ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM KADAZANDUSUN SUKU DUSUN KIMARAGANG: ADAT PERKAHWINAN
Adat Resam

Pengenalan dan sejarah

Dusun Kimaragang merupakan salah satu sub-etnik terbesar dalam rumpun Kadazan Dusun yang mendiami bahagian utara Sabah, Malaysia. Komuniti ini kebanyakannya tinggal di daerah Kota Marudu, Pitas, Beluran, Paitan dan Sandakan. Dusun Kimaragang terkenal dengan budaya agrarianya yang kukuh, khususnya dalam penanaman padi, yang menjadi asas kehidupan ekonomi dan sosial mereka. Selain daripada kehebatan pertanian mereka, adat dan kebudayaan mereka sangat kukuh dan mendasari falsafah kehidupan bermasyarakat mereka. Salah satu adat budaya yang mereka amalkan sehingga ke hari ini adalah adat perkahwinan tradisional mengikut proses dan struktur  amalan yang diwarisi daripada nenek moyang mereka.

Fungsi dan Peranan

-

Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan

-

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Adat perkahwinan Dusun Kimaragang dilaksanakan dengan penuh adat istiadat yang teratur dan melibatkan lima tahap yang dimulai dengan upacara Mongumpai  (Suai jodoh), Palabat (merisik), Mangatod (Meminang), Mikonan (serahan Hantaran), dan Misasawo (pernikahan).


1. Mongumpai  (Suai jodoh)

Mongumpai bermaksud mencari petanda kesesuaian bakal isteri. Lelaki baligh yang bujang bertandang ke rumah perempuan yang ingin dikahwini untuk bermalam. Sebelum tidur lelaki berkenaan Momabar (berniat) kepada Kinoringan (Tuhan) untuk memohon petanda akan kesesuaian jodoh dengan wanita berkenaan. Menurut kepercayaan suku Kimaragang, kebiasaannya lelaki berkenaan didatangi mimpi yang baik atau buruk. Sekiranya tiada mimpi yang berlaku pada sesi Mongumpai, maka lelaki berkenaan boleh membuat keputusan sendiri. Namun kini, adat Mongumpai  jarang dilakukan dan ia tergantung kepada keinginan individu untuk melakukannya.


2. Palabat (Merisik)

Setelah itu, proses awal perkahwinan akan dimulakan dengan ‘Palabat’ atau proses merisik. Nama atau sebutan lain bagi proses merisik ini juga turut dikenali sebagai ‘Lumabat’ atau ‘Sumondot’, di mana seorang wakil pihak lelaki, biasanya jiran atau saudara terdekat, mengunjungi keluarga pihak perempuan untuk bertanya sama ada anak perempuan mereka sudah berpunya atau belum. Dalam kunjungan ini, wakil lelaki membawa buah tangan berupa ikan sebagai tanda penghormatan. Jika anak perempuan tersebut belum berpunya, maka perjanjian akan dibuat untuk melanjutkan proses berikutnya ‘Mangatud dot Soputangan’, yang bermaksud penyampaian niat untuk bertunang (peminangan). 


3. Mangatod Dot Soputangan (Meminang)

Selepas proses Palabat, adat perkahwinan diteruskan dengan proses ‘Mangatud dot Soputangan’, iaitu penyerahan sapu tangan sebagai tanda kesungguhan pihak lelaki untuk melamar. Dalam proses ini, rombongan kecil dari pihak lelaki membawa bungkusan dikenali sebagai ‘Damakan’, berisi sirih, pinang, kapur makan, Sigup  tembakau), ‘Kirai’ (daun tembakau) yang dibungkus dalam sapu tangan, lalu sapu tangan tersebut digantung di bumbung rumah pihak perempuan. Tradisi ini mempunyai simbolik tersendiri, di mana jika sapu tangan itu tidak dikembalikan selepas tiga hari, maka pihak lelaki dianggap tidak bertepuk sebelah tangan, menunjukkan lamaran mereka diterima. Selain itu, beberapa hadiah lain turut disediakan oleh pihak lelaki seperti cincin, set alat solek, dan seekor ayam jantan yang mempunyai bulu ekor panjang mencecah tanah, dikenali sebagai ‘Rundukan Taboi’. Setelah lamaran diterima, perjanjian dibuat untuk melaksanakan proses seterusnya.


4. Mikonan (serahan berian)

Usai proses meminang, adat perkahwinan akan dilanjutkan dengan proses yang paling penting iaitu Mikonan atau disebut juga sebagai ‘Tarang Hantaran’. Proses ini merupakan penentuan hantaran atau berian yang mesti disediakan oleh pihak lelaki sebagai syarat perkahwinan. Dalam perbincangan ini, kedua-dua pihak akan berbincang secara terperinci mengenai jenis dan jumlah hantaran yang diminta oleh pihak perempuan. Berikut adalah senarai berian asas yang lazimnya akan diminta oleh pihak perempuan;

Jadual 1: Tarang Hantaran (Berian) Dusun Kimaragang


Bil.

Berian

Tujuan

1

Wang Berian

Wang yang dipersetujui untuk diberikan kepada pihak perempuan. Wang ini menjadi hak ibubapa sebagai ganti rugi kerana telah membesarkan anak perempuan mereka

2

Belanja Angus

Wang yang dibelanjakan bagi tujuan majlis perkahwinan.

3

Wang Gantung

Wang atau kerbau yang dipersetujui bersama sebagai ‘Pagar’ atau duit pampasan. Dahulunya gantung ditunaikan suami sekiranya menzalimi isteri atau menceraikannya tanpa sebab.

4

Buru

Wang tunai antara RM30-RM50 diberikan suami kepada mertua. ‘Buru’ bermaksud memerdekakan zuriat.

5

Gong

·         Soludon (gong kecil)

·         Botukul (gong saiz sederhana)

·         Tawak (gong besar)

Hantaran barang adat (wajib) perkahwinan Kimaragang

6

Gadur (piala tembaga)

7

Pukotian (Set mangkuk tembaga dan piring tanah liat)

8

Pulanot/Selapa (bekas tembaga)

Berisi ‘Keinggatan’ (sirih) dan ‘Kosigupan’  (rokok tembakau) untuk upacara ‘Mongginggat Om Monigup’ iaitu makan sirih dan menghisap rokok tembakau semasa persandingan.

9

Beras dan Kerbau

Makanan sepanjang majlis perkahwinan

10

Pangadapan om Talaman

Kelengkapan bilik tidur, pelamin dan pakaian pengantin.

11

Sinolung Popogong

Peralatan untuk upacara Monuntung (memukul peralatan gong) semasa persandingan.

12

Sogit Sompusasawo

Seekor khinzir dikorbankan untuk menghalalkan persetubuhan.

13

Sogit Kinogumu

Seekor khinzir dikorbankan untuk memberi kemakmuran kepada penduduk kampung kerana dipercayai percampuran lelaki dan perempuan dalam majlis perkahwinan yang dipercayai panas.

Jika pihak perempuan menghendaki Tinantangap iaitu keperluan hantaran serba satu, pihak lelaki perlu menyediakan semua barang hantaran dalam dua set lengkap. Jika semua permintaan dipersetujui, perkahwinan boleh dilangsungkan seawal keesokan harinya. Namun, jika terdapat permintaan yang tidak dapat dipenuhi, perkahwinan boleh dibatalkan, kecuali terdapat amalan ‘Nababo’, di mana pihak lelaki diberi peluang untuk menyelesaikan tunggakan hantaran dalam tempoh tertentu.

5. Misasawo (Majlis Perkahwinan)
Rombongan pengantin lelaki berarak ke rumah pengantin perempuan dengan membawa bersama peralatan berburu dipanggil ‘Tinipu’ jika ia mahir berburu, untuk diserah kepada keluarga bakal isteri. Kegagalan membawa Tinipu menyebabkan perkahwinan ditunda atau dibatalkan.  Rombongan pengantin lelaki naik ke atas rumah dan seterusnya pengantin lelaki ke pelamin untuk bersanding. Di atas pelaminan pengantin lelaki duduk di kanan pengantin perempuan menghadap tetamu manakala pengantin perempuan duduk bersimpuh ke kiri menghadap dinding.

Setelah itu, upacara ‘Mibulugu’ akan dijalankan di mana pengantin lelaki mencuci tangan kemudian mengambil sedikit nasi, dikepal-kepal bulat tiga kali lalu diberikan kepada pengantin perempuan berserta secubit ikan Turongou sebagai lauk. Pengantin perempuan menyambut makanan itu dengan tangan dan memakannya.  Perlakuan ini dibalas oleh pengantin perempuan. Pengantin lelaki memberi air minum lalu dibalas oleh pengantin perempuan. Kemudian pengantin perempuan berpusing ke kanan perlahan-lahan untuk duduk menghadap hadirin disusuli pengantin lelaki menyelak kerudung (penutup kepala pengantin perempuan).

Kemudian, pengantin lelaki melakukan penyerahan ‘Bingkin Mongolim’ iaitu memberikan pinang berserta sirih yang disapu kapur makan kepada pengantin perempuan sebagai tanda sahnya perkahwinan. Seterusnya, pengantin akan melakukan upacara  ‘Miganti Dotlinumbid Danan’ iaitu pasangan saling bertukar gulungan rokok daun. Barulah pengantin lelaki mengambil gelas berisi Kinomol (arak tradisional), meminum sedikit kemudian diberikan kepada pengantin perempuan yang juga meminumnya.


Foto 1: Permulaan Upacara ‘Mibulugu’
Sumber: Azrul Affandi Sobry, 2018

Pembantu pengantin kemudiannya meletakkan saputangan di atas kepala kedua-dua pengantin. Bobolian (bomoh) menjalankan upacara ‘Mononsob’ iaitu tiga batang kayu api berbara berserta bekas air diangkat ke atas kepala pengantin, dan mencurahkan sedikit air ke atas bara tersebut. Mentera khas dibaca memohon agar perkahwinan itu terhindar daripada perkara-perkara yang buruk. Selepas itu upacara ‘Monuntung Dot Botukul’, dilakukan oleh pengantin lelaki dengan memukul ‘Botukul’ sebanyak tiga kali sebagai simbolik agar zuriat mereka tidak tuli dan tidak bisu. Acara kemuncak ialah ‘Migol Miandak’ (pasangan pengantin menari tarian Pinakang) disusuli pasangan pengapit dan pasangan ibubapa pengantin.

Keluarga terdekat pengantin yang lebih tua kemudian memberi tunjuk cara adab sopan, cara menghormati dan memklumkan nama panggilan keluarga keduanya terutama yang berpangkat mertua. Selesai acara ‘Misusur Dot Koworisan’ ini, keluarga keduanya makan bersama sambil beramah mesra dan berpesta. Biasanya persandingan diadakan lagi di rumah keluarga pengantin lelaki keesokan harinya atau beberapa hari kemudian dalam majlis dipanggil ‘Maganda’.

Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

Hatnin Duari. (2001). Hukum adat perkahwinan dan perceraian dalam masyarakat Kadazandusun suku Kimaragang Sabah: kajian kes di Kampung Tandek, Kota Marudu Sabah. Tesis Doktor Falsafah.


Jikat @ Binol Darimbang. (2021). Pendekatan Keseimbangan dan Keadilan Dalam Undang-Undang Adat Masyarakat Kimaragang Di Sabah, Malaysia : Balance and Justice Approach in Customary Law of the Kimaragang Community In Sabah, Malaysia. Journal of Borneo Social Transformation Studies, 7(1), 187–210. https://doi.org/10.51200/jobsts.v7i1.3610


Kroeger, P. R. (1996). The morphology of affectedness in Kimaragang Dusun. In Papers in Austronesian Linguistics No. 3. Pacific Linguistics.


Low, K. O., & Pugh-Kitingan, J. (2015). The impact of Christianity on traditional agricultural practices and beliefs among the Kimaragang of Sabah: a preliminary study. Asian Ethnology, 74(2), 401-424.


Pangayan, V. B., Shafii, A. S. H., & Kok On, L. (2017). Meanings, symbols and local wisdom in The Pinakang dance movements, costumes and accessories of the Kimaragang in Sabah. 7th International Conference on Local Knowledge (ICLK 2017), 159-163.


Pugh-Kitingan, J. (2012). Kadazan Dusun. Institut Terjemahan & Buku Malaysia.


Lokasi
Pautan Google Maps :