ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM BRUNEI: ADAT PERTUNANGAN

Adat Resam

Gambar

5

Video

tiada

Pelawat Hari ini

34

Jumlah Pelawat

865

Pengenalan dan sejarah

Dalam menuju alam pekahwinan, masyarakat etnik Brunei di negeri Sabah mempunyai tatacara adat dan proses yang perlu dilakukan bermula dari proses merisik sehinggalah ke majlis persandingan. Namun begitu salah satu komponen yang paling penting menuju proses tersebut adalah adat pertunangan. Proses pertunangan adalah suatu adat yang penuh dengan simbolik dan tatacara yang tersusun.


Sebelum adat pertunangan dijalankan, lawatan ke rumah pihak perempuan untuk urusan pertunangan biasanya dilakukan berkali-kali. Ia bermula dengan pelaksanaan adat merisik yang bermaksud menyiasat dengan lebih dekat tentang kedudukan seorang perempuan itu sama ada sudah berpunya atau sebaliknya. Setelah mempunyai maklumbalas yang positif, pihak lelaki akan bertandang sekali lagi ke rumah pihak perempuan untuk melakukan proses kedua iaitu Adat ‘Bajarum’, bermaksud meminang dan membina kata muafakat serta kesepakatan untuk menjalankan majlis adat pertunangan. Kedua-dua proses ini akan dijalankan terlebih dahulu agar adat pertunangan yang dirancang oleh kedua-dua belah pihak berjalan lancar tanpa sebarang bantahan.


Fungsi dan Peranan

Fungsi dan peranan adat pertunangan dalam kalangan entik Brunei adalah bertujuan untuk memberikan tanda ikatan di antara  lelaki dan wanita yang diiktiraf oleh  keluarga kedua-dua belah pihak. Ia adalah simbol komitmen ataupun persediaan awal secara  emosi dan mental antara pasangan untuk melangkah ke alam perkahwinan. Selain itu, masyarakat etnik Brunei berpendapat bahawa pertunangan adalah salah satu cara memberi masa untuk sebarang perbincangan dan rundingan mengenai perkahwinan, termasuk aspek kewangan, adat, dan budaya. Daripada itu juga, sebarang isu atau ketidaksefahaman dalam tempoh pertunangan dapat diselesaikan sebelum memasuki fasa perkahwinan agar dapat mengurangkan risiko konflik di masa depan.


Dalam tempoh bertunang, lelaki tersebut hendaklah memberi belanja hangus kepada tunangnya untuk perbelanjaan perkahwinan kelak. Seandainya berlaku langkah dulang (yakni perempuan yang hendak dikahwini mempunyai kakak atau kakak-kakak yang belum berkahwin atau langkah bendul), atau di Sabah, dikenali sebagai langkah sungai (yakni kedua-dua bakal pengantin bukan daripada suku kaum yang sama), maka pihak lelaki dikehendaki membuat bayaran kepada keluarga pihak perempuan dalam amaun yang ditetapkan oleh mereka.


Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan

-

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Adat pertunangan akan dimulai dengan;


Ketibaan Rombongan Pihak Lelaki

Ketibaan rombongan pihak lelaki ke rumah pihak perempuan. Rombongan ini lebih ramai jika dibandingkan dengan proses merisik dan adat Bajarum.


Foto 1: Ketibaan Rombongan Pihak Lelaki
Sumber: Pn. Helen binti Gain


Penyerahan Hantaran Tunang (Sepengadak Kain Teruna)
Pihak rombongan lelaki lazimnya akan mempersembahkan sebentuk cincin emas dibawa sebagai pembuka mulut, juga menandakan permulaan pertunangan dengan bayaran antara RM100-RM150. Selain itu, dulang-dulang hantaran berupa kasut, wangi-wangian, set pakaian baju kurung wanita, buah-buahan atau hadiah manisan kepada pihak perempuan juga akan diberikan sebagai tanda penghargaan daripada keluarga lelaki. Salah satu daripada dulang tersebut adalah mengandungi Sepengadak Kain Teruna terdiri daripada baju Melayu dan songkok (set baju lelaki), dan dikembalikan kepada pihak lelaki semasa upacara akad nikah. Kain ini tidak diperlukan, seandainya bakal pengantin lelaki hadir semasa menghantar tanda pertunangan.
Foto 2: Penyerahan Dulang Hantaran
Sumber: Pn. Helen binti Gain

Acara Barunding
Sebelum menuju ke adat menyarung cincin, kedua belah pihak akan mengadakan sesi rundingan yang membincangkan tentang tempoh pertunangan, nilai hantaran kahwin yang dikenali dengan nama ‘Berian’ atau perbincangan berkenaan kes ‘Pelangkahan’ (langkah bendul). Dulang-dulang hantaran akan diletakkan di tengah-tengah ruang perundingan dikepalai dengan dulang sirih. Acara Barunding ini pada lazimnya akan diketuai oleh ketua rombongan pihak lelaki dan wakil ketua daripada pihak perempuan. Sesi perundingan akan berakhir jika kedua-dua belah pihak mencapai muafakat yang memberikan kepuasan dan persetujuan daripada pihak lelaki dan pihak perempuan.

Foto 3: Acara Barunding daripada pihak Lelaki
Sumber: Pn. Helen binti Gain