Sazau merupakan tarian tradisional yang diwarisi oleh masyarakat etnik Kadazan-Dusun dari daerah Papar yang kebanyakkannya didiami oleh suku etnik Dusun Papar. Nama ‘Sazau’ bermaksud ‘menari’ di mana teRminologi ini sering dikaitkan dengan perkataan daripada perbuatan mernari seperti ‘Kasasaazau’ (baru sahaja menari), ‘Kasazau’ (dapat menari), ‘Kopisazau’ (boleh menari bersama), ‘Nakasazau’ (menari bersama-sama dengan), ‘Nokopisazau’ (telah menari bersama-sama dengan) dan ‘Sansazau-Sazau’ (semua sedang menari-nari) (Kamus Kadazan Dusun Malay-English, 1995).
Sejarah Sazau berkait rapat dengan kehidupan pertanian dan budaya agraria masyarakat dusun di daerah Papar. Tarian ini adalah lambang kebudayaan tempatan yang kaya dengan nilai-nilai tradisional, mencerminkan gaya hidup masyarakat yang hidup dalam harmoni dengan alam sekitar. Sebagai tanda nikmat dan rasa syukur, tarian ini dipersembahkan dalam segenap upacara adat khususnya seperti Upacara Madsuwau, Upacara Monogit dan Upacara Gumazad. Selain itu, ia juga sering dipersembahan dalam pesta adat dan majlis keramaian.
Pada peringkat awal, fungsi dan peranan tarian Sazau dipersembahkan dalam pelbagai upacara adat yang penting bagi suku etnik Dusun Papar. Antaranya adalah;
1. Upacara Madsuwau - upacara pemujaan semangat Dapu atau Tajau (tempayan) yang dipercayai perlu dipelihara, disembah dan diberi makanan sajian agar semangat berkenaan memberikan ketenteraman dan perlindungan sejagat.
2. Upacara Monogit - Upacara membayar sogit (pampasan) kepada semangat padi yang tercedera ketika kerja membuang rumput dari bendang ataupun sawah. Upacara ini dikendalikan oleh tujuh orang bobohizan. Sebaik sahaja pelafazan Rinait selesai maka semua bobohizan akan menarikan tarian ini.
3. Upacara Gumazad - diadakan untuk menghalau hantu dari rumah baharu yang akan didiami penghuninya.
Namun kini, fungsi Sazau telah meluas daripada sekadar tarian adat kepada persembahan dalam pelbagai acara kebudayaan dan majlis rasmi. Tarian ini sering dipersembahkan dalam perayaan seperti Pesta Kaamatan, yang merupakan pesta menuai terbesar di Sabah. Selain itu, Sazau turut dipersembahkan di acara-acara rasmi kerajaan dan kebudayaan, sebagai satu cara untuk mempromosikan budaya Sabah di peringkat nasional dan antarabangsa.
Penari wanita akan memakai busana tradisi etnik Dusun Papar iaitu baju hitam berlengan panjang yang dipanggil ‘Sia’ dengan baju lapis pada bahagian dalam berwarna putih yang disebut ‘Sia Id Sahom’. Baju ini akan dipadankan dengan ‘Gonob’ iatu skirt pendek berukuran sehingga paras lutut. Keunikan baju tradisi ini adalah terletak kepada hiasan kepalanya yang menggunakan topi berbentuk trigonometri dikenali dengan nama ‘Siung’. Sebelum itu, penari akan mengenakan pengikat kepala sebelum memakai topi tersebut iaitu ‘Soundung’ berupa kain untuk menutup dan merapikan rambut penari wanita. Aksesori yang digunakan pula adalah tali pinggang perak seperti kepingan duit syiling iaitu dikenali dengan nama ‘Rupia’ atau ‘Lupia’. Pada bahagian tangan, lazimnya penari akan memakai ‘Bolilit’ iaitu gelang tangan diperbuat daripada perak atau kepingan logam nipis.
Bagi penari lelaki, baju yang mereka gunakan turut dikenali dengan nama ‘Sia’, lengkap dengan seluar panjang yang diberikan nama ‘Souva’. Busana ini juga turut dilengkapi dengan tanjak kepala yang dipanggil ‘Sigal’. Aksesori tambahan bagi penari lelaki adalah selendang panjang dikenali dengan nama ‘Sandai’ yang diletakkan pada bahagian leher penari lelaki.
Lazimnya, Sazau dipersembahkan oleh penari lelaki dan wanita secara berpasangan yang akan diiringi oleh penyatuan ensemble alat muzik tradisional seperti Gong, Gendang dan Kulintangan. Dalam persembahan tersebut juga akan didengari bunyi Pangkis (teriakan salah seorang penari lelaki untuk berubah posisi dan pola lantai).
Tarian Sazau sering dipersembahkan secara berpasangan, di mana penari lelaki dan wanita menari bersama. Kedua-dua penari memulakan tarian dengan gerakan yang lembut dan perlahan, selaras dengan paluan gong yang mengiringi persembahan mereka. Salah satu gaya yang paling ketara dalam tarian ini adalah gerakan mengambai, di mana penari mengangkat dan membuka kedua-dua belah tangan seperti burung layang-layang yang sedang terbang. Gerakan ini memberikan kesan kelembutan dan ketenangan, mencerminkan kedamaian dan harmoni dengan alam semula jadi.
Satu lagi keunikan dalam Sazau adalah pergerakan tapak kaki penari wanita. Tumit penari bertemu dengan tumit, manakala ibu jari kaki bertemu dengan ibu jari, mencipta pergerakan yang halus dan tersendiri. Pergerakan kaki ini seolah-olah menyerupai orang yang sedang mengirik padi dari tangkainya, menambah lagi unsur pertanian yang ada dalam tarian ini. Irama tarian ini biasanya rancak, namun pergerakan tangan penari tetap lembut dan anggun, menambahkan kontras yang menarik antara pergerakan tangan dan kaki.
Suhaimi Magi. (61 tahun). Kampung Ulu Tomani, 89907 Tenom, Sabah
Nor Syafiqah Yahya. (29 tahun). Persatuan Seni tari Keningau, 89900 Keningau, Sabah. 8 Oktober 2024.
Kitingan J., P. (2012). Siri etnik Sabah ITBM-UMS: Kadazan Dusun. Institut Terjemahan Buku Malaysia.
Orlando Devinci. (2024). Strategi Pelestarian Tarian Sazau Kujau oleh Persatuan Dusun Kujau Sabah (PDKS) Dalam Mempertahankan Budaya Etnik Di Sabah [Poster].