ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM KADAZANDUSUN SUKU DUSUN LOTUD: ADAT PERKAHWINAN
Adat Resam

Pengenalan dan sejarah

Foto 1: Perkahwinan Suku Dusun Lotud

Sumber: Ghazali Suhaili


Suku Dusun Lotud, atau lebih dikenali sebagai ‘Suang Lotud’ merupakan salah satu daripada 79 subetnik dalam masyarakat Kadazandusun, iaitu kumpulan etnik terbesar di Sabah. Sub-etnik ini secara majoritinya menetap di daerah Tuaran dan beberapa kawasan di daerah Kota Belud, Sabah. Suku ini ini terkenal dengan pelbagai amalan adat dan budaya yang mencerminkan kepelbagaian identiti Kadazandusun secara keseluruhan. Walaupun terdapat persamaan dengan subetnik lain dari segi nilai budaya, kepercayaan, dan adat resam, masyarakat ini mempunyai keunikan tersendiri yang terpancar melalui elemen tradisi mereka. Salah satu amalan budaya tradisional yang masih bertahan dan terus diamalkan sehingga ke hari ini ialah adat perkahwinan yang kompleks. 


Fungsi dan Peranan

-

Busana/ Aksesori

Foto 2: Pakaian Pengantin Dusun Lotud

Sumber: D’Santalun Lotud Costume


Pengantin akan mengenakan pakaian tradisional Dusun Lotud yang khas, terdiri daripada baju hitam atau gelap dengan hiasan sulaman renda berwarna emas dan merah terang ataupun gelap seakan-akan warna kecoklatan. Pakaian pengentin lelaki diberi nama ‘Rinapa'an’ atau ‘Kirinapa'an do Suang Lotud’ yang terdiri daripada sepasang baju dengan nama ‘Sukob’ yang mempunyai hiasan motif corak pada bahagian lengan dan dada. Sukob akan  dipadankan dengan ‘Mugah’ iaitu sejenis kain sarung yang ditenun. Pada bahagian kepala pengantin lelaki, akan diikatkan dengan ‘Sundi’ iaitu sejenis kain tenunan untuk membentuk seperti tanjak kepala. Menutupi baju lelaki pula akan dipakaikan kain selendang tenunan yang diikat secara bersilang pada tubuh penari dikenali sebagai ‘Sandai’.


Seterusnya hiasan aksesori pengantin lelaki yang wajib dipakai adalah terdiri daripada enam jenis iaitu;

1. ‘Karoh’ –  Sejenis rantai yang panjang dan diperbuat daripada jaluran manik, kerang dan kayu.

2. ‘Bubu Tulan’ – Tali pinggang yang diperbuat daripada perak.

3. ‘Botungkat’ – Tali pinggang yang diperbuat daripada duit syiling berasaskan perak.

4. ‘Supuh’ –  Perak  berbentuk  sfera  dan  dipakai  pada  ‘Bubu Tulan’ di sebelah kiri.

5. ‘Tatarapan’ – Keris yang diperbuat daripada perak.

6. ‘Simpai’ – Gelang tangan yang diperbuat daripada perak. 

Pengantin wanita pula akan memakai persalinan  yang diberikan nama ‘Rinapa'an do Milamak’. Busana ini terdiri daripada sepasang ‘Sukob Kopio’ (baju lengan panjang) dan ‘Gonob Sinugitan’ (kain pendek dijadikan skirt) berwarna hitam yang dihiasi dengan sulaman benang berwarna-warni. Busana ini akan dilengkapkan dengan ‘Sandai’ ataupun selendang panjang  berukuran  tiga  meter.  dan dililit pada badan atau diletakkan di atas bahu. Berbeza dengan pakaian lelaki, pengantin wanita akan dipakaikan selendang khusus berjahit dan bersambung pada hujung kain iaitu ‘Kuluwu’ untuk dipakai sebagai penutup kepala serta boleh diletakkan di atas tangan kanan sebagai hiasan. 


Seterusnya hiasan aksesori pengantin wanita yang wajib dipakai adalah terdiri daripada sembilan jenis iaitu;

1. ‘Linangkit’ –  merupakan  nama  panggilan  kepada  motif  geometri  yang   menghiasi Gonob. 

2. ‘Siwot’ – adalah hiasan kepala, iaitu dicucuk pada rambut yang disanggul pada pengantin perempuan.

3. ‘Sigar’ –  adalah  hiasan  kepala  berbentuk  bulat  yang  dihiasi  dengan  jalur emas dan lilitan rotan berwarna merah.

4. ‘Karoh’ –  sejenis  rantai  atau  kalung  yang  diperbuat  daripada  susunan manik,  kaca, kerang dan potongan kayu yang berbentuk kon.

5. ‘Mandapun’ – sejenis kalung yang diperbuat daripada kain merah dihiasi dengan kepingan emas.

6. ‘Lilimbo’ – sejenis tali pinggang sebagai perhiasan yang diperbuat daripada rotan.

7. ‘Botungkat’ –  sejenis  tali  pinggang  yang  diperbuat  daripada  duit syiling berasaskan perak.

8. ‘Simpai’ –  sejenis  gelang  tangan  yang  diperbuat  daripada  perak. Simpai biasanya dipakai di atas siku tangan.

9. ‘Lasung’ – sejenis gelang kaki yang diperbuat daripada perak.


Peralatan/ Bahan-Bahan

-

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Adat perkahwinan masyarakat Dusun Lotud lazimnya memiliki persamaan dengan suku-suku lain dalam etnik Kadazandusun, bermula daripada adat merisik sehinggalah ke majlis perkahwinan. Namun demikian, terdapat beberapa perbezaan dari segi adat resam dan struktur yang menjadikan pelaksanaan adat perkahwinan ini unik kepada suku Dusun Lotud. Berikut merupakan struktur adat perkahwinan masyarakat Dusun Lotud:


1. Modsuruhan (Merisik)

Dalam masyarakat suku Dusun Lotud, proses menentukan jodoh anak lelaki lazimnya ditentukan oleh ibu bapa. Sebelum hubungan formal dijalinkan, keluarga pihak lelaki akan menjalankan penyelidikan secara diam-diam terhadap gadis yang menjadi pilihan mereka. Penyelidikan ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat tentang latar belakang gadis tersebut, termasuk status pertunangannya. Lazimnya, seorang wakil dari keluarga pihak lelaki, biasanya seorang wanita dewasa yang seperti makcik atau nenek kepada teruna, akan dihantar untuk bertemu ibu bapa pihak perempuan. Dalam pertemuan ini, wakil tersebut akan bertanya sama ada gadis yang menjadi pilihan pihak lelaki masih belum bertunang (Ismail, 2000).


Selepas itu, wakil pihak lelaki akan memberikan tempoh selama dua hingga tiga hari kepada keluarga pihak perempuan untuk memberikan jawapan. Tempoh ini diberikan untuk membolehkan keluarga pihak perempuan mempertimbangkan kesesuaian lelaki tersebut sebagai pasangan anak perempuan mereka. Selain itu, tempoh ini juga memberi ruang kepada ibu bapa pihak perempuan untuk berbincang dengan anak perempuan mereka bagi memastikan sama ada terdapat lelaki lain yang turut ingin melamar atau sekiranya gadis tersebut sudah mempunyai pilihan hati. Keputusan ini penting untuk mengelakkan sebarang konflik di masa hadapan, terutamanya jika keluarga perempuan telah merancang sesuatu yang lain untuk masa depan anak perempuan mereka.


Setelah tempoh yang diberikan tamat, wakil pihak keluarga lelaki akan kembali ke rumah keluarga perempuan untuk mendapatkan jawapan. Sekiranya keluarga perempuan memberikan jawapan positif, pihak lelaki akan meneruskan ke fasa seterusnya dalam adat perkahwinan iaitu proses lamaran. Dalam konteks masyarakat Dusun Lotud, proses ini dikenali sebagai “Modsuruhan”, di mana pihak keluarga lelaki secara rasmi menyatakan niat mereka untuk menyunting gadis tersebut menjadi menantu mereka. Dalam perbincangan ini, ibu bapa pihak perempuan juga akan bertanya tentang waktu yang sesuai untuk keluarga pihak lelaki datang secara rasmi bagi melangsungkan proses peminangan. Proses menetapkan tarikh ini dikenali sebagai “Mipayu Do Monunui” (Eddow, 2000).


Namun demikian, jika keluarga perempuan tidak bersetuju dengan pilihan lelaki tersebut, mereka akan menolak lamaran secara beradab dengan memberikan alasan tertentu. Keengganan ini lazimnya disampaikan dengan cara yang penuh hormat bagi menjaga hubungan baik antara kedua-dua keluarga. Penolakan ini mencerminkan nilai-nilai sopan santun dan harmoni yang sangat dititikberatkan dalam adat masyarakat Dusun Lotud.


2. Monunui (Majlis Pertunangan)

Adat Monunui akan dijalankan dengan menetapkan tarikhnya terlebih dahulu sekiranya risikan diterima dan kedua pihak bersetuju dengan syarat-syarat yang ditetapkan. Biasanya adat ini dilaksana pada hari ke-14 dalam kitaran satu bulan, dipanggil “Tawang Kopiah” atau hari ke-15 dipanggil “Tolokud”. Adat pertunangan ini hanya boleh dilakukan di pagi hari dan keluarga pihak lelaki perlu meninggalkan rumah pihak perempuan sebelum pukul 4 petang pada hari yang sama. 


Acara ini melibatkan pelbagai pihak penting seperti ketua-ketua kampung dari kedua-dua belah pihak, ibu bapa pasangan, serta anggota keluarga terdekat yang mempunyai hubungan persaudaraan dengan pihak lelaki dan perempuan. Menurut Eddow (2000), peranan ketua kampung dan keluarga rapat adalah penting untuk memastikan perjalanan perbincangan berlangsung secara tertib dan mematuhi adat istiadat setempat.


Ketibaan rombongan pihak lelaki sering disambut dengan persiapan awal oleh keluarga pihak perempuan. Sebelum ketibaan rombongan, ibu bapa pihak perempuan, bersama ketua kampung dan ahli keluarga yang mempunyai hubungan persaudaraan dengan pihak lelaki, akan berkumpul di anjung rumah. Dalam pertemuan awal ini, mereka akan berbincang mengenai "Berian" iaitu hantaran adat yang akan diminta daripada pihak lelaki. Diskusi ini bertujuan untuk mencapai persetujuan bersama mengenai jumlah dan jenis berian yang selaras dengan adat setempat dan situasi ekonomi keluarga kedua-dua pihak.


Walaupun keluarga pihak perempuan menyediakan jamuan sebagai sebahagian daripada penghormatan kepada rombongan pihak lelaki, mereka tidak akan menghidangkan makanan atau minuman kepada tetamu sehingga perbincangan mengenai pertunangan dan penentuan berian selesai dilakukan. Keengganan pihak lelaki menerima jamuan sebelum selesainya proses ini merupakan simbol penghormatan terhadap adat dan protokol yang ditetapkan. Setelah persetujuan dicapai, barulah keluarga pihak lelaki dijemput masuk ke dalam rumah untuk menikmati jamuan sebagai tanda penghormatan dan perayaan permuafakatan yang telah dicapai.


Dalam proses perbincangan ini, ibu bapa pihak perempuan biasanya tidak terlibat secara langsung. Sebaliknya, mereka akan menyerahkan tanggungjawab kepada ketua kampung atau anggota keluarga yang dipercayai, seperti abang, sepupu, atau pakcik kepada ibu bapa perempuan, untuk mewakili kepentingan mereka. Jika terdapat isu atau cadangan yang tidak sejajar dengan kehendak ibu bapa perempuan, ketua kampung bertanggungjawab menyampaikan maklumat tersebut secara individu kepada mereka yang menunjukkan peranan mediator oleh ketua kampung dalam menyelaraskan perbincangan.


Salah satu aspek penting dalam perbincangan ini adalah penentuan "Sogit" atau "Tahakan," iaitu pemberian simbolik yang bertujuan untuk menghilangkan "Panas" antara kedua-dua keluarga pasangan yang bakal bertunang. Ketua kampung dari pihak perempuan akan mengemukakan pertanyaan kepada kedua-dua belah keluarga untuk mengenal pasti individu yang layak menerima Sogit berdasarkan kedudukan dan hubungan mereka dalam struktur keluarga. Selain itu, bagi membuktikan hubungan persaudaraan yang sah antara pihak lelaki dan perempuan, salasilah keluarga kedua-dua pihak akan dibentangkan melalui satu upacara yang dikenali sebagai "Menutur." Proses ini bukan sahaja menegaskan hubungan kekeluargaan, tetapi juga berfungsi untuk memperkuat keabsahan pertunangan dalam konteks adat dan budaya setempat.


Suku kaum Dusun Lotud memiliki sistem adat yang tegas dalam mengatur perkahwinan, khususnya berkaitan dengan hubungan persaudaraan antara pasangan. Secara tradisional, perkahwinan di antara saudara-mara adalah tidak digalakkan kerana dipercayai membawa kesan buruk kepada pasangan dan keluarga mereka termasuklah perkahwinan antara sepupu sekali. Larangan ini bersifat mutlak dan tidak ada sogit yang dapat meredakan "panas" atau konflik yang mungkin timbul akibat hubungan tersebut. Kepercayaan tradisional mereka menyatakan bahawa pasangan yang melanggar larangan ini dan meneruskan perkahwinan akan menghadapi akibat buruk. Akibat ini mungkin berupa kematian salah seorang pasangan atau ahli keluarga terdekat yang lemah semangat. Di samping itu, pasangan tersebut dipercayai menghadapi kesukaran dalam mendapatkan zuriat; jika mereka mempunyai anak, kemungkinan besar anak tersebut akan dilahirkan dengan kecacatan atau kekurangan.


Walau bagaimanapun, dalam keadaan tertentu, terdapat pengecualian yang membolehkan perkahwinan tersebut dilangsungkan, dengan syarat mematuhi amalan pemberian sogit. Pemberian sogit ini bergantung kepada darjah hubungan persaudaraan antara pasangan yang ingin dijodohkan, sama ada mereka merupakan sepupu dua kali atau tiga kali. Berikut adalah penentuan jenis sogit berdasarkan status kekeluargaan kedua-dua pasangan.

Jadual 1: Jenis-Jenis Sogit Dalam Perkahwinan Suku Dusun Lotud

 

No

Jenis Sogit

Item Sogit

1.     

Sogit Pupu dua kali

        seekor kerbau

        seekor ayam

        Parang

        satu ‘karo lawid’ (rantai perhiasan diperbuat daripada manik dan emas)

        satu ‘Situn’ (tajau kecil)

        satu batang anak rumbia (yang akan dimasukkan kedalam situn)

        Segenggam Padi

2.     

Sogit Pupu tiga kali

“Sogit Karagaan”

        satu ‘Karo Paun’ (rantai perhiasan diperbuat daripada manik dan perak)

        satu ‘Tanyang’ (gong kecil).

Selain itu, terdapat satu lagi sogit yang perlu dilunaskan jika berlakuknya mimpi buruk oleh kedua-dua belah pihak. Menurut kepercayaan nenek moyang Dusun Lotud percaya akan mimpi sebagai amaran atau penyataan berita gembira. Orang yang akan menerima mimpi bukanlah pasangan yang akan bertunang tetapi saudara mara pihak perempuan seperti kakak, abang, ibu bapa, pakcik, makcik, nenek atau sepupu. Mereka percaya bahawa jika 'sogit' tidak diberikan maka pasangan yang akan bertunang dan seterusnya berkahwintidak akan hidup bahagia sepanjang hayat atau akan meninggal dunia selepas berkahwin. 

Pada hari lamaran, keluarga lelaki akan bertanya kepada keluarga perempuan jika mereka mengalami mimpi buruk. Jika mimpi buruk berlaku, keluarga lelaki wajib memberi sogit berupa tanyang (gong kecil) pada hari monunui (pertunangan). Tanpa pembayaran sogit, upacara pertunangan tidak akan dilangsungkan, menunjukkan pentingnya adat ini dalam tradisi Dusun Lotud. Jika semua hal bekaitan adat dan proses pertunangan selesai dijalankan. Pihak lelaki akan memberikan sebentuk cincin emas sebagai tanda pertunangan dan tempoh untuk bertunang adalah setahun.

3. Adat Tinunui (Berian Mas Kahwin)
Dalam tradisi adat suku kaum Dusun Lotud, proses menentukan jumlah berian—pemberian simbolik daripada pihak lelaki kepada pihak perempuan—menggunakan daun kirai atau “lapatan” (daun tembakau) sebagai medium simbolik. Dalam perbincangan ini, wakil pihak perempuan akan menyusun daun kirai untuk mewakili jumlah berian yang diminta oleh keluarga perempuan. Simbol ini mencerminkan jumlah yang dianggap sesuai berdasarkan adat dan kedudukan sosial pihak perempuan.

Sebagai respons, wakil pihak lelaki biasanya akan mengurangkan jumlah daun kirai yang disusun oleh pihak perempuan, menandakan permintaan untuk menurunkan jumlah berian. Proses tawar-menawar ini mencerminkan sifat perundingan yang teliti, di mana setiap pihak berusaha mencapai persetujuan yang memuaskan kedua-dua belah pihak. Rundingan ini berteraskan nilai harmoni dan kesepakatan, yang menjadi asas penting dalam tradisi perkahwinan masyarakat Dusun Lotud.

Berdasarkan adat, pihak keluarga perempuan biasanya menetapkan permintaan Tinunui sebanyak RM1,000, perbelanjaan dapur sekurang-kurangnya RM5,000, serta seekor kerbau. Selain itu, adat berian tanah yang dikenali sebagai “Pinolusadan Do Aluwid”, termasuk pembayaran cukai tanah yang telah diluluskan, adalah wajib. Pemberian ini bertujuan untuk menyokong pasangan dalam pembinaan rumah, terutamanya apabila mereka dikurniakan anak.

Namun, jika pihak lelaki tidak memiliki tanah untuk memenuhi keperluan adat berian tanah, maka mereka diwajibkan menggantikan dengan pemberian empat “Binukul” (barangan antik yang bernilai tinggi) bernilai sekitar RM1,000. Pemberian ini diiktiraf sebagai pemenuhan syarat adat perkahwinan, sekaligus menunjukkan fleksibiliti dalam pelaksanaan adat yang masih berpegang teguh pada prinsip asasnya.

Namun, jika kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan mengenai jumlah berian, perbincangan akan ditamatkan tanpa sebarang kata sepakat. Dalam situasi sebegini, rombongan keluarga lelaki akan meninggalkan pertemuan tanpa menikmati jamuan yang disediakan oleh keluarga perempuan. Penolakan jamuan ini bukan sahaja simbolik, tetapi juga menandakan ketidakberhasilan rundingan, sekaligus menunjukkan kepentingan adat dan protokol dalam menjaga martabat kedua-dua keluarga.

4. Matod (Majlis Pernikahan)
Upacara perkahwinan dalam kalangan suku kaum Dusun Lotud dilangsungkan dengan penuh tradisi dan adat yang kaya dengan nilai budaya. Pengantin lelaki akan mengenakan pakaian tradisional lengkap yang melambangkan identiti dan warisan suku kaum Lotud. Pada masa yang sama, ahli keluarga dan sanak saudara pengantin lelaki turut mengenakan pakaian tradisional sebagai sebahagian daripada sambutan tersebut. Sebelum perarakan pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan, adalah menjadi kebiasaan bagi pihak keluarga lelaki untuk menyediakan hidangan makanan kepada sanak saudara yang hadir. Tradisi ini bukan sahaja mencerminkan kepentingan nilai kekeluargaan, tetapi juga memperlihatkan semangat muafakat dan penghormatan antara keluarga kedua-dua pihak.

Kemudian, lebih kurang pada pukul dua petang, upacara Matod akan dilaksanakan sebagai sebahagian daripada adat perkahwinan tradisional suku kaum Dusun Lotud. Dalam upacara ini, pengantin lelaki akan diarak ke rumah pengantin perempuan dengan dipayungi oleh pengapitnya. Perarakan ini didahului oleh wanita-wanita yang membawa “Binungkut” iaitu barang-barang berian yang telah dipersetujui semasa upacara Monunui, termasuk beberapa helai pakaian pengantin lelaki bersama pakaian tradisionalnya. Semasa perarakan, pengantin lelaki dilarang menoleh ke belakang, kerana menurut kepercayaan nenek moyang suku Dusun Lotud, tindakan tersebut dipercayai akan membawa malang berupa usia yang tidak panjang kepada pengantin lelaki. 


Foto 3: Acara Persandingan
Sumber: Ghazali Suhaili

Setibanya rombongan pengantin lelaki di rumah pengantin perempuan, binungkut yang dibawa oleh saudara-mara pengantin lelaki akan diserahkan kepada ibu bapa atau wakil pihak pengantin perempuan. Upacara ini dilaksanakan dengan penuh adat dan disaksikan oleh ketua kampung serta para hadirin sebagai saksi kepada simbolik penghormatan dan kesepakatan antara kedua-dua keluarga.Selepas itu, pengantin lelaki akan diiringi oleh pengapit bersama beberapa orang daripada rombongan tadi ke libunan, iaitu bilik khas yang telah dihias indah dengan kain merah yang dipenuhi manik berwarna-warni, dikenali sebagai lalawangan (Ismail, 2000). Dalam upacara ini, pakaian pengantin lelaki akan disidai di atas lalawangan tersebut, sebagai sebahagian daripada adat tradisional yang kaya dengan simbolisme dan nilai estetika dalam perkahwinan suku kaum Dusun Lotud.

Sementara itu rombongan lelaki dan keluarga pihak perempuan pula akan duduk di luar.Setelah itu pengantin lelaki akan dihidangkan makanan tetapi dia tidak dibenarkanmemakan daging melainkan nasi berlakukan ikan (Eddow, 2000). Ini adalah keranamereka mempercayai bahawa jika pengantin lelaki atau perempuan memakan dagingpada hari perkahwinan mereka, mereka tidak akan mendapat umur yang panjang.
Semasa rombongan pengantin lelaki tiba, ahli rombongan lelaki serta keluarga pengantin perempuan akan berkumpul di luar rumah. Sementara itu, pengantin lelaki akan dihidangkan makanan khas, tetapi dilarang memakan daging, kecuali nasi berlaukkan ikan (Eddow, 2000). Larangan ini berdasarkan kepercayaan tradisional bahawa memakan daging pada hari perkahwinan akan membawa malapetaka, khususnya usia yang tidak panjang, kepada pasangan pengantin.
Selepas menikmati hidangan, pengantin lelaki akan dibawa keluar dari libunan dan ditempatkan di ruang khas berhadapan para hadirin, yang kebanyakannya lelaki, untuk menjalani upacara moninjau. Upacara ini melibatkan nyanyian lagu-lagu pujian yang disampaikan oleh seorang lelaki dewasa yang diundang khas oleh keluarga pengantin perempuan. Acara moninjau ini dianggap sangat penting kerana tanpa pelaksanaannya, perkahwinan tersebut tidak diiktiraf sebagai sah menurut adat Dusun Lotud (Eddow, 2000).
Setelah selesai acara moninjau, pengantin lelaki akan kembali ke libunan untuk bermalam bersama pengapit dan beberapa ahli keluarganya. Sementara itu, ahli rombongan yang lain akan beransur pulang. Sekiranya keluarga pengantin perempuan telah menyembelih seekor kerbau sebagai sebahagian daripada majlis perkahwinan, adat menetapkan bahawa satu bahagian paha hingga kaki kerbau tersebut akan diberikan kepada pihak keluarga pengantin lelaki sebagai tanda penghormatan dan penghargaan. Tradisi ini melambangkan semangat kerjasama dan saling menghormati dalam masyarakat Dusun Lotud.
5. Mirapou (Majlis Sambut Menantu)
Seminggu selepas majlis perkahwinan di rumah keluarga pengantin perempuan, pengantin perempuan akan diarak ke rumah pengantin lelaki bersama rombongan yang membawa binungkut dan dipayungi sepanjang perjalanan. Seperti pengantin lelaki, pengantin perempuan juga wajib mematuhi adat, di mana mereka dilarang menoleh ke belakang sepanjang perarakan sebagai langkah untuk menghindari nasib malang dan memastikan umur yang panjang. Binungkut yang dibawa oleh rombongan terdiri daripada beberapa helai pakaian harian serta sehelai pakaian tradisional pengantin perempuan, yang dibawa oleh beberapa wanita yang menyertai perarakan tersebut.
Pengantin perempuan akan mengenakan pakaian tradisional lengkap suku kaum Dusun Lotud semasa upacara ini. Setibanya di rumah pengantin lelaki, upacara penyerahan binungkut akan diadakan dan disaksikan oleh ketua kampung pihak lelaki serta para hadirin. Pakaian tradisional yang dibawa itu kemudiannya akan disidai pada kayu tempat lalawangan (kain perhiasan) dihias. Selepas upacara tersebut, pengantin perempuan akan diiringi beberapa wanita muda ke libunan, di mana mereka akan bermalam pada malam itu (Eddow, 2000). Semasa majlis perkahwinan di rumah pengantin lelaki, pasangan pengantin masih tertakluk kepada pantang larang memakan daging untuk mengelakkan usia pendek, seperti yang dipercayai oleh adat.
Keesokan harinya, pasangan pengantin bersama rombongannya akan kembali ke rumah keluarga perempuan untuk bermalam. Pada hari berikutnya, mereka akan kembali semula ke rumah keluarga lelaki dengan diiringi seorang wanita berumur, seperti makcik, sebagai simbolik bimbingan dan penjagaan. Adat ini dikenali sebagai mirapou dan bertujuan membantu pasangan pengantin menyesuaikan diri dengan kehidupan baru serta mempererat hubungan antara kedua-dua keluarga. Mirapou berlangsung selama seminggu, dan hanya selepas adat ini selesai dilaksanakan barulah pasangan dianggap sah sebagai suami isteri dan dibenarkan tidur bersama (Eddow, 2000). Tradisi ini menekankan kepentingan bimbingan dan hubungan kekeluargaan dalam adat perkahwinan suku kaum Dusun Lotud.


Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

Albert, D. D. A. (2016). A review on the role of women in the traditional religion of the Dusun Lotud in Tuaran, Sabah. PROCEEDINGS OF 3rd KANITA POSTGRADUATE, 16, 59.


Eddow, W. Salasilah Keluarga: Sigid Ponidong & Ringkapan Egih 1840-2002. (tidakditerbitkan). Sabah. 


Jusilin, H., & Kindoyop, S. (2015). Reka bentuk dan hiasan linangkit pada pakaian tradisional Dusun Lotud di Tuaran. Jurnal Gendang Alam (GA), 5.


Pugh-Kitingan, J. (2012). Kadazan Dusun. Institut Terjemahan & Buku Malaysia, Kuala Lumpur.


Pugh-Kitingan, J. (2014). Balancing the human and spiritual worlds: ritual, music, and dance among Dusunic societies in Sabah. Yearbook for Traditional Music, 46, 170-190.


Lokasi
Pautan Google Maps :