ALAT MUZIK TOGUNGGAK

Seni Persembahan >Muzik

Gambar

2

Video

tiada

Pelawat Hari ini

10

Jumlah Pelawat

95

Pengenalan dan sejarah

Togunggak atau Togunggu’ merupakan sejenis alat muzik tradisional berasaskan buluh yang popular dalam kalangan etnik Momogun di Sabah seperti Dusun, Kadazan, Kadazan-Dusun, Rungus. Bagi masyarakat etnik Murut ia dikenali dengan nama Tagunggak. Alat muzik ini tergolong dalam kategori idiofon seperti alat muzik Angklung, iaitu alat muzik yang menghasilkan bunyi melalui getaran seluruh badannya apabila diketuk. Ia diperbuat daripada batang buluh yang dipotong mengikut saiz tertentu dan direka untuk mengeluarkan pelbagai bunyi bergantung pada ketebalan, panjang, dan diameter buluh tersebut.


Sebagai alat muzik idiofon, bunyi Togunggak dihasilkan apabila permukaan buluh diketuk menggunakan kayu pemukul, mencetuskan getaran yang menghasilkan nada tertentu. Jumlah batang dalam satu set berbeza-beza bergantung kepada tradisi etnik dan konteks persembahan; set kecil biasanya terdiri daripada 6 hingga 12 batang (Togunggak), manakala set besar seperti Tagunggak Murut boleh mencapai sehingga 30 batang (Peter, 2017). Togunggak menggunakan sekurang-kurangnya dua atau tiga ruas buluh jenis poring (Gigantochloa Levis) yang bersaiz besar dan berperanan sebagai bass untuk menghasilkan bunyi yang besar apabila ianya dimainkan dengan dipukul. Setiap batang mempunyai fungsi melodi dan irama tertentu, membolehkan ia dimainkan secara harmoni dalam ensembel besar untuk menghasilkan pola muzik yang kompleks.

Fungsi dan Peranan

Togunggak memainkan peranan penting dalam masyarakat tradisional Sabah. Berikut adalah beberapa fungsi dan peranan utama tongungak:


1. Alat Muzik Iringan dalam Upacara Adat dan Ritual

Togunggak digunakan sebagai alat muzik iringan dalam upacara adat dan ritual keagamaan, seperti Magavau (upacara pemujaan roh nenek moyang oleh masyarakat Kadazandusun) dan upacara Magau oleh masyarakat Murut. Bunyi yang dihasilkan oleh Togunggak dipercayai dapat menghubungkan manusia dengan alam spiritual dan dianggap sebagai medium komunikasi dengan roh nenek moyang.


2. Instrumen dalam Persembahan Kesenian Tradisional dan Perayaan

Togungak sering dimainkan sebagai alat muzik iringan dalam persembahan tarian tradisional seperti tarian Sumazau (Dusun dan Kadazandusun) dan tarian Magunatip (Murut). Dalam persembahan ini, Togunggak membantu membentuk tempo dan irama untuk memudahkan penari mengatur pola gerak mereka. Ia juga menambah dinamik dan warna kepada keseluruhan persembahan. Sementara itu, dalam upacara perayaan, alat muzik ini sering dimainkan sebagai hiburan di kalangan masyarakat tempatan, terutamanya semasa perayaan seperti Pesta Kaamatan, Pesta Kalimaran, majlis perkahwinan dan acara-acara tradisional yang lain. Permainan Togunggak sering digabungkan dengan alat muzik tradisional lain seperti gong, kulintangan, dan sompoton untuk membentuk ensembel muzik yang harmoni.


3. Alat Komunikasi dan Simbol Sosial

Togunggak berfungsi sebagai alat komunikasi dalam konteks tertentu, terutamanya dalam perkampungan tradisional di mana ia digunakan untuk menyampaikan isyarat bunyi bagi mengumpulkan penduduk atau menandakan permulaan sesuatu upacara. Bagi etnik Murut, Tagunggak dimainkan sebagai paluan meraih pahlawan mereka yang kembali daripada peperangan dan beroleh kemenangan dengan membawa balik kepala lawan yang dipancung dan disambut oleh seluruh penghuni Rumah Panjang. Sementara itu, di sesetengah tempat, ketukan tertentu pada Togunggak dapat melambangkan kedatangan tetamu kehormat atau menandakan kejayaan sesuatu upacara.


Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan

1. Batang Buluh

Spesies buluh yang sering digunakan ialah Bambusa vulgaris kerana ia mempunyai struktur yang kuat, tahan lasak, dan mudah menghasilkan resonans bunyi. Buluh yang baik akan menghasilkan bunyi yang lebih jelas dan lantang. Panjang buluh biasanya berkisar antara 50 cm hingga 120 cm bergantung kepada keperluan.


2. Kayu Pemukul (Pantong/Pintog)

Kayu pemukul, dikenali sebagai Pantong atau Pintog, diperbuat daripada kayu keras seperti kayu cengal, rotan, atau kayu belian yang tahan lama. Panjang pemukul biasanya antara 15 cm hingga 30 cm, dengan ketebalan yang sesuai untuk memastikan ketukan menghasilkan bunyi optimum tanpa merosakkan permukaan buluh. Pemegang pemukul kadang-kadang dihias dengan ukiran atau dibalut dengan kain untuk memberikan pegangan yang lebih baik dan keselesaan kepada pemain.


3. Tali atau Rotan

Tali atau rotan digunakan untuk menyusun dan menggantung togunggak jika ia perlu dimainkan dalam posisi berdiri atau digantung dalam susunan tertentu.Tali ini membantu memastikan togunggak berada pada kedudukan yang stabil semasa dimainkan, terutamanya apabila digunakan dalam persembahan ensembel besar.


Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

1. Posisi Permainan

Togunggak dimainkan dalam pelbagai posisi bergantung kepada jumlah pemain dan jenis persembahan. Ia boleh dimainkan dalam posisi duduk, berdiri, atau digantung pada bingkai kayu.


2. Teknik Ketukan

Pemain akan mengetuk batang buluh pada bahagian tengah atau hujung untuk menghasilkan bunyi yang berbeza. Ketukan pada bahagian tengah buluh menghasilkan bunyi yang lebih tajam, manakala ketukan pada bahagian hujung menghasilkan bunyi yang lebih lembut dan bergaung.


3. Pola Irama

Setiap pemain perlu memainkan pola irama yang ditetapkan mengikut susunan batang togunggak. Contohnya, pemain dengan tongungak berukuran besar memainkan pola irama asas (bass), manakala pemain dengan tongungak lebih kecil memainkan melodi irama yang lebih cepat.


4. Variasi Persembahan

Togunggak boleh dimainkan sebagai alat solo atau dalam ensembel besar bersama alat muzik tradisional lain seperti gong, kulintangan, sompoton, atau seruling buluh. 


Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

John. (2017). Belief & Practices of the Kadazandusun - Murut, Native of Sabah : Tales from Land Below the Wind.


MySabah. (2021). Tagunggak music by Kadazan Papar [Video]. Youtube. https://www.youtube.com/watch?v=yX79SQXTrso


Peter, E. E. (2017). Togunggak as teaching materials in secondary school.


Pugh-Kitingan, J. (2012). Kadazan Dusun. Institut Terjemahan & Buku Malaysia.


Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Encik Hassanal Redzuan

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah
Kompleks JKKN Sabah, Jalan Tasik off KM4 Jalan Penampang, 88200 Kota Kinabalu SABAH

088-205070

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!