ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM BAJAU: ADAT DAN PANTANG LARANG KEMATIAN
Adat Resam

Pengenalan dan sejarah

Daerah Semporna yang terletak di timur Sabah merupakan salah satu kawasan yang kaya dengan pelbagai budaya dan tradisi unik yang masih terpelihara sehingga kini. Etnik yang mendiami daerah ini majoritinya adalah berbangsa Bajau dan ia mempunyai identiti yang berbeza berbanding dengan masyarakat Bajau di pantai barat Sabah, khususnya dari segi dialek, loghat bahasa serta amalan adat tradisi mereka. Kepelbagaian ini mencerminkan khazanah budaya Sabah yang pelbagai, sekali gus menjadikan setiap daerah memiliki keunikan tersendiri.


Salah satu adat dan budaya masyarakat di Semporna yang menarik perhatian ialah upacara kematian mereka. Meskipun pelaksanaan perkara fardu seperti memandikan jenazah, mengafankan, dan pengkebumian dilaksanakan sepenuhnya mengikut ajaran agama Islam, unsur-unsur budaya tradisional masih kelihatan melalui adat dan pantang larang yang diamalkan. Sebagai contoh, terdapat kepercayaan tertentu mengenai roh si mati dan amalan khas yang dilakukan oleh keluarga sebagai penghormatan terakhir.


Adat ini bukan hanya memperlihatkan keakraban masyarakat dengan kepercayaan mereka, tetapi ia juga menunjukkan bagaimana elemen agama dan tradisi dapat berpadu secara harmoni tanpa konflik. Dalam masyarakat yang semakin moden, pengamalan adat sebegini menjadi penting untuk terus dikekalkan sebagai sebahagian daripada warisan budaya yang memperkaya identiti etnik mereka. 


Fungsi dan Peranan

-

Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan

-

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

ADAT DAN PANTANG LARANG KEMATIAN

Apabila berlaku kematian, keluarga si mati akan melakukan upacara adat bermula daripada proses memandikan jenazah sehinggalah kepada proses pengebumian. Setelah itu, keluarga si mati juga akan turut mengadakan beberapa lagi proses tertentu selepas pasca pengebumian arwah si mati. Berikut adalah adat dan pantang larang Kematian etnik Bajau si daerah Semporna.


Proses Pengurusan Jenazah.

Pada hari berlakunya kematian, keluarga si mati akan menaikkan bendera atau kain putih sebagai tanda berlakunya kematian di sesebuah rumah atau kampung. Bendera putih ini biasanya diletakkan di tempat yang mudah dilihat, seperti di hadapan rumah atau di kawasan umum dalam kampung. Tindakan ini berfungsi sebagai isyarat kepada penduduk sekitar bahawa ahli keluarga di rumah tersebut telah meninggal dunia. Ia juga menjadi panggilan tidak langsung kepada jiran dan saudara-mara untuk hadir memberikan sokongan, takziah, dan membantu keluarga si mati dalam urusan pengebumian serta persiapan adat. 


Setelah itu, keluarga si mati akan menyediakan dulang khas yang dikenali sebagai Lampai Kapataiyan. Dulang ini berfungsi sebagai simbol penghormatan terakhir kepada si mati dan mengandungi barangan peribadi seperti pakaian, set barangan mandian, dan bunga-bungaan. Bilangan dulang lampai ditentukan berdasarkan jantina si mati dan mestilah dalam jumlah ganjil, iaitu lima dulang untuk wanita dan tujuh dulang untuk lelaki. Setiap dulang ini akan diberikan kepada individu tertentu yang dipilih oleh keluarga si mati, biasanya seseorang yang seumuran dengan si mati atau mempunyai hubungan rapat. Barangan dalam dulang lampai tersebut dianggap sebagai sedekah untuk si mati, dan penerimanya akan menjadi pemilik kepada barangan tersebut. Tradisi ini bukan sahaja melambangkan penghormatan kepada si mati tetapi juga mencerminkan elemen sedekah dalam ajaran Islam, yang bertujuan memperkukuh hubungan antara keluarga si mati dengan masyarakat sekitarnya.

Seiring dengan itu, ketika proses fardu dijalankan ke atas si mati, keluarganya akan menyediakan beberapa item adat seperti Sunduk (batu nisan), Payungan, Luhul, Dinding Hali, dan Panji-Panji. Kesemua item ini perlu disiapkan sebelum jenazah dimasukkan ke dalam keranda untuk dibawa ke tapak pengebumian. 

1.     

Sunduk

(batu nisan)

Sunduk, khususnya, dianggap sebagai elemen mustahak dalam adat pengebumian masyarakat Bajau kerana reka bentuk sunduk memainkan peranan penting dalam membezakan jantina si mati. Untuk lelaki, sunduk berbentuk bulat, manakala untuk wanita, ia berbentuk leper. Selain itu, ketinggian sunduk juga mencerminkan hierarki gender dan usia, di mana sunduk lelaki mesti lebih tinggi berbanding wanita, manakala untuk kanak-kanak kecil, sunduk dibuat lebih kecil berbanding wanita dewasa. Adat dan pantang larang ini mencerminkan kepercayaan simbolik yang mengaitkan ciri-ciri fizikal sunduk dengan penghormatan dan status si mati.

2.     

Payungan

Payungan adalah payung khas yang digunakan untuk mengiringi jenazah dari rumah ke tapak pengebumian. Secara tradisional, ia diperbuat daripada kayu yang disusun bersilang membentuk rangka empat segi, dengan kain putih diletakkan di bahagian atasnya sebagai penutup. Payung ini biasanya diletakkan di bahagian kepala jenazah, dan pemegangnya adalah waris terdekat si mati, melambangkan penghormatan dan tanggungjawab keluarga terhadap si mati. Namun, dengan perubahan zaman, sesetengah keluarga kini memilih untuk menggunakan payung biasa sebagai pengganti payungan tradisional.

3.     

Luhul

Adalah sejenis kain putih yang akan direntangkan di atas kuburan si mati dan menjadi sebahagian daripada pembungkus panji-panji.

4.     

Panji-Panji

Panji-Panji adalah bendera-bendera kecil yang mengiringi mayat si mati ke tanah perkuburan. Bagi suku Palauh, panji kematian mereka terdiri daripada warna merah, kuning dan hijau. Ia dijahit secara bertingkat dalam angka ganjil iaiti lima, tujuh, sembilan dan sebelas. Bagi suku Sikubung dan Ubian, Panjinya tidak dibuat seperti bendera, tetapi diperbuat seperti kayu dan ditutupi kain luhul

5.     

Dinding Hali

Dinding Hali merujuk kepada kayu daripada jenis belian yang disusun di dalam kuburan si mati untuk menutupi mayatnya. Lazimnya jumlah kayu ini adalah di antara 15 hingga 20 batang sesuai dengan saiz kuburan si mati

Foto 1: Sunduk. Dari kiri Sunduk  wanita, Sunduk Lelaki dan Sunduk kanak-kanak atau bayi lelaki
Foto 2: Dinding Hali
Sumber: Amsalib Pisali
Ketika keranda diusung ke tanah perkuburan, semua ahli keluarga si mati dikehendaki melakukan Pasuhuk, iaitu melintas di bawah keranda sebanyak tiga kali. Ritual ini dipercayai bertujuan agar si mati tidak mengingati ahli keluarganya yang masih hidup, sekali gus mengelakkan sebarang gangguan rohani. Selain itu, dipercayai bahawa roh si mati yang tidak tenang boleh menyebabkan ahli keluarga atau individu lain jatuh sakit, fenomena yang dikenali sebagai keteguran.
Bagi mereka yang terserempak dengan rombongan membawa jenazah, amalan tradisi mengarahkan agar barangan seperti air atau makanan yang sedang dipegang, terutamanya beras akan dibuang ke atas tanah selepas rombongan tersebut berlalu. Perbuatan ini dilakukan dengan niat membuang perkara-perkara tidak baik yang mungkin menyertai jenazah. Tradisi ini melambangkan usaha komuniti untuk menjaga keharmonian dan melindungi diri daripada unsur-unsur yang dianggap membawa kesialan.

Foto 3: Adat Pasuhuk (melintas di bawah keranda si mati)
Sumber: Amsalib Pisali
Proses selepas pengebumian
Selepas pengebumian, keluarga si mati akan menyediakan Bangkai-Bangkaian iaitu satu set tempat tidur yang lengkap yang disediakan untuk si mati. Bantal diletakkan di bahagian kepala dan di kanan dan kiri tempat tidur, dan semua pakaian si mati diletakkan berhampiran dengan tempat tidur tersebut. Setiap pagi dan petang imam datang membacakan doa untuk si mati yang disebut sebagai Ngipat Bahangi. Makanan disediakan yang disebut Dulang Po’on di tepi Bangkai-Bangkaian untuk imam kerana dipercayai roh si mati akan datang ke rumah dan menjamah makanan tersebut. Selama Bangkai-Bangkaian berada di rumah, tuan rumah mengadakan kenduri tahlil selepas waktu maghrib.
Dalam tempoh itu juga, kenduri arwah akan dilakukan yang disebut Magbahangi. Menurut kepercayaan masyarakat Bajau di daerah Semporna, Magbahangi akan diadakan dalam tiga jenis iaitu Bahangi Heya (kenduri besar), Bahangi Silung (kenduri kecil) dan Kammattian (ulang tahun kematian). Berikut adalah jenis-jenis Magbahangi;

 

No

Magbahangi

Deskripsi

1.     

Bahangi Heya     

(kenduri besar)

                     Bahangi Tallu (Kenduri tiga hari)

Kenduri ini lazimnya di adakan selepas hari ketiga si mati dikebumikan.

                    Bahangi Pitu’ (Kenduri tujuh hari)

Kenduri tujuh hari adalah kenduri arwah yang paling besar di adakan oleh keluarga si mati. Semua kaum keluarga akan hadir di majlis ini kerana, pada hari ketujuh kematian lazimnya akan diadakan adat Magparuaih Umagad (menurunkan roh) yang dipercayai adalah hari terakhir roh si mati berada di rumah.

                  Bahangi Duwam Pu’ (Kenduri 20 hari)

Kenduri 20 hari lebih kepada satu bentuk pengabsahan kepada si mati.

        Bahangi Empat Pu’ (Kenduri 40 hari)

Kenduri 40 hari adalah salah satu kenduri besar untuk si mati, sebagai tanda keredhaan keluarga dan dipercayai hari terakhir roh si mati sebelum beralih sepenuhnya ke alam akhirat.

                    Bahangi Dahatus (Keduri 100 hari)

Kenduri 100 hari diadakan sebagai tanda pengakhiran jamuan buat si mati. Kenduri ini bukan sahaja menjadi acara memperingati si mati tetapi juga sebagai usaha mempererat hubungan kekeluargaan sambil mendoakan kesejahteraan roh yang telah pergi.

2.     

Bahangi Silung

(Kenduri Kecil)

Bahangi Silung adalah kenduri berskala kecil yang diadakan oleh keluarga si mati bersama imam, tanpa melibatkan kehadiran sanak saudara atau keluarga besar. Kenduri ini biasanya diadakan pada hari ke-10, ke-17, ke-27, dan ke-37 selepas pengebumian si mati. Hidangan jamuan untuk kenduri ini dikenali sebagai Kok Dulang, iaitu sajian makanan yang disediakan dalam satu atau dua talam khusus untuk diberikan kepada imam sebagai tanda penghormatan dan doa bagi si mati.

3.     

Kammattian

(Ulang tahun kematian)

Kenduri Kammattian atau kenduri ulang tahun kematian si mati diadakan setiap tahun sebagai memperingati pemergian si mati. Kenduri ini menjadi kesempatan bagi keluarga untuk berkumpul, mendoakan kesejahteraan roh si mati, dan meneruskan tradisi penghormatan. Tarikh kenduri biasanya mengikuti kalendar tahun kematian si mati.




Foto 4: Bacaan MagbahangiSumber: Amsalib PisaliBagi suku Bajau Ubian dan Bajau Sikubung, mereka mengamalkan adat Magjaga-Jaga (menjaga kubur selepas pengebumian). Jika kubur tidak dijaga, dipercayai akan diselongkar oleh Kang-Kang Laut (hantu laut) yang mengambil mayat. Logiknya tanah di pulau-pulau di daerah Semporna agak keras dan berbatu menyebabkan penggali kubur tidak dapat menggali kubur dengan lebih dalam. Justeru, bau mayat yang agak kuat merangsang anjing dan babi hutan untuk menggali kubur tersebut.
Foto 5: Adat Magjaga-jaga
Sumber: Amsalib Pisali
Oleh yang demikian, adat kematian masyarakat Bajau di daerah Semporna dapat dianggap sebagai satu tradisi yang kompleks dengan struktur yang teratur dan mendalam. Walaupun kaya dengan elemen adat, ia tetap selaras dengan kepercayaan agama mereka tanpa menimbulkan sebarang konflik antara adat dan ajaran Islam. Tradisi ini mencerminkan keseimbangan harmoni antara warisan budaya dan amalan keagamaan yang terus dihormati hingga ke hari ini.

Tokoh dan Pencapaian

Melda Arakani. PPR Seri Tagasan, Kampung Tagasan, Jalan Semporna-Tawau, 91308 Semporna, Sabah. 11 November 2024.


Gunda Arakani. Kampung Kabogan Baru, 91308 Semporna, Sabah. 11 November 2024.


Sumber Rujukan

Ismail, N. B, Zainal, S., & Sim, C. C. (2017). Upacara Adat Kematian Magpaturun Roh Arwah Ma Bahagi Pitu’ Tinjauan Awal Terhadap Elemen Teaterikal Teater. Jurnal Gendang Alam (GA), 7. https://doi.org/10.51200/ga.v7i.1052


Marinsah, S. A., HAJIMIN, M. N. H., & Ramli, M. A. (2019). Unsur Kearifan Tempatan Dalam Adat Kematian Masyarakat Bajau di Sabah: Analisis Dari Perspektif Hukum Islam: Local Wisdom Elements on Death Ritual among Bajau Ethnic in Sabah: An Analysis from the Islamic Perspective. MANU Jurnal Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, 29.


Marinsah, S. A., Ramli, M. A., Meerangani, K. A., & Sabdan, M. S. (2018). Pengambilkiraan ‘Urf dan Adat Dalam Fatwa Semasa: Analisis Terhadap Adat Kematian Bajau di Sabah: ‘Urf and Customs Determination in Fatwa: An Anlysis on Death Ritual Among Bajau Ethnic in Sabah. Journal of Fatwa Management and Research, 12(1), 73-91.


Mokhtar, R. . (2020). Adat Kematian Dalam Kalangan Kumpulan Etnik Bajau Laut Di Kampung Bangau-Bangau, Semporna, Sabah: Death Rituals Among The Bajau Laut Ethnic Group in Kampung Bangau-Bangau, Semporna, Sabah. Jurnal Kinabalu, 26(2), 277. https://doi.org/10.51200/ejk.v26i2.2780


Ramli Dollah, Sabihah Omar & Md. Shaffie Abd. Rahim. (2012). Pendidikan dan Sosiobudaya. Dalam  Md. Shaffie Abd. Rahim, Sabihah Osman & Ramzah Dambul (Eds.). Bajau Pantai Timur. Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM). Kuala Lumpur.


Yakin, H. S. M. (2017). Pengaruh budaya tradisi dan islam dalam evolusi adat dan ritual kematian komuniti Bajau. Akademika, 87(3), 15-25.


Yakin, H. S. M., & Totu, A. (2014). Signifikasi konsep proxemics dan chronemics dalam ritual kematian Bajau: Satu kajian dari perspektif komunikasi bukan lisan. Jurnal Komunikasi, 30(2), 71-90.


Lokasi