Sebagai kumpulan etnik terbesar di Sabah, suku Kadazan-Dusun memiliki dialek yang berbeza dalam merujuk kepada adat resam tertentu, termasuk istilah yang berkaitan dengan kematian. Dalam bahasa Kadazan-Dusun secara umum, kematian disebut sebagai Kapatayon. Namun, dalam dialek suku Kadazan Papar, istilah yang digunakan adalah Kapatazon. Secara keseluruhannya, terdapat dua istilah utama dalam bahasa Kadazan-Dusun untuk merujuk kepada kematian, disertai dengan variasi sebutan lain yang mencerminkan perbezaan dialek antara subetnik. Selain itu, setiap subetnik Kadazan-Dusun juga mempunyai variasi dalam pantang larang berkaitan kematian. Walaupun struktur atau sistem pantang larang tersebut pada dasarnya seragam, perbezaan tertentu tetap wujud, mencerminkan keunikan budaya kesukuan masing-masing.
-
-
-
ADAT DAN PANTANG LARANG KAPATAZON
Apabila berlaku kematian, keluarga si mati akan melaksanakan upacara adat yang bermula dari proses pengurusan jenazah sehingga kepada proses pengebumian. Selepas itu, keluarga si mati juga akan menjalankan beberapa upacara pasca kematian yang wajib dilaksanakan mengikut tradisi. Berikut adalah adat dan pantang larang yang berkaitan dengan Kapatazon (kematian) dalam kalangan suku Kadazan Papar.
Kopogiadan (Berkabung Sebelum Pengebumian)
Apabila seseorang meninggal dunia, jenazah akan ditempatkan di dalam bilik atau ruang tamu rumah si mati, bersama-sama barang peribadi yang disusun di sisinya. Seluruh ahli keluarga akan berkumpul untuk memberikan penghormatan terakhir kepada si mati dan upacara penghormatan ini lazimnya berlangsung selama tiga (3) hari. Sepanjang tempoh tersebut, anak perempuan sulung dan pasangan si mati akan duduk di sisi keranda dalam suasana penuh hiba, menerima kunjungan sanak saudara yang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir.
Dalam tempoh tersebut, muzik ensembel gong yang dikenali sebagai Dunsai dimainkan secara berselang-seli selama tiga hari. Ensembel gong ini biasanya terdiri daripada lima hingga tujuh gong yang berfungsi sebagai isyarat untuk mengumumkan kematian kepada seluruh komuniti kampung. Dari sudut ritual, memainkan gong semasa berlakunya kematian dianggap sebagai tanda simbolik yang berperanan mengiringi roh si mati dalam perjalanannya ke alam akhirat. Panang larang memainkan Dunsai ini adalah mewajibkan tuan ruamh keluarga si mati untuk menyembeli Ayam dan khinzir pada hari pertama kematian dan diikuti dengan kerbau pada hari kedua atau ketiga. Sekiranya tiada penyembelihan kerbau maka Dunsai tidak boleh dimainkan.
Menjelang hari ketiga, apabila sesi berkabung bakal ditamatkan, sanak saudara si mati, khususnya wanita yang berusia lanjut, akan melaksanakan perbuatan Mogigiad. Perbuatan ini adalah menangisi si mati dengan cara meraung dan meratapi pemergian si mati. Bait-bait tangisan dan raungan ini mempunyai corak bunyi yang tertentu, bergantung kepada hubungan si mati dengan keluarga yang meratapi. Sekiranya si mati merupakan seorang ibu, bait tangisannya berbunyi “idi, idi, oroi idi,” di mana “idi” merujuk kepada panggilan ibu dan “oroi” melambangkan kesedihan atas kehilangan tersebut. Jika si mati adalah seorang bapa, ratapannya berbunyi “ama, ama, oroi ama,” di mana “ama” membawa maksud bapa. Sebaliknya, jika si mati merupakan seorang anak kecil, ratapannya berbunyi “oto, oto, oroi oto,” dengan “oto” merujuk kepada panggilan mesra bagi anak kecil. Perbuatan ini satu simbolik yang mencerminkan ekspresi kesedihan dan hubungan emosi mendalam antara individu yang hidup dengan si mati.
Kaum keluarga terdekat seperti pasangan, anak-anak, menantu dan cucu-cucu akan bersama-sama menggenggam tangan si mati sebagai tanda perpisahan. Setelah itu, keranda kemudiannya ditutup lalu diangkat oleh saudara-mara lelaki dan di bawa ke tanah perkuburan. Jika si mati beragama kristian, seluruh keluarga akan pergi ke gereja terlebih dahulu untuk mejalankan upacara pengebumian mengikut agama. Disepanjang perjalanan menuju gereja, muzik ensembel gong iaitu Dunsai akan dimainkan dan seluruh penduduk kampung akan memberikan penghormatan terakhir buat si mati. Selesai upacara kegamaan dilakukan, si mati akan dihantar ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.
Adat berkabung suku Kadazan Papar adalah sama dengan dengan suku-suku kadazan daripada kawasan pedalaman yang mempunyai pengaruh adat masyarakat Cina. Kaum keluarga terdekat khususnya akan memakai baju berwarna hitam dan tidak boleh bersolek atau memakai barangan kemas. Mereka juga turut dipakaikan dengan gelang yang diperbuat daripada kain atau benang kapas berwarna hitam atau dipakaikan kain hitam yang diikatkan pada lengan kanan mereka. Menantu, perlu memakainya pada lengan kiri mereka. Manakala, cucu perlu memakai gelang biru atau kain biru yang diikatkan pada lengan kiri, dan cicit berwarna hijau. Penanda warna ini mencerminkan hubungan generasi antara keluarga yang berkabung dengan si mati.
Kapamahabangan (Pengebumian)
Upacara pengebumian biasanya dilaksanakan sehingga waktu tengah hari. Mengikut tradisi suku Kadazan Papar, kaum wanita dan kanak-kanak tidak dibenarkan hadir ke tanah perkuburan, terutamanya jika si mati merupakan suami atau bapa mereka. Tradisi ini berakar pada kepercayaan bahawa Tombiruo atau roh si mati berkemungkinan akan "melekat" pada isteri dan anak-anak yang masih hidup, lalu menghantui keluarga tersebut. Namun, pada masa kini, masyarakat yang menganut agama tidak lagi sepenuhnya mengamalkan kepercayaan ini dan sering kali semua kaum keluarga akan mengikuti upacara pengebumian. Walau bagaimanapun, ibu yang mempunyai anak kecil sering kali mengelakkan diri daripada pergi ke kawasan perkuburan sebagai langkah berhati-hati yang masih dipengaruhi oleh kepercayaan tradisional.
Pantang larang ketika keranda dimasukkan ke dalam liang lahad, sebatang rotan akan diselitkan di antara kerana dengan penutupnya ketika ia dipakukan. Simbolik tindakan ini dikatakan bertujuan untuk membantu si mati bernafas di alam barzakh dan ada pula menjelaskan ia sebagai simbolik memberikan laluan untuk Tombiruo atau semangat roh si mati pergi ke Nabalu iaitu tempat tinggal abadi masyarakat tradisional suku Kadazan Papar. Jika yang meninggal adalah anak kecil, amalan yang sama tetap dilakukan tetapi penutup keranda tidak dipakukan sebaliknya disendal dengan batu kecil atau kepingan kayu sahaja kerana ia dipercayai untuk memastikan rahim ibunya terus subur.
Monumpoli / Monumpohi (Penyucian Selepas Kematian) dan Ulang Tahun Kematian
Semasa tempoh pasca kematian, keluarga si mati akan terus memainkan ensembel bunyi Dunsai sehingga hari ketiga, dan dalam beberapa kes, ia dimainkan sehingga hari ketujuh seiring dengan tempoh berkabung ahli keluarga. Pada hari ketiga selepas kematian, keluarga tertua si mati akan menyediakan santapan khas yang diletakkan dalam sirung padi sebagai penghormatan kepada roh si mati. Santapan ini terdiri daripada nasi, daging kerbau, lauk (kecuali sayur), kopi (mengikut kesukaan si mati), serta tinagie atau air tapai. Selain itu, beberapa simbolik tambahan seperti sebiji telur, beras, parang, isi daging itik yang dicari secara barik (upacara khas), dan tali kerbau turut disediakan. Sekiranya si mati mempunyai kebiasaan merokok, sebatang rokok atau kirai akan diletakkan. Bagi mereka yang memakan pinang, sigup dan kapur juga disediakan. Upacara ini mencerminkan penghormatan dan usaha untuk memenuhi keperluan roh si mati dalam perjalanan ke alam akhirat, seperti yang dipercayai dalam tradisi masyarakat KadazanDusun.
Dalam tempoh tujuh hari pula, terdapat pantang larang yang perlu dipatuhi, di mana semua ahli keluarga terdekat yang berada di rumah si mati diwajibkan untuk duduk diam di rumah tanpa melakukan sebarang aktiviti, termasuk berkebun atau melakukan perjalanan jauh. Larangan ini bertujuan untuk mengelakkan sebarang malapetaka atau perkara buruk yang dipercayai boleh berlaku jika pantang larang tersebut dilanggar.
Pada hari ketujuh selepas kematian, keluarga terdekat akan mengadakan jamuan khas untuk memperingati si mati, yang dikenali sebagai Monumpoli. Seekor Kerbau akan disembelih dan tanduknya di ambil lalu diikatkan bersama dengan batu nisan si mati. Manakala isi daging kerbau tersebut dijadikan bahan sajian utama dalam jamuan Monumpoli. Jamuan ini bermaksud "penyucian upacara" bagi amalan tradisi masyarakat Kadazan Papar. Dalam amalan pagan yang terdahulu, Bobolian akan menjalankan upacara penyucian terhadap rumah tempat mayat disemadikan. Selain itu, peralatan yang digunakan semasa pengebumian, seperti cangkul, kayu penyodok, tukul untuk memaku keranda, pisau, dan lain-lain, turut dibersihkan dan disucikan. Proses penyucian ini dianggap penting kerana menurut kepercayaan tradisional, ia melambangkan pembebasan ahli keluarga daripada kesedihan mendalam dan memastikan mereka tidak menghadapi ancaman spiritual yang mungkin timbul akibat kematian tersebut.
Selain itu, kematian dalam sesebuah keluarga turut dipercayai menimbulkan ancaman dari aspek spiritual kepada kediaman jiran-jiran dan kawasan sekitarnya. Sehubungan dengan itu, semasa upacara Monumpoli, keluarga si mati lazimnya akan memberikan Sogit (ganti rugi) kepada jiran-jiran terdekat. Amalan ini bertujuan untuk menebus sebarang kesalahan atau ketidakselesaan yang mungkin timbul akibat upacara berkabung dan menunggu jenazah yang diadakan di kawasan persekitaran tempat tinggal mereka. Tradisi ini mencerminkan kepentingan menjaga keharmonian sosial dan hubungan baik antara keluarga si mati dengan komuniti setempat.
Setelah upacara penyucian selesai, biasanya menjelang tengah hari, irama gong Dunsai akan dimainkan secara perlahan sebelum dihentikan sepenuhnya sebagai tanda berakhirnya upacara Monumpoli dan tamatnya tempoh berkabung. Dalam kepercayaan masyarakat Kadazan-Dusun, gong yang digunakan semasa upacara kematian tidak boleh digunakan untuk tempoh 12 bulan. Sekiranya berlaku kematian lain dalam kalangan ahli keluarga terdekat, keluarga berkenaan perlu mencari set gong yang lain bagi mengelakkan pelanggaran pantang larang dengan kematian sebelumnya.
Selain itu, terdapat pantang larang lain yang perlu dipatuhi oleh keluarga si mati dan penduduk kampung. Pertunangan atau perkahwinan tidak dibenarkan dilangsungkan sepanjang tujuh hari selepas kematian. Jika majlis tersebut telah dirancang lebih awal, ia wajib ditunda sekurang-kurangnya 40 hari selepas kematian. Penundaan ini dianggap sebagai tanda penghormatan kepada keluarga yang mengalami musibah. Selain itu, menurut kepercayaan tradisional, melanggar pantang larang ini boleh mengakibatkan sumpahan terhadap pasangan pengantin, yang dipercayai mampu membawa maut. Tradisi ini menggambarkan kepentingan menjaga keharmonian sosial dan spiritual dalam kalangan masyarakat Kadazan-Dusun.
Puan Singkaban Binti Kowil (Odun Badin). Rumah No.133, Jalan Lopuson, Kampung Damat, Peti Surat 386, 89257 Tamparuli. 12 November 2024.
Alice Kinsui. Kam Kam Riverside Joyful Garden. Kampung Bongkud, Ranau, Sabah. 13 November 2024.
Stella Jonnes. Kam Kam Riverside Joyful Garden. Kampung Bongkud, Ranau, Sabah. 13 November 2024.
Animbok, N. A. (2023). Adat Sogit: Sebuah Amalan Kaum Kadazandusun: Sogit Custom: A Practice of The Kadazandusun People. Jurnal Borneo Arkhailogia (Heritage, Archaeology and History), 8(1), 91-104.
Hasmin, M. F., & Azizul, S. (2022). Pengaruh Kepercayaan Animisme Dalam Sogit Kematian Yang Terdapat Dalam Kaedah Undang-Undang Adat Anak Negeri (1995): Analisis Kerelevanan Dari Perspektif Hukum Islam. International Journal of Advanced Research In Islamic And Humanities, 4(4), 12-21.
Pugh-Kitingan, J. (2012). Kadazan Dusun. Institut Terjemahan & Buku Malaysia, Kuala Lumpur.
Rapi, R. W. M., & Molijol, P. (2018). Amalan Pengebumian Tajau Dalam Kebudayaan Megalitik di Sabah (Tajau Burial Practice of Megalithic Culture in Sabah). Jurnal Arkeologi Malaysia, 31(2).
Taisin, J. N., Norzan, N., Hassan, H., & Walter, C. (2024). Pengaruh kepercayaan dan kearifan tempatan terhadap amalan perubatan tradisional masyarakat Kadazandusun [The influence of local beliefs and wisdom on traditional medicine practices of the Kadazandusun community]. Muallim Journal of Social Sciences and Humanities, 8, 108-117.