kisah yang selalu disampaikan pula ialah Raja Dewa Lok, Raja Bersiung, Raja Berdarah Putih, Anak Lang Pak Belang, Cerita Angan-angan, Jabat Jabit, Abu Nawas dan Awang Ada Duit Semua Jadi. Kaedah penceritaan Awang Batil kemudiannya berkembang menggunakan alat muzik biola, gendang dan serunai, supaya penceritaan lebih menarik.
Sayangnya hari ini, seni lipur lara Awang Batil yang menjadi sebahagian tinggalan sastera lisan semakin diancam kepupusan. Ketika ini, hanya seorang Awang Batil masih kekal bertahan, iaitu Ramli Mahmud yang mewarisi seni itu daripada bapanya, Allahyarham Mahmud Wahid (1903-1992). Keluarga ini berasal dari Kampung Pokok Sena, Chuping, Perlis. Menurut Encik Ramli, seseorang yang ingin mewarisi cerita-cerita Awang Batil hendaklah menyediakan sirih pinang, sintuk, rokok tembakau dan kemenyan serta wang pengeras kepada gurunya.
● Kebijaksanaan lokal dari segi alatan sehari-harian yang dijadikan alat muzik.
● Sastera lisan yang tinggi nilai didaktik
● Wadah hiburan dan pengajaran
● Menyatukan masyarakat masa lampau
● Topeng kayu berwarna merah putih
Batil
- Biola
- Gendang
- Serunai
Upacara bertabik iaitu memberi salam atau hormat kepada sekeliling dilakukan, batil diketuk lalu bermulalah cerita-cerita daripada Awang Batil.
Kini, di usia emasnya, Encik Ramli diiktiraf sebagai “Orang Warisan” oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan beliau turut mengakui bahawa beliau sangat terkesan jika seni Awang Batil ini pupus. Marilah kita bersama-sama melestarikan warisan budaya tradisional kita supaya seni warisan yang unik ini tidak akan pupus ditelan zaman. Antara anugerah atau pencapaian yang dimiliki:
1) Tokoh Orang Hidup Warisan Kebangsaan 2015
2) Anugerah Malam Produksi Budaya Tradisi Negeri Perlis 1983
3) Anugerah Penggiat Seni Negeri Perlis 2002 (Kategori Muzik Terinai)
4) Anugerah Tokoh Seni Budaya Negeri Perlis 2012
5) Anugerah Tokoh Cendana Budi 2015
https://geopark.perlis.gov.my/tour-item/awang-batil/
https://pemetaanbudaya.jkkn.gov.my/senibudaya/detail/749/pengenalan
https://www.pusaka.org/communities-awang-batil
2016. Ghulam Sarwar Yousof. One Hundred and One Things Malay.
https://www.google.com.my/books/edition/One_Hundred_and_One_Things_Malay/AdZcCwAAQBAJ?hl=en&gbpv=1&dq=one+hundred+and+one+things+malay+ghulam-sarwar+yousof&pg=PT191&printsec=frontcover