TARIAN MANARADAN
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Tarian Manaradan adalah salah satu tarian tradisional bagi masyarakat etnik Rungus yang kebanyakannya mendiami kawasan daerah Kudat, Paitan, Kota Marudu dan daerah kecil Matunggong. Tarian ini memiliki nilai budaya yang unik dan merupakan sebahagian daripada warisan yang perlu dikekalkan kerana ia hanya ditarikan ketika hari "Mogunum" atau keramaian khususnya menyambut ketibaan orang-orang besar seperti Huguan Siou iaitu Ketua Agung masyarakat Etnik Kadazan-Dusun ataupun ketua pemimpin bagi rumpun Momogun. Menurut adat dan pantang larang masyarakat etnik Rungus, tarian ini tidak boleh diadakan tanpa sebarang tujuan khusus, kerana ia boleh mendatangkan malapetaka yang akan menimpa semua penghuni di rumah panjang.

Fungsi dan Peranan

Pada mulanya, tarian Manaradan berfungsi sebagai sebuah tarian penyembahan kepada Si Rusod iaitu dewa yang dipercayai menjaga dan melindungi manusia dalam kepercayaan masyarakat Rungus. Melalui tarian ini, komuniti Rungus menzahirkan kesyukuran atas kebaikan dan perlindungan yang diberikan oleh Si Rusod kepada mereka. Namun begitu, dengan peredaran zaman, elemen penyembahan dalam Tarian Manaradan semakin berkurangan dan ia tidak lagi ditarikan sebagai sebahagian daripada ritual kepercayaan. Kini, tarian Manaradan lebih berfungsi sebagai tarian budaya yang dipersembahkan dalam pelbagai acara seperti majlis menyambut tetamu, perayaan kebudayaan, dan pertandingan. Ia kini melambangkan keindahan dan warisan budaya Rungus serta memainkan peranan dalam mengekalkan identiti etnik mereka di kalangan masyarakat moden.

Busana/ Aksesori

Penari Manaradan mempunyai set busana yang kompleks dengan aksesori manik yang padat. Set pakaian utama penari  adalah menggunakan kain tenunan yang dikenali dengan nama ‘Banat Ngolitan’ untuk menutup tubuh badan penari, dipadankan dengan skirt yang disebut ‘Tapi Rinugading’ serta kain pada bahagian bahu dikenali dengan nama ‘Longon’. Aksesori kepala penari wanita dikenali dengan nama ‘Titimbok’ iaitu hiasan kepala yang disisip pada rambut belakang penari wanita. Manakala, ‘Sisingal’ pula adalah perhiasan yang menutup anak rambut diperbuat daripada manik.


Pada bahagian leher, penari wanita akan dipakaikan dengan rantai leher manik yang dikenali dengan nama ‘Inggot’ serta hiasan berbentuk ibu rantai disebut ‘Sulau’ yang diperbuat daripada kerang laut. Bagi aksesori pada kemasan bahu penari wanita, selempang manik leper digunakan iaitu ‘Pinakol’, ‘Sandang’ dan ‘Sopilang’ akan dipakaikan secara bersilang pada bahu penari wanita. Untuk bahagian tangan, setiap penari wanita akan dipakaikan dengan hiasan gelang yang kenali  dengan nama ‘Saring’ iatu gelang berwarna putih (berukuran lebar) dan ‘Saring’ jenis tembaga (berukuran halus). Di bahagian pinggul, aksesori yang digunakan adalah ‘Orot’ iaitu sejenis manik halus yang penuh menutupi pinggul dan pinggang wanita. Pada bahagian kaki, aksesori yang dikenakan adalah ‘Bongkol’ iaitu gelang kaki diperbuat daripada manik.


Peralatan/ Bahan-Bahan

Lazimnya, tarian ini akan diiringan dengan alat muzik tradisional gong Rungus meliputi tujuh jenis iaitu, Koritikon (canang), Sandangau (canang), Pompom, Soludon, Tongikon (Tavag), Hungkodonan (Tavag) dan Bimbingan (Tavag). Kadangkala Manaradan juga ditarikan tanpa penggunaan alat muzik. Sebaliknya bunyi yang mengiringi tarian ini dihasilkan daripada hentakan atau pukulan bambu sahaja.

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Secara tradisional, tarian ini mempunyai gabungan dua elemen tarian iaitu Mongigol Sumundai dan Magunatip. Elemen Mongigol Sumundai adalah merujuk kepada pergerakan asas tarian dan elemen Magunatip pula merujuk kepada penggunaan bambu ketika penari wanita tersebut menari.  Justeru, tarian ini secara eksklusif ditarikan oleh golongan wanita, manakala peranan lelaki dihadkan kepada seorang individu yang bertanggungjawab untuk memukul atau menghentak bambu mengikut ritma tarian. Salah satu pergerakan signifikan dalam tarian ini dikenali sebagai "Mamanbazangan," di mana penari mendepa kedua-dua tangan dan mengangkatnya sehingga separas pinggang. Pergerakan ini memperlihatkan keanggunan dan keselarasan gerak tubuh penari dalam menghidupkan tarian tradisional ini.

Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

Low Kok On. (2013). Collecting and contextualising Sundait (Riddles) among the Rungus people of Sabah. Pertanika Journal of Social Science and Humanities, 12(3), 897–922. http://www.pertanika.upm.edu.my/


Mahfar, S. F. & Jusilin, H. (2017). Reka corak dan simbolisme motif pinakol dalam pakaian masyarakat Rungus di Sabah. Jurnal Gendang Alam, 7, 1–17.


Pangayan, V. B. (2020). Tarian Mongigol-Sumundai Momogun Rungus Di Sabah: Analisis Konsep Persembahan dan Ragam Gerak. Jurnal Gendang Alam. https://doi.org/10.51200/ga.vi.2840


Yoon, P. L., & Jusilin, H. (2018). Ciri estetika dalam reka bentuk dan motif pakaian tradisional golongan perempuan etnik Rungus di Kudat. Jurnal Gendang Alam, 8, 65.


Lokasi
Pautan Google Maps :